SI JELITA DAN SI HODOH: FAHSYA’ YANG MENONGKAH ARUS

 

“Dan (Kami juga telah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada kaumnya: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan fahisyah(1) itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelum kamu?  Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka) bukan kepada perempuan, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

(Al-A’raf : 80-81)

Firman Allah S.W.T. dalam surah al-A’raf di atas telah menggambarkan tentang perbuatan liwat (i.e. hubungan seks antara lelaki dengan lelaki) – telah berlaku dalam lipatan sejarah umat manusia. Dan dewasa ini, telah kedengaran suara-suara sumbang yang seakan-akan meng’halal’kan ‘fitrah-bernafsu-terhadap-sesama-jantina’ ini – atas nama hak asasi dan kebebasan individu (individual liberty). Membawakan contoh filem Beauty and the Beast, yang telah ditayangkan secara rasminya di pawagam-pawagam seluruh Malaysia pada 30 Mac lepas di mana filem ini juga merupakan salah satu bentuk ghazwul fikr (serangan pemikiran). Rentetan daripada isu demikian, benarkah Beauty and the Beast ini merupakan suatu unsur fahsya’(keburukan) yang menongkah arus akhlak madani umat Islam di Malaysia?

Filem arahan Bill Condon itu – dalam salah satu sedutan daripada filem tersebut, telah memaparkan kenyataan pengarah filem tersebut iaitu “it (merujuk kepada babak keinginan Lefou untuk mencium Gaston-kedua-dua ini ialah watak dalam filem itu) is normal in a country where gay is acceptable.” Di Malaysia, hubungan nafsu sesama jantina (lesbian, gay) bukanlah sesuatu yang menjadi norma masyarakat, khususnya masyarakat Muslim. Dan, kita dapat lihat di sini bagaimana sedutan daripada filem itu dapat mempengaruhi minda bawah sedar (subconscious mind) umat Islam di Malaysia jika mereka menontonnya. Lantaran itu, sedikit demi sedikit umat Islam akan beranggapan bahawa – kita mesti menerima hubungan sejenis ini – kerana ramai orang Malaysia yang menerimanya. Bukankah sudah jelas lagi tegas larangan Allah terhadap hubungan sejenis dalam al-Qur’an?

Selain itu, hubungan sejenis bukanlah sebahagian daripada ajaran Islam dan bukan juga budaya Melayu khususnya. Allah S.W.T telah menjadikan fitrah manusia – lelaki tertarik kepada perempuan dan begitu juga sebaliknya. Satu contoh logik yang ingin saya utarakan di sini, sekiranya semua umat manusia menerima dan beramal dengan hubungan nafsu sesama jantina, – bagaimanakah  populasi manusia akan dapat diteruskan? Sedangkan secara biologinya, gamet betina (ovum) memerlukan gamet jantan (sperma) agar dapat tersenyawa justeru berkembang menjadi manusia yang cukup sifatnya.Mungkin ada penyokong-penyokong tegar hubungan nafsu jijik ini akan berhujah menggunakan kaedah saintifik seperti bank sperma dan permanian beradas (jika pasangan lesbian ingin memperolehi zuriat). Sebaliknya pula, jika pasangan gay ingin memperolehi zuriat – mereka akan mendapatkan bekalan ovum yang dibekukan – justeru apabila dewasanya anak-anak berikut kelak, mereka akan keliru, siapakah sebenarnya ibu bapa biologikal mereka? Dua-duanya sama jantina, lantas bagaimana? Hal ini jelas lagi terang bertentangan dengan maqasid syariah(2) iaitu untuk memelihara keturunan. Apabila runtuhnya institusi keluarga  maka bukankah akan pincang moral masyarakat natijahnya?

Seterusnya, masyarakat harus sedar akan kebejatan moral yang semakin meruncing di negara kita. Lantaran itu, anasir-anasir yang menyumbang ke arah kebejatan akhlak masyarakat seperti contohnya filem-filem atau drama-drama yang kurang sesuai untuk tayangan umum hendaklah melalui  piawaian penapisan yang benar-benar membawa manfaat kepada masyarakat. Tegasnya, masyarakat perlu faham dan sedar, bahawa jika kemungkaran dibiarkan berleluasa, Allah S.W.T akan menurunkan bala kepada masyarakat . Maka bukankah mencegah kebobrokan moral itu lebih ampuh daripada merawat simptom masalah umat yang sudah kritikal?

“Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka,agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”  (Ar-Rum : 41)

Tuntasnya, sebagai umat Islam di Malaysia,kita seharusnya menjadi lebih sensitif dengan anasir-anasir media yang cuba untuk mempengaruhi fikiran dan akhlak kita. Sesungguhnya, media yang didominasi kuffar dan taghut akan tanpa lelah menyuntik ideologi-ideologi yang menggangu gugat akidah  kerana inilah sunatullah haq melawan batil. Oleh itu, umat Islam seharusnya berusaha meningkatkan ilmu dan memasakkan akidah, agar kita sentiasa berada dalam akidah Islam yang benar dan sejahtera.

Wallahu a’lam.

 

Hana binti Mohamed Hear
Tahun 4, USM-KLE IMP
Kolumnis Isma India

 

Rujukan:

-https://www.theguardian.com/film/2017/mar/21/beauty-and-the-beast-malaysian-film-censors-back-down-in-gay-moment-row

-Muqaddimah Tafsir Fi Zilalil Qur’an (Bahasa Melayu), Syed Qutb

-Al-Qur’an

(1)Fahisyah = daripada perkataan Arab fahsya’ yang bermaksud keburukan

(2)Maqasid syariah = Matlamat syariah Islam iaitu untuk memelihara keturunan, agama, harta, akal dan jiwa (nyawa)