Segulung Ijazah Buat Bekalan Menjunjung Risalah

Saudari Fatihah (kiri) dan saudari Siti Zunaini

Saudari Fatihah (kiri) dan saudari Siti Zunaini

DHARWAD, 7 Oktober – Majlis Graduasi Jubli Perak yang ke-25 telah berlangsung di S.D.M College of Dental Sciences and Hospital bagi meraikan para graduan yang telah dianugerahkan Bachelor of Dental Surgeries (BDS) setelah masing-masing berjaya menamatkan pengajian selama lima tahun. Antara yang diraikan termasuklah dua orang aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India, saudari Siti Zunaini binti Daud, 25, dan saudari Fatihah binti Yusoh, 25.

Saudari Siti Zunaini pernah menjawat jawatan Timbalan Biro Penerangan, ISMA India, telah berjaya memperoleh Bachelor of Dental Surgeries kelas pertama merupakan seorang aktivis yang telah bergiat aktif di dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti anjuran ISMA India. Ketika ditanya tentang kepentingan tarbiyah bagi seorang pelajar, beliau memberikan jawapan yang mungkin klise bagi para pembaca tetapi benar-benar mendalam maksudnya.

“Sebagai seorang muslim yang belajar, kita perlu bijak untuk seimbangkan antara akademik dan risalah. Melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah bukan menjadi alasan untuk tidak cemerlang dalam bidang akademik, malah menjadi suatu kuasa pendorong untuk lebih tangkas dan cekap di dalam pengurusan individu. Jikalau sekiranya kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita. Yakin dan tawakal untuk setiap perkara yang kita lakukan dan sentiasa tajdid niat semata-mata kerana Allah s.w.t.”

Sementara itu, saudari Fatihah, merupakan mantan Timbalan Biro Tarbiyah, ISMA India, juga telah berjaya memperoleh Bachelor of Dental Surgeries kelas pertama, merupakan rakan karib saudari Siti Zunaini semenjak zaman persekolahan mereka di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu, Kelantan, berkongsi cabaran yang telah berjaya mereka tempuhi sepanjang berada di India.

“ Berurusan dengan pesakit yang bahasa ibundanya berbeza dengan kita, memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Namun, kami di sini menyahut cabaran untuk belajar bahasa tempatan yang tidak kurang sukar dan alhamdulillah dengan bantuan rakan-rakan, guru-guru, masalah tersebut mampu diatasi. Cabaran akademik yang lain antaranya; kami ditugaskan mencari pesakit dalam jumlah yang sangat ramai, endless quota, namun dari sudut positif yang boleh diambil, kami didedahkan dengan pelbagai variasi kes-kes pergigian, yang mungkin berbeza dengan contoh-contoh yang terdapat di dalam buku teks, dan mungkin tidak akan kami hadapi di Malaysia nanti.”

Kedua-dua orang sahabat karib ini berkongsi harapan yang sama, agar sekembalinya mereka ke Malaysia kelak mampu membawa diri sebagai mahasiswa yang mempunyai jati diri, tidak mudah dipengaruhi tipu daya modenisasi. Mereka mempunyai cita-cita yang tinggi, agar mampu menjadi doktor qudwah, agen perubah di Malaysia kelak, berbekalkan segulung ijazah dan pengalaman-pengalaman yang ditimba di bumi Maududi selama lima tahun berada di sini.

Saudari Zunaini (kiri) dan saudari Fatihah

Saudari Zunaini (kiri) dan saudari Fatihah

Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan buat kedua-dua aktivis yang telah banyak mencurah keringat bagi memastikan kelancaran pelaksaan aktiviti-aktiviti ISMA India sepanjang keberadaan mereka di sini. Semoga dengan pulangnya permata-permata berharga ini, mampu memberi manfaat kepada umat Islam umumnya dan rakyat Malaysia khususnya. Wallahu’alam.

Disediakan oleh: Nureen Fatin Syafiqa Adnan

Wartawan ISMA India Zon Selatan