Yobel Jerusalem dan Puasa untuk Malaysia : A Square Peg in A Round Hole

“Untukmu agamamu, untukku agamaku.” (Al-Kaafirun : 6)

Firman Allah di atas jelas, lagi nyata menunjukkan bahawa agama Islam ini adalah untuk umat Islam, dan agama-agama selain Islam adalah untuk mereka, yakni umat agama lain. Perbezaan (furqan) yang jelas membezakan antara Islam dan bukan Islam. Sungguhpun demikian, baru-baru ini, jarum-jarum halus Kristianisasi dan Islam liberal sudah semakin tajam, buktinya – sambutan jubli emas kejayaan Israel menawan Jerusalem (Yobel Yerusalem) dan kempen beramai-ramai “Puasa untuk Malaysia”. Kedua-dua masalah ini merupakan jarum-jarum halus yang menganggu gugat aqidah umat Islam di Malaysia pada Ramadhan ini. Lantaran itu, sewajarnya kita, sebagai umat Islam yang sayang akan agamanya; mestilah merasakan sensitivity terhadap isu ini. Marahlah saudara-saudaraku, hal ini benar-benar BIADAP.

Yobel Jerusalem : Bukankah Islam tidak redha akan penguasaan Zionis laknatullah di bumi Palestin?

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikut agama mereka. Katakanlah, “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).” Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak aka nada bagimu pelindung dan penolong selain Allah.”  (Al-Baqarah : 120)

Sejarah dunia moden telah menyaksikan, dengan pendudukan Zionis di Palestin, umat Islam Palestin telah diuji dengan penindasan fizikal. Jiwa suci tanpa dosa diseksa, nyawa ditaruhkan menurut suka – inilah natijah fikrah Zionis yang benar-benar ingin membina Negara haram Israel di bumi para anbiya’ itu. Sesungguhnya, hal yang demikian sangat-sangat bertentangan dengan ajaran Islam.  Maqasid syariah dalam Islam sangat-sangat memelihara nyawa manusia – hukuman yang keras akan dikenakan terhadap mana2 orang Islam yang membunuh orang Islam yang lain. Oleh itu, jika kita sudah memahami dengan jelas fikrah dan agenda Zionis terhadap saudara seagama kita di Palestin (Jerusalem atau Baitulmaqdis terletak di Palestin) – maka ayuh kita fikirkan – penganjur perhimpunan Yobel Jerusalem ini punyai agenda apakah di sebalik perhimpunan ini?

“Sahaja aku berpuasa kerana Malaysia” : Bijaksana, tapi Menunggang Agama. Kemengarutan Apakah Ini?

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kempen Puasa untuk Malaysia – atas dasar untuk mempromosi keharmonian antara agama. Kempen ini akan menyaksikan mereka yang bukan beragama Islam turut sama berpuasa dengan niat – untuk Malaysia. Satu ironi, yang sewajarnya dijauhi oleh umat Islam, kerana setiap amalan kita, wajib mahupun sunat – jika diniatkan kerana Allah S.W.T sahaja yang akan mengganjarkan pahala buat kita, juga melatih kita agar ikhlas. Sesungguhnya, jika kempen yang didalangi Muslim liberal dengan kerjasama sebuah gereja di Bangsar, Kuala Lumpur ini dibiarkan sahaja tanpa halangan; hal ini akan menimbulkan kekeliruan terhadap umat Islam tentang niat puasa. Natijahnya kelak, ramai yang akan beranggapan dan faham bahawa niat puasa untuk Malaysia 0 bagi umat Islam – dibenarkan, atas dasar ‘keharmonian antara agama’. Sedangkan, Allah hendak mentarbiyah kita dengan nilai taqwa, andai puasa kita adalah benar-benar kerana-Nya.  Generasi muda kiat mesti diterapkan dengan ilmu dan iman yang sebenar – agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan ‘penunggang-agama-acah-bijaksana’ ini. Sekali lagi, sebenarnya apakah agenda tersembunyi mereka- dengan melibatkan gereja sebagai penganjur bersama?

 

Lantas, apakah yang umat Islam mesti lakukan?

Suka untuk saya seru saudara-saudari semua, dalam bulan Ramadhan ini, agar kita ambil tahu tentang isu ini – luaskan bacaan agar luaslah tsaqafah (ilmu) kita; dan paling utama- TEGASKAN PENDIRIAN KITA SEBAGAI UMAT ISLAM. Aqidah kita tetap aqidah Islam yang sebenar, tanpa sebarang campur aduk. Baiki kualiti amalan fardu dan sunat di bulan Ramadhan ini- agar terpancarnya akhlak Islam dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Hal yang demikian, sebenarnya, ialah wasilah dakwah yang terbaik dalam kalangan masyarakat – tunjukkan keindahan Islam yang sebenarnya. Selain itu, para pemimpin Muslim mestilah TEGAS, mestilah benar-benar mengamalkan ayat 6 daripada surah al-Kaafirun di atas – agama Islam untuk umat Islam, agama lain untuk umat lain, tidak ada pertembungan. Lantas, para pemimpin Muslim mestilah MENGHALANG atau MEMBANTERAS perbuatan jarum-jarum halus Kristian dan Islam liberal ini agar kesucian agama Islam tidak tercemar.

Akhir kalam, Muhammad Ahmad ar-Rasyid, seorang tokoh dakwah telah menulis di dalam bukunya, “Langkah Bermula”, jika terdapat orang yang beriman, tetapi dia hanya berdiam diri dan tidak berusaha menegakkan syariat Allah dalam jiwa manusia lain, nantikan sahaja ujian Allah yang akan menimpa seluruh umat. Justeru, setiap umat Islam hendaklah membina iman yang sebenar di dalam diri, memperkaya ilmu tentang ancaman aqidah dan prakarsa menanganinya, dan meyakini kuasa doa kepada Allah S.W.T yang akan tetap memelihara agama-Nya sehingga akhir zaman. Iman yang sebenar akan menatijahkan manifestasi sempurnanya Islam sebagai sebaik-baik cara hidup. Pertentangan antara Islam dengan ideology-ideologi selain Islam akan terus berlaku; namun, Allah akan menjanjikan kemenangan untuk kebenaran (agama Islam) pada akhir zaman. Tanyalah hati dan iman, mahukah kita hanya menyaksikan sahaja, atau mahu bersama-sama bekerja ke arah kegemilangan Islam?

Wallahu a’lam.

 

 

Hana binti Mohamed Hear

Tahun 4, USM-KLE IMP Belgaum,

Kolumnis ISMA India

 

Rujukan:

-Al-Qur’an

-“Muntalaq : Langkah Bermula” , Muhammad Ahmad ar-Rasyid