Sujud Dalam Tahajud

 

 

Individu muslim yang bertaqwa semestinya akan melakukan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.Menjalankan perintah Allah salah satunya adalah dengan menunaikan solat fardhu 5 kali dalam sehari semalam.Namun begitu,jika amalan ibadah tambahan seperti solat sunat dipraktikkan dalam kehidupan seharian,pasti akan peroleh ganjaran pahala yang berganda serta hikmah dikurniakan oleh Allah.Salah satu solat sunat yang sangat dianjurkan untuk dikerjakan oleh umat Islam ialah solat sunat tahajud.

 

Solat sunat tahajud merupakan solat sunat yang dilakukan pada malam hari iaitu pada waktu sepertiga malam yang terakhir.Waktu ini merupakan waktu yang sangat mustajab untuk berdoa dan pada waktu ini juga para malaikat akan turun ke bumi.

 

‘Dan pada sebagian dari malam,maka bersujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bagian yang panjang di malam hari’ (Al-Insan : 26)

 

Banyak manfaat yang kita bisa peroleh jika amalan sunat ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.Namun begitu,ia bukanlah suatu perkara yang mudah dan bukan juga sesuatu yang sukar untuk diamalkan.Jika kita teliti kembali,bukan mudah seseorang itu untuk bangun lantas meninggalkan tempat tidurnya.Akan tetapi,bak kata pepatah, ‘nak seribu daya,tak nak seribu dalih, dimana ada kemahuan disitu ada jalan’.Berdoalah kepada Sang Pemilik hati kita supaya kita punyai semangat serta azam yang tinggi untuk mengejar dan peroleh manfaat daripada amalan ini.

 

PENGHAPUS DOSA SERTA MENCEGAH BERBUAT DOSA

Salah satu keistimewaan solat sunat tahajud ialah medium untuk menghapus dosa-dosa yang telah kita lakukan serta dapat mencegah kita daripada melakukan kembali kerana setiap malam kita akan mengingat Allah bahawa dzat-Nya yang maha melihat sehingga kita akan sentiasa merasa diri diawasi lalu dapat mencegah kita daripada membuat dosa kembali.Jika ingin semua dosa yang dilakukan selama ini diampuni oleh Allah,maka lebih baik jika solat sunat taubat juga dilakukan.

 

TANDA TAKWANYA TERLIHAT DI MUKA

Orang yang terbiasa melakukan solat tahajud maka wajahnya akan terlihat bersinar.Hatinya juga akan tertuntun dengan perkara kebaikan kerana solat dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.Ia juga dapat meneguhkan keimanan seseorang kerana hatinya tetap teringat kepada Sang Pencipta.Bukan itu sahaja,permulaan aktiviti seharian individu ini juga dapat dijalankan dengan hati yang tenang dan teratur kerana permulaan episod baru hidupnya dimulakan dengan perkara kebaikan dan diredahi oleh Allah.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a,bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Setan mengikat pada hujung kepala salah seorang diantara kalian ketika tidur dengan tiga ikatan.Masing-masing ikatan mengatakan, ‘Engkau masih memiliki malam yang panjang,maka tidurlah!’ Jika ia bangun lantas menyebut nama Allah,maka terlepaslah satu ikatan.Jika ia berwudhu’ maka lepaslah ikatan berikutnya.Dan jika ia mengerjakan solat,maka terlepaslah satu ikatan lagi,sehingga keesokan harinya ia menjadi giat,demikian jiwanya akan menjadi baik.Jika tidak demikian,maka keesokan harinya ia menjadi kotor jiwanya lagi pemalas” (HR Muslim)

 

ALLAH MENGANGKAT DARJAT KE TEMPAT YANG TERPUJI

Manfaat solat tahajud yang lain ialah Allah akan mengangkat darjat hamba-Nya ke tempat yang terpuji.Seperti dalam Al-Quran,

‘Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu.Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji’ (Al-Isra : 79)

Tika ini kita lihat ramai umat manusia yang berlumba-lumba mahu mengejar pangkat dan mencipta nama dipersada dunia.Pangkat serta darjat yang dikejarkan itu hanyalah pengiktirafan daripada manusia yang lemah itu sendiri.Jadi mengapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh dalam mengejar pengiktirafan daripada yang teragung yakni Pencipta kita sendiri? Tepuk dada tanya iman.

 

Sudah semestinya banyak lagi manfaat yang bakal kita peroleh.Hal ini demikian kerana,setiap amalan atau kebaikan yang dianjurkan dalam agama Islam itu sendiri bisa mendatangkan seribu satu hikmah kepada si pelaku.Allah itu maha bijaksana lagi maha penyayang yang hanya mahukan kebaikan buat semua hamba-Nya.Akan tetapi,adakah kita sedar dan bersyukur akan hakikat itu? Niat semata-mata kerana Allah serta keikhlasan hati dalam melakukan sesuatu itu merupakan antara kunci utama untuk kita mendapatkan istiqamah dalam beribadah dan yang paling utama ialah redha Illahi.Semoga sujud dalam tahajud itu dapat menjadi salah satu pemberat kepada mizan kebaikan kita di akhirat kelak. Wallahua’lam.

 

 

Ainnur Aisyah Binti Lahmudin

Pelajar Tahun Akhir

AB Shetty Memorial Institute of Dental Sciences

Aktivis ISMA India