VAPE; Suatu Transisi Pencairan Identiti

IMG_4962 2

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى  الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ  لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ   مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ  أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ

 [رواه البخاري ومسلم]

Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.a. dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana pengembala yang menggembalakan hewan gembalaannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang  Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa dia adalah hati “. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam itu sangat cantik. Pelbagai perkara telah disyariatkan untuk memberi kemudahan dan kebaikan kepada penganutnya. Namun, kadang kala syariat itu disalah erti oleh muslim itu sendiri. Kata mereka, ianya membebankan dan tidak memberikan kebebasan kepada mereka. Walhal, Islam itu datang adalah untuk membebaskan manusia dari segala bentuk perhambaan, baik jasadi mahupun ruhi. Hanya perhambaan kepada Allah yang menjadi perhambaan total dan kekal.

Halal itu jelas dan haram itu juga jelas

Belakangan ini, hangat dibicarakan tentang isu vape. Ramai dalam kalangan vapers yang melahirkan rasa kurang berpuas hati dengan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah melakukan operasi merampas cecair-cecair vape di premis-premis berkenaan. Malah, ada juga yang sehingga mencabar keputusan fatwa yang telah mengharamkan penggunaan vape walaupun telah diulas panjang oleh alim ulama dan para mufti dari pelbagai aspek yang membawa kepada pengharamannnya.

Antara alasan yang telah mereka berikan adalah untuk berhenti daripada merokok. Jadi, pandangan mereka vape dibolehkan kerana memberikan mudarat yang kurang berbanding rokok. Ini adalah satu pandangan yang tidak betul. Perlulah difahami bahawa sesuatu kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan mudarat yang lain.

الضرر لا يزال بالضرر

Ini adalah satu daripada kaedah fiqh yang telah digariskan oleh ulama-ulama terdahulu dalam menentukan halal haram sesuatu perkara tersebut dan dijadikan panduan dalam isu ini.

Secara asasnya, segala kemudaratan  hendaklah ditolak dengan kebaikan. Bukan digantikan dengan sesuatu yang kurang sedikit mudaratnya. Untuk isu ini, tidak boleh dijadikan alasan menghalalkan vape kerana untuk berhenti merokok. Hal ini kerana vape juga membawa mudarat yang sama, cuma kurang sedikit sahaja dan ada yang masih belum jelas akan kesan buruknya secara jangka masa panjang. Tambahan lagi, terdapat alternatif yang lebih baik dan halal bagi mereka untuk berhenti merokok.

Realiti dan kesan

Walaupun kewujudan vape di Malaysia telah bertapak lebih kurang 5 tahun (mungkin lebih), namun budaya vape ini hanya wujud dalam setahun dua ini. Apabila saya menyebut budaya, ia bermaksud perkara yang dilakukan oleh segolongan besar daripada sesebuah masyarakat. Sebelum ini, tidak pernah atau jarang-jarang pula kita dengar isu vape, cuma setahun dua ini sahaja isu ini melonjak naik. Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana budaya ini yang telah menular dalam segenap lapisan masyarakat dan umum sibuk berbicara tentangnya kerana bimbang akan kesan-kesannya.

Lihat sahajalah, pelajar-pelajar sekolah seawal umur sepuluh tahun sudah mula berjinak-jinak dengan vape. Masalah sosial lain yang merunsingkan para guru belum pun dapat diselesaikan, kini timbul pula masalah baru. Kemudian, ada juga yang tidak pernah merokok, tiba-tiba mula vape. Untuk mengikut peredaran zaman kata mereka. Perempuan-perempuan Melayu pula tanpa segan silu menghembus asap vape di khalayak ramai. Di mana sifat malu yang dulunya menjadi simbol wanita melayu?

Pada bulan lepas, satu perhimpunan besar-besaran telah diadakan di Shah Alam untuk menghimpunkan golongan vapers di Malaysia. Dan yang terbaru, peniaga-peniaga vape serta vapers sendiri telah berhimpun untuk menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan KKM yang mengharamkan penjualan vape.

Alangkah menarik dan baiknya jika semangat mereka dalam berhimpun dan menentang itu disalurkan ke tempat yang sewajarnya. Sejujurnya, saya amat mengimpikan mereka ini akan turut sama membantu dalam proses pengislahan dan pembentukan masyarakat ke arah yang lebih islami. Kerana mereka punya semangat juang yang tinggi. Cumanya, saluran sahaja yang kurang tepat. Untuk itu, suntikan kefahaman perlu diberikan kepada mereka segera.

Kebimbangan umum

Sebenarnya, masyarakat menentang budaya vape kerana memikirkan tentang generasi akan datang. Kepincangan akhlak yang berlaku kini cukup membimbangkan. Ditambah pula dengan masalah sosial yang baru; vape. Walaupun ada yang menyelar penentangan vape dengan sindiran-sindiran yang kurang berasas dan kadang kala tidak masuk akal sekali pun, mereka akan terus menentang kerana bimbangnya mereka terhadap generasi akan datang. Antara modal yang digunakan oleh segelintir golongan vapers ini;

“Kenapa vape je? Judi, arak tu semua tak lawan pula?”

Ceritanya mudah sahaja di sini. Vape adalah perkara baru. Jadi, lebih mudah kita rawat pada peringkat awal sebelum ia menjadi lebih kritikal. Perlu kepada akta pengharaman segera agar tidak terus menjadi perkara yang kronik dalam masyarakat. Sebelum budaya vape ini menjadi kronik seperti rokok, yang agak sukar untuk ditangani, eloklah dibanteras segera. Tambahan lagi, “two wrongs don’t make a right.”

Saya menyeru kepada golongan vapers di luar sana, berhentilah. Jika anda mahu berhenti merokok, cuba cari alternatif yang lebih baik dan halal. Minta pendapat dan tunjuk ajar daripada kenalan-kenalan anda yang telah berhenti merokok tanpa vape sekali pun.

“Saya yakin anda mampu, hanya sekiranya anda mahu.”

 

MUHAMMAD AFIQ ARSYAD BIN JOHAR

MBBS, MELAKA MANIPAL MEDICAL COLLEGE

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India