Tidak Segankah Kita Dengan Allah?

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

 

Surah As-Saff (61 : 10-11)

 

Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan karena mencari keredaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, niscaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikit pun tidak akan dianiaya (dirugikan).

 

Surah Al-Baqarah (2 : 272)

 

Secebis Sirah Nabawiyyah

Di dalam hadis tentang peristiwa hijrah yang panjang disebutkan, “Lalu, beliau mengendarai binatang tunggangannya dengan diiringi orang-orang. Sampai akhirnya, binatang tersebut menderum di lokasi (calon) masjid Rasulullah SAW di Madinah. Di tempat itu, hari itu juga beliau mendirikan solat bersama kaum muslimin. Lokasi tersebut adalah kebun kurma milik Suhail dan Sahl, dua orang anak yatim yang berada di bawah asuhan As’ad bin Zurarah. Rasulullah SAW bersabda ketika binatang tunggangannya menderum di tempat tersebut, ‘Tempat ini, insya Allah, akan menjadi tempat tinggal (saya).’ Kemudian, beliau memanggil dua orang anak pemilik tanah tersebut dan menawar tanah mereka untuk dijadikan masjid. Keduanya berkata, ‘Tidak, bahkan kami menghibahkannya untukmu, wahai Rasulullah.’ Rasulullah SAW enggan untuk menerimanya sebagai hibah, hingga beliau membelinya dari keduanya ….” (Riwayat Bukhari, no. 3906)

 

Harta dan Kita

Kisah yang tertera merupakan satu daripada sejumlah kisah-kisah pengorbanan harta para sahabat Rasulullah SAW. Kesanggupan mereka untuk membelanjakan harta mereka di jalan Allah SWT merupakan suatu bentuk pengorbanan contoh kepada kita.

Ramai di antara kita anak muda, apatah lagi pelajar yang mendapat tajaan, mungkin tidak merasa betapa sukarnya untuk mengerah keringat dalam mencari rezeki untuk sesuap nasi. Ramai di antara kita merasa selesa dengan duit tajaan yang masuk pada setiap tempoh yang ditetapkan. Tambahan juga perbelanjaan yang ditanggung oleh mak ayah kita.

Duit-duit ini, selain untuk keperluan, juga dibelanjakan untuk membeli pelbagai kemewahan duniawi. Pakaian mahal, gadget-gadget terkini, makanan ala hipster, western, fine dining dan sebagainya menjadi sasaran untuk penyaluran setiap ringgit/rupee kita. Tidak kurang juga mereka yang menggunakan duit atas alasan hobi seperti bermain game, membaca novel dan karya bukan fiksyen, serta melancong. Ada juga golongan yang menggunakan duit mereka untuk dilaburkan dalam pelbagai bisnes.

Tidak. Bukanlah penulis ingin katakan perbelanjaan ke arah duniawi itu salah sepenuhnya. Walhal selagi dalam batasan syarak, kesemua itu hanyalah perkara harus. Tetapi tidakkah kita merasa segan terhadap Allah SWT apabila kita menabur pelbagai alasan untuk tidak berusaha menginfakkan harta kita di jalan dakwah dan tarbiah? Situasi dunia sekarang meletakkan Islam sebagai suatu bentuk permainan. Bukankah kita telah diberi suatu tanggungjawab yang besar; menaikkan syiar Islam di mata dunia, bukan sekadar permainan golongan yang membenci Islam, tetapi menjadi panduan seluruh alam?

Saidina Abu Bakar Assidiq rela menginfakkan seluruh hartanya di jalan Allah SWT dengan hanya meninggalkan Allah SWT dan Rasul untuk keluarganya. Saidina Umar Alkhattab mengeluarkan separuh hartanya semata-mata untuk dakwah. Saidina Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf menggunakan kepintaran ilmu bisnes mereka untuk kepentingan Islam serta menyedekahkan beratus-ratus ekor haiwan kenderaan untuk perang-perang, dan ini cumalah kisah-kisah daripada sahabat-sahabat yang lebih terkenal.

 

Refleksi Diri

Tanyalah pada diri sendiri, “Ke mana hartaku dibelanjakan?”, “Berapa banyak yang disalurkan di jalan Islam?”. Susunlah kembali prioriti kita dalam berbelanja. Bersederhanalah dalam mengumpul nikmat dunia yang memiliki pelbagai rupa dan bentuk. Ambillah satu hari dalam seminggu dan belanjakan satu atau dua jam untuk menyenaraikan kembali perbelanjaan kita. Berusahalah untuk menyediakan sejumlah harta untuk disalurkan kepada saham yang lebih bermakna untuk setiap manusia, iaitu saham akhirat.

 

 

 

Muhd Izzat Aliuddin bin Abdul Wahab

Intern

Yenepoya Dental College

Aktivis Isma India