Virus Ukhuwah – Bijak Mengurus Perbezaan

 

Orang tua-tua kita di kampung dahulu suka berseloroh,“rambut sama hitam,hati lain-lain”. Jikalau kita memahami betul pepatah tu, begitu jugalah situasi kita dalam medan juang ini. Kita memang berbeza. Berbeza dan tidak serupa. Tak dapat tidak, mesti ada juga pertembungan yang berlaku.

Hakikat pertembungan antara haq dan batil, semua sudah sedia maklum berlaku di luar sana yang kita setiap hari sibuk berhempas pulas melawannya. Inikan pula perbezaan pendapat, perselisihan faham, tersinggung perasaan dan emosi. Orang kata, ianya sudah menjadi lumrah dan cukup sinonim apabila kita berurusan dengan manusia, lebih-lebih lagi dalam amal jamaie (kerja berpasukan).

Siang Dan Malam

 

Kita ambil contoh. Siang dan malam, memang tak serupa. Siang sangat berbeza dari malam, dengan terik panasnya, kadang – kala gerimis atau hujan lebat. Malam pula tak sama langsung dengan siang, dengan tenang dan gelapnya. Namun begitu, bermula dari saat kita dilahirkan sehinggalah sekarang, segelintir kita masih belum gagal dan berjaya mengurus hidup kita dengan baik biarpun hari-hari kita sering bersilih ganti antara siang dan malam.

Lantaran itu, tiada pula dari kalangan kita mengadu tak boleh pergi kerja malam-malam, sampaikan kita ini dilatih supaya kuat untuk kerja siang dan malam, lihat sahajalah saudara kita di Gaza, mereka menjaga sempadan di sebelah malam selepas bekerja di pejabat kerajaan sebelah paginya.

Tiada pula dari kalangan kita bising tak boleh buat usrah pada waktu siang kerana ada kuliah dan sebagainya, tetapi kita tetap berusaha untuk adjust masa sehingga semua ikhwah boleh kumpul lepas subuh untuk datang juga usrah sebelum pergi ke kelas.

Jika begitu, sedar atau tidak, sebenarnya kita mampu mengurus. Kenapa tidak kita lonjakkan lebih lagi potensi diri kita untuk lebih bijak dan matang dalam mengurus perbezaan antara kita.

Kita Dalam Satu Gerabak Yang Sama

 

Teringat suatu ketika dahulu, ada seorang sahabat mulia, beliau pernah menasihati saya;

“ikhwah ni semua pun tengah belajar, masing-masing tengah belajar, terimalah mungkin kesilapan atau kesalahan dia. Kita bergerak dalam satu gerabak yang sama, tiada siapa lagi selain daripada kita untuk saling menegur, menasihati, baiki kesilapan, dan terus bekerja bersama-sama sehinggalah nanti kita kembali berjumpa dengan Allah. Allah sahajalah yang menjadi saksi”.

Apabila direnung kembali, memang benarlah kita ini bekerja untuk mencari redha Allah bukannya redha manusia semata-mata. Tengok sahabat-sahabat lain berjaya dalam dakwah, dapat menarik ramai orang yang berubah ke arah lebih baik, hakikatnya juga adalah kejayaan bagi diri kita.

Tengok diri kita kurang bernasib baik dalam tarbiyah, anak-anak buah usrah ramai yang malas, suka ponteng program tarbiyah, sebenarnya bukanlah masalah kita seorang sahaja. Sejauh mana kita merasakan kebersamaan kita dengan sahabat seperjuangan yang lain. Imam Hasan Al-banna ada menyebut dalam satu rukun baiah, rukun ukhuwah, iaitu,

 “ Maksudku dengan ukhuwah adalah: Hati-hati dan ruh terikat dengan ikatan akidah. Ikatan akidah adalah ikatan yang paling kukuh dan mahal.Persaudaraan sebenarnya adalah persaudaraan iman dan perpecahan adalah saudara kekufuran. Kekuatan yang pertama kepada kita adalah kekuatan kesatuan, tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang, kasih sayang yang paling rendah adalah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah martabat ithar (melebihkan saudaranya daripada dirinya sendiri) “

– Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna

 

Sudah Sampai Masanya Kita Diuji

 

Inilah sebenarnya yang dikatakan tarbiyah mubasharah (secara langsung). Hakikatnya, tarbiyah ini langsung daripada Allah SWT terus kepada kita. Naqib kita tidak lebih hanya sekadar alat atau medium untuk melaksanakan tarbiyah dan mendidik kita. Maka, sudah sampai masanya kita diuji oleh Allah SWT sendiri.

Kita dapat menilai sendiri sejauh mana tahap nilai ukhuwah kita sesama sahabat yang lain; bagaimana kita jujur menerima dan melaksanakan amanah yang diberi, adakah kita selalu merungut apabila diberikan tugas, sering irihati dengan pencapaian orang lain atau penyakit-penyakit hati yang lain.

Sahabat yang dikasihi, saya mengajak semua untuk kembali menyedari bahawa semakin besar tanggungjawab yang kita galas semakin beratlah ujian yang Allah beri. Persoalannya, bersediakah kita dan mampukah kita untuk menghadapinya?

Jika kita kata kita sanggup dan mampu, maka susunlah langkah dan persiapkanlah diri, fizikal, mental dan jiwa untuk menggalasnya. Namun jika sebaliknya, maka tunggulah saat terjatuh dan tergoleknya kita dari landasan ini, kerana gerabak ini takkan pernah berhenti walau sedetik. Sudah nama pun ‘harakah’. Harakah sifatnya takkan pernah berhenti, yang pasti ia akan terus bergerak dan bergerak semakin laju. Hal ini kerana perjalanan atas landasan ini masih belum sampai penghujungnya.

Oleh itu, apabila kita berani mengaku bahawa kita adalah pendokong dakwah dan harakah, kita mestilah memiliki jiwa besar. Dengan jiwa yang besar dan minda yang besar, barulah tindakan kita lebih bernas dan sesuai dengan apa yang kita fikir dan cadangkan. Ketepikan masalah yang ada dan selesaikanlah dengan bijaksana. Sangat tidak berbaloi, untuk diri kita disibukkan dengan perkara yang remeh temeh dan hal-hal kecil.

Perkara ini biasa berlaku, namun ia bukanlah alasan untuk kita jadikan ia sebagai suatu kebiasaan.

 

Kita Lahir Sebagai Singa

 

Sahabat yang dikasihi, bukalah sebanyak mungkin peluang dan ruang, carilah seribu satu asbab untuk melayakkan diri kita diangkat darjat oleh Allah SWT di atas muka bumi ini. Sebagaimana Allah sebut dalam surah al-Baqarah ayat 30 :

“ Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

 

Sahabat, kita lahir sebagai ‘singa’, dan kekalkanlah ke’singa’an yang sudah wujud dalam diri kita itu. Jadilah ‘singa’ yang dewasa, lebih matang dan lebih berani.

 

27/03/2015 Jumaat Jam 2330 Nehru Nagar, Belgaum, India

 

M. Asyraf Bin Kosnan,

Pelajar Perubatan Tahun Akhir USM-KLE Belgaum, India ,

Timbalan Pengerusi ISMA-India 2015