Singkat Permusafiran Dunia

img_8313

Kuala Lumpur, Mac 2016

Langkahnya laju bergegas menuju ke Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sekilas dia menoleh ke belakang, menghantar pandangan perpisahan buat watan yang tersayang.

Panjang barisan penumpang di setiap lane auto-gate. Matanya mengerling jam di pergelangan tangan. Tinggal setengah jam sebelum waktu pesawat berlepas. Dia kelam kabut gara-gara terlajak tidur. Entah berapa kali alarm di handphone dimatikan.

Terlintas peribahasa Arab, “masa ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita.”

Dia akui, sukar menjadi pemuda yang menepati masa, walhal diturunkan suatu surah di dalam mushaf Al-Quran yang menceritakan tentang masa.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia kerugian. Melainkan antara kamu yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Benar. Hari ini dia rugi. Dek kerana lajak tidurnya, dia tidak berkesempatan makan sarap pagi. Perutnya lapar. Dan dek kerana lajak tidurnya menjelang tengah hari, dia terlepas nikmat dhuha untuk hari ini. Ruhnya lapar. Allah. Astaghfirullah.

Panggilan terakhir dibuat sebelum pintu masuk ditutup. Arm all doors. Cross check. Bibirnya menutur perlahan doa sebelum memulakan perjalanan. Mustajab doa musafir. Ibu selalu berpesan, doa senjata orang beriman.

“Berimankah aku?” Sering soalan sedemikian muncul di ruang mindanya. Namun dipaksa hatinya, dipaksa bibirnya, mengalun doa. Memohon diampunkan segala dosa. Dititipkan doa buat kesejahteraan keluarga.

Fikirannya menerawang. Tidak fokus kepada demonstrasi keselamatan oleh pramugara penerbangan. Keselamatan. Penumpang diajar cara-cara memastikan keselamatan sepanjang penerbangan. Tali pinggan keselamatan. Jaket keselamatan.

Ya. Semua ingin selamat sampai ke destinasi. Ada yang mungkin pergi bercuti. Mungkin juga pergi merehatkan diri. Pokok pangkalnya, semua ingin selamat tiba di destinasi.

“Aku ingin selamat sampai ke destinasi. Dunia dan juga syurga abadi.” Desisnya perlahan.

Dia akui, dia punya tujuan hidup di muka bumi. Ahli ibadah. Khalifah. Keredhaan Allah.

Dan dia ingin selamat, tanpa tersesat di permusafiran dunia yang singkat.

 

Aktivis ISMA India Zon Selatan