THE PATHOLOGY OF EGO : A DEMON IN THE HEART

artikel izzat 

“Joe, sebagai member kau, aku nak nasihatkan yang kau kena berubah. Aku sedih tengok kau bergelumang dengan dosa. Aku sayang kat kau bro. Bukan apa, aku nak biar kita sama-sama masuk syurga.”

“Ek eleh. Takyah la nak bajet sangat. Mentang-mentang kau selalu bagi tazkirah kat depan bebudak lain kau ingat kau lagi baik dari aku?! Kemon la. Setakat apa yang aku buat ni ok lagi. Kau tengok jiran kau tu lagi la teruk. Baik kau tegur dia dulu daripada aku.”

“Ya Allah Joe. Aku tak berniat lain selain untuk kebaikan kau ni. Allah pun dah mention dalam Al-Quran. Hadis nabi pun dah jelas mengharamkan. Aku nak bantu kau ni Joe”

“Alah bising je kau ni Zack. Semua tu waktu zaman padang pasir je tu. Sekarang dah moden. Kena ikut perkembangan semasa la bro. Takkan nak ketinggalan zaman. Dah la kau tu student je. Bukan ustaz pun. Ada kuasa sangat ke nak tegur-tegur orang. Bajet berdalil-dalil pulak. Puihh la.”

————————————————————————————————————————–

Mesti anda pernah mendengar, menyaksikan malah melalui situasi di atas ini. Hal ini bukanlah sesuatu yang baru, malah senantiasa dibincangkan dalam pelbagai bentuk majlis-majlis ilmu. Dari forum-forum ilmiah hinggalah ke ruangan media sosial, situasi seperti ini mesti akan diutarakan, kerana situasi ini terikat dengan suatu penyakit hati yang besar kesannya kepada peribadi muslim. Penyakit itu ialah takabbur.

THE CONCEPT OF TAKABBUR

 

الكبر بطر الحق وغمط الناس

“Takabbur itu ialah menolak kebenaran dan merendahkan manusia..”

(Hadith Riwayat Muslim)

Jelas terungkap daripada sabda Rasulullah S.A.W bahawa takabbur ataupun lebih sinonim dengan perkataan ‘ego’, merupakan suatu sifat di mana seseorang itu menolak suatu kebenaran disamping merendah-rendahkan atau memperkecilkan manusia selain daripada dirinya. Ada juga yang menyamakan takabbur dengan sifat sombong.

Dalam erti kata lain, seorang yang ego merasakan dirinya lebih tinggi berbanding orang lain. Individu seperti ini merasa dirinya sentiasa benar walhal hakikatnya perkara itu salah di sisi Islam. Orang seperti in sukar ditegur malah akan melenting kepada ahli penegurnya.

Dibicarakan bahawa ego merupakan penyakit hati yang paling besar kerana banyak penyakit hati lain boleh bermula dengan ego. Mulanya ego, lahirlah pula sifat pemarah, keras hati, suka menghina dan lain-lain. Malahan, keegoan yang terlalu kronik mampu membawa kepada kekufuran

ETIOLOGY OF EGO

Punca akar takabbur selalunya melibatkan kurangnya kefahaman seseorang bahawa dia hanyalah seorang hamba Allah. Dengan lupanya seorang manusia kepada status hambanya, maka bermulalah episod penghambaan kepada suatu entiti makhluk dan bukan lagi khaliq.

“Aku ni businessman terkenal. Nak tegur tu agak-agak lah. Kau siapa nak nasihat aku. Duit pun entah ada entah tidak. Takyah nak tegur sangat la. Baik kau pergi cari duit untuk sara hidup kau.”

‘Weh kemon lah. Aku belajar lagi tinggi dari kau okay. Kau yang setakat ambik diploma ade hati nak dakwah aku konon. Aku lagi tau la bro. Takyah nak bajet pendakwah la.”

“Haha. Seriously?? Employee aku nak suruh aku solat jemaah?? Kau dengar sini. Aku yang bayar gaji kau. So jaga sikit mulut kau tu ok.”

Begitulah antara bentuk-bentuk perhambaan kepada makhluk yang boleh menjurus kepada keegoan seseorang manusia. Dorongan nafsu diri kepada ciptaan membuatkan seorang manusia itu lupa bahawa dia juga hanya ciptaan, tidak lebih daripada itu. Kebanyakan ketika, memang nafsu yang menjadi kabus yang mengaburi seseorang daripada mengenal Tuhan sekalian alam.

Namun begitu, ramai di antara kita tidak sedar bahawa kita dihambakan dengan duniawi lantas melahirkan sifat ego dalam diri kita. Bila mana seorang rakan menegur kita, apakah yang keluar dari mulut kita? Jika keluarnya unsur ego, kepada makhluk apakah yang kita hambakan diri kita?

SIGNS AND SYMPTOMS OF EGO

Antara tanda awal sifat ego telah lahir dalam diri seseorang ialah kepayahan untuk menerima teguran dari orang lain. Jika dilihat contoh yang telah diberikan, orang-orang tersebut adalah mereka yang telah berjinak-jinak dengan keegoan masing-masing. Apabila anda ditegur, pernahkah anda renung kembali apakah yang dibicarakan dalam hati anda? Bila mana hati merasa tidak selesa tatkala ditegur, maka berhati-hatilah.

Orang yang kuat egonya juga seringkali menuding jari ke arah orang lain apabila ditegur. Dapat kita lihat bagaimana situasi terawal bacaan ni berlangsung bila mana Joe mengatakan “Mentang-mentang kau selalu bagi tazkirah kat depan bebudak lain kau ingat kau lagi baik dari aku?!”. Atas sebab tidak boleh menerima kebenaran, maka fakta pun dibelitkan ke arah si penegur.

Salah satu tanda orang yang ego ialah suka membanding antara satu dosa dengan dosa yang lain. Dapat kita lihat bahawa Joe mengungkit dosa jiran Zack di dalam contoh di atas. Hendaklah kita sedar bahawa dosa orang lain bukanlah lampu hijau untuk kita berbuat dosa. Seringkali kita lihat saat seseorang ditegur, maka dia akan mempersoalkan mengapa dosa yang si fulan lakukan tidak ditegur.

Orang yang ego juga suka merendah-rendahkan orang lain. Perlu kita sedari bahawa dosa yang kita lakukan, tidak kira siapa pun yang menegur kita, tetap suatu dosa. Sama ada orang intelek atau dungu, kaya atau miskin, tua atau muda, jika teguran mereka menepati hukum Allah, maka sepatutnya hendaklah kita terima dengan hati yang terbuka.

MANAGEMENT OF EGO

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti dengan apa yang kamu kerjakan”

 (Surah Al-Hasyr : 18)

 

Sebagai seorang muslim, hendaklah kita sentiasa muhasabah kembali apa yang telah kita lakukan. Sesungguhnya tidak adalah manusia biasa yang terlepas daripada dosa. Namun masih tidak terlewat untuk kita memperbaiki diri. Jika ada sisa-sisa ego di dalam hati, berusahalah untuk memperbaikinya. Seharusnya hendaklah kita sentiasa mencari ilmu mengenal Allah agar kita lebih mudah merasa rendah diri.

“Termasuk buah dari ilmu yang paling agung adalah sikap tawadhu’. Tawadhu’ adalah ketundukan secara total terhadap kebenaran, dan tunduk terhadap perintah Allah dan rasul-Nya dengan melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah…”

(Bahjatu Qulubil Abrar)

“Tahukah kalian apa itu tawadhu’? Tawadhu’ adalah engkau keluar dari kediamanmu lantas engkau bertemu seorang muslim. Kemudian engkau merasa bahawa ia lebih mulia darimu.”

(Imam Hasan Al-Basri)

 

Latihlah diri kita untuk sentiasa mengamalkan sifat tawadhu’. Jangan sekali-kali merasa diri kita lebih tinggi daripada orang lain. Ajar diri kita untuk menjadi ibarat padi di sawah, semakin berisi, semakin menunduk.

Tanamkan dalam minda kita sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

 “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun sebesar biji sawi…”

(Hadis Riwayat Muslim)

 

Ingatlah kembali implikasi sifat ego yang telah dipamerkan oleh Iblis  Laknatullah saat diperintah untuk sujud kepada Nabi Adam A.S. Turunnya laknat Allah S.W.T kepada iblis kerana kesombongannya.

Wallahua’lam

 

 Rujukan:

  1. Al-Quran Al-Karim
  2. http://www.tarbiahsentap.com/2015/07/5-tanda-kau-ego.html?m=1
  3. http://kisahakhirzaman.blogspot.in/2011/09/bahaya-ego-dan-sombong.html?m=1
  4. http://cm1mc.blogspot.in/2011/04/keburukan-akibat-penyakit-ego.html?m=1

 

MUHD. IZZAT ALIUDDIN BIN ABDUL WAHAB

PELAJAR TAHUN AKHIR YENEPOYA DENTAL COLLEGE

AKTIVIS IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA) INDIA