TPPA : Kemerdekaan Berakhir (1957-2016)

Najmi

 

Setelah kita melihat banyak demonstrasi aman diadakan untuk membantah TPPA baru-baru ini, menjadi bukti bahawa sinar harapan itu sebenarnya masih ada. Hakikat bahawa tidak semua orang masih tertidur dan tengelam dalam mimpi. Hal ini terbukti apabila banyak NGO seperti ISMA khususnya yang sejak awal lagi mengkaji dan seterusnya menentang TPPA. Seruan ini yang kemudiannya disahut oleh NGO-NGO dan parti politik yang lain seperti PAS untuk turut berjuang bersama-sama di bawah sepanduk TOLAK TPPA. Kita sebagai orang yang beriman wajib mempunyai rasa benci kepada kemungkaran dan seterusnya menentangnya. Kita tidak mahu menjadi insan yang sekadar hanyut atau mabuk dalam arus fitnah globalisasi ekonomi masa kini. Wajib bagi kita yang mengaku beriman, menentang TPPA yang jelas tidak membawa kebaikan kepada agama,bangsa dan negara.

 

Hari ini kita sama-sama saksikan bahawa akhirnya usul TPPA dibentangkan dalam parlimen secara tergesa-gesa dan diluluskan. Sebuah keputusan yang tidak bijak telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin kita yang jelas mencabar kemaslahatan umat. Cukup sekadar beberapa siri jelajah penerangan ala kadar yang hakikatnya tidak menjelaskan hakikat sebenar TPPA kepada semua pihak.

Dimana silapnya? Pengajaran buat kita yang hari ini masih bergelar pelajar.

 

1) Tidak ramai dari kita yang betul-betul mengenali TPPA, bahkan tidak mampu untuk menjelaskan akronim ini pun.  Mungkin sebahagian dari kita mampu menjelaskan akronim ini, namun ketahuilah masih ramai anak muda tidak mengerti akan maksud 4 susunan huruf ini sekalipun. Yakni TPPA yang bermaksud Trans-Pacific Partnership Agreement. Sedangkan untuk menjelaskan akronim ini pun kita tidak tahu, apa lagi untuk melihat isi kandungannya.

 

2) Perasaan cinta kepada politik perlu ditanam didalam jiwa kita. Tidak cukup sekadar menyanyikan lagu patriotik di hari kemerdekaan, namun kita wajib serba sedikit ambil tahu akan hal-hal isu semasa terutamanya yang bakal mengubah nasib negara. Sedarlah, keputusan yang salah hari ini boleh jadi musibah buat diri di hari yang menanti. Kita yang bakal mewarisi negara wajib mula membentuk diri dan bersedia untuk membuktikan cinta kepada negara dengan cara yang sebenar.

 

3) Kejadian ini membuka mata kita akan hakikat, Malaysia kurang pemimpin yang muslim yang betul-betul memimpin mengikut landasan yang ditetapkan al-Quran dan Sunnah. Hal ini, menjadi tamparan hebat buat diri kita, bahawa satu tanggungjawab besar menanti kita untuk mengisi ruang-ruang kosong ini. Menyedarkan diri kita untuk terus bersama menyelusuri wasilah tarbiyah yang terbaik seperti yang disediakan ISMA untuk menyiapkan diri kita untuk menghadapi hari mendatang.

 

4) Kesatuan umat Islam mula berputik, apabila banyak NGO dan juga parti politik mampu berdiri bersama-sama seperti dapat kita saksikan pada Demo Bantahan TPPA pada baru-baru ini. Cukuplah bertelagah kepada perkara-perkara yang furu’ (cabang), kerana kita ada agenda besar untuk ummah. Kita akan saksikan, akhirnya mereka yang betul-betul berjuang kerana Allah akan bertemu juga di satu titik jika mereka benar-benar berada di jalan yang sahih.

 

5) Berotak sebelum berontak. Sebuah kata-kata yang pendek tapi cukup mendalam maksudnya. Kita perlu sedar bahawa setiap tindakan yang akan diambil kita perlulah diadili secara menyeluruh, bukan sekadar ‘ikut orang’. Kerana perjuangan yang sekadar retorik berlebihan tanpa kefahaman yang mantap hanya membuahkan kegagalan. Demonstrasi tanpa konsentrasi hanya tinggal ‘demon’ yang melahirkan sifat mazmumah dalam diri. Jadilah seorang yang mengadili isu semasa dengan sewajarnya.

 

6) Jumpa dan sembang mungkin dilihat perkara biasa, namun ketahuilah sembang-sembang di kedai kopi itu jika digunakan sebaiknya untuk berdiskusi hal-hal negara pasti ianya menjadi sebuah perkara yang bermanfaat. Anak muda hari-ini lebih suka berbual akan perkara-perkara kosong yang tidak menyentuh kemaslahatan ummah. Hal ini perlu diperbaiki. Indahnya penjumpaan dua orang ikhwah itu apabila bibirnya mebincangkan masalah ummah dan sama-sama berusaha memperbaikinya.

 

Wan Mohd Juaini Najmi Bin Nawawi

Aktivis ISMA India

Analyst at Interdisciplinary Research and International Strategy

Penulis buku headwithserban