Sebelum Nasi Menjadi Bubur .

 

Baru-baru ini, Malaysia digemparkan dengan berita berkenaan sekumpulan Melayu Islam mengadakan protes menggesa sebuah gereja menurunkan lambang salib mereka sepertimana yang dilaporkan oleh media. Namun begitu, kisah sebenar di sebalik kes yang masih menjadi perbualan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun kes ini telah selesai; sekurang-kurangnya antara penduduk Taman Medan itu sendiri dan pihak gereja yang terlibat, masih lagi menjadi tanda tanya.

Pelbagai reaksi rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa dilontarkan kepada kedua-dua belah pihak melalui akhbar, laman-laman sosial dan sebagainya. Namun, disebabkan biased media, berita berkenaan reaksi negatif pula lebih menjadi berita utama. Protes yang dibuat oleh penduduk Taman Medan digambarkan sebagai tindakan lapuk, ekstrimis dan andaian-andaian buta.

Penduduk Muslim Taman Medan berpendapat bahawa lambang salib yang besar itu tidak perlu bagi menghormati komposisi penduduk di situ yang lebih 90 peratus adalah Islam. Malah, kewujudan gereja itu juga dirasakan tidak perlu atas faktor adanya gereja yang lebih besar tidak jauh dari kawasan tersebut dan bilangan penganut Kristian yang sedikit, sesuai dengan nisbah penganut-rumah ibadat di kawasan tersebut.

Suara Sumbang dan Jahat

 

Apabila tersebarnya berita ini, lahirlah ‘hero-hero Malaya’ atau para pejuang demokrasi yang menghentam sekumpulan penduduk Taman Medan ini tanpa melakukan usul periksa dan memahami isu ini secara mendalam terlebih dahulu. Barangkali ‘hero-hero’ ini terlupa dengan firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6;

 “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah kebenarannya dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali perbuatanmu itu.”

Jika diteliti, kita dapat lihat dengan jelas media mana yang sering memutarkan isu ini. Kebanyakannya berita ini dilaporkan oleh portal-portal berita berunsur liberal yang jelas mempunyai agenda menjatuhkan Islam. Mereka mengambil peluang dan ruang yang ada, memutarkan isu ini dan secara sengajanya melaporkan dengan tidak amanah. Cubaan-cubaan memecahbelahkan umat Islam dan menggambarkan umat Islam yang berjuang menegakkan yang haq sebagai ekstrimis agama sudah tidak asing lagi dalam laporan-laporan mereka.

Buka sahajalah portal-portal berita online seperti Malaysia Kini, The Malay Mail, Malaysian Insider, dan pelbagai lagi portal lain, didapati banyak laporan anti-Islam terkandung di sana. Konsistensi mereka dalam menyalurkan berita-berita sebegini sewajarnya menjadikan kita lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan berita yang datang dari mereka. Maka, memang wajiblah bagi kita untuk selidik terlebih dahulu sebagaimana yang diperingatkan dalam al-Quran.

 

Toleransi ?

 

Berbalik kepada isu tadi, ramai yang memperlekeh usaha sekumpulan penduduk Taman Medan ini. Walaupun cara mereka menzahirkan apa yang mereka rasakan itu saya pun kurang setuju, tetapi tindakan mereka ada asasnya. Pelbagai tohmahan dan sindiran diberikan kepada mereka. Mereka dilabel sebagai golongan ekstrimis agama oleh ramai orang termasuk saudara seakidah mereka sendiri. Suara-suara sumbang itu ibarat mengejek mereka dengan mengatakan bahawa adakah iman mereka terlalu lemah sehinggakan lambang salib itupun menggugat akidah mereka. Ada juga yang mengatakan mereka ini tiada toleransi dalam beragama. Secara peribadi, saya ingin bertanya kepada mereka yang mengatakan kelompok Melayu Muslim ini tiada toleransi beragama, toleransi bagaimana lagikah yang anda mahukan? Toleransi mengikut neraca manakah yang anda guna? Toleransi sehingga prinsip agama tergadai?

Berbicara soal toleransi, umat Islam di Malaysia ini sudah terlebih-lebih toleransinya terhadap orang bukan Islam. Orang bukan Islam bebas mengamalkan ajaran dan amalan agama masing-masing. Cumanya, mereka perlu patuh pada undang-undang negara yang menghalang mereka menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Kita lihat lagi di Bukit Jalil, sebuah gereja terbesar di Malaysia yang memuatkan lebih 5000 orang dalam satu-satu masa telah dibina. Walaupun nisbah bilangan penganut Kristian dan gereja yang sedia ada tidak seimbang. Kemudian, penganut-penganut agama lain juga bebas mengamalkan ajaran mereka. Kuil-kuil dan tokong juga dibina. Semua itu telah menunjukkan betapa umat Islam di Malaysia sudah ‘cukup bertoleransi’.

 

Udang Sebalik Batu dan Kenaifan Umat Islam

 

Terdapat juga segelintir ‘hero-hero’ tadi yang mengatakan bahawa salib hanya ditakuti oleh vampire dan hantu sahaja, sekadar memperlekeh tindakan sekumpulan penduduk Taman Medan itu yang meminta pihak gereja menurunkan lambang salib mereka. Perkara yang ‘hero-hero’ ini tidak sedar sebenarnya adalah lambang salib yang besar itu bukan semata-mata sekadar lambang kepada agama Kristian, tetapi ianya juga berupa penguasaan.

Kita boleh merujuk sejarah kembali bagaimana penjajah-penjajah Barat khususnya daripada Eropah lama seperti Christopher Columbus, Cortes dan Albuquerque apabila mereka datang sesuatu tempat untuk menjajah, mereka membawa bendera Imperialisme dan juga projek Kristianisasi. Hal ini adalah kerana lambang salib itu juga mempunyai nilai atau tanda penguasaan mereka terhadap sesuatu tempat. Barangkali  ada penganut Kristian yang tidak besetuju dengan hal ini, tetapi fakta sejarah telah membuktikannya.

Apabila kita bercakap tentang isu kristianisasi dan gerakan evangelis, sebahagian daripada ‘hero-hero’ tadi mengatakan bahawa itu hanyalah sekadar teori konspirasi dan momokan kepada umat Islam. Naif sungguh mereka. Bukti sudah berada di depan mata pun masih lagi tidak mahu percaya. Lihat sahajalah negara jiran kita, bagaimana kelirunya umat Islam di sana dengan penggunaan kalimah Allah-nya, liberalisme, pluralisme dan segala fahaman ciptaan manusia yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Isu kristianisasi dan gerakan evangelist ini bukanlah momokan anak kecil, tetapi ianya adalah realiti. Apakah kita masih memilih bersikap ‘tak apa’ jika mereka ingin dirikan gereja di sesuatu tempat tanpa apa-apa keperluan komuniti atau apa-apa kepentingan lain?

Sebelum Terlambat

 

David Garrison menceritakan dalam bukunya, Church Planting Movements: The Next Wave?, perihal bagaimana misionari-misionari Kristian ini menyebarluas dakyah mereka bermula dengan mendirikan gereja-gereja kecil terlebih dahulu. Untuk di Asia Tenggara sahaja, seorang pakar strategi Kristianisasi bermula dengan 3 rumah gereja kecil dengan hanya 85 orang ahli pada tahun 1993. Selepas hanya tujuh tahun, keahlian telah meningkat mendadak ke 90 000 penganut yang telah dibaptis yang beribadat di 920 buah gereja baru. Jadi, adakah kita masih lagi ingin mengatakan ‘tak apa’?

Sikap apologetik segelintir umat Islam yang sebenarnya tidak perlu untuk isu ini amatlah menyedihkan. Lebih-lebih lagi apabila ianya datang daripada beberapa orang figur agama yang menjadi perhatian orang ramai. Kebimbangan kita tentang akidah umat Islam bukan sahaja untuk masa sekarang, tetapi masa hadapan juga. Kita tidak mahu generasi seterusnya nanti yang menerima bahana atas sikap ‘tak apa’ kita. Pada waktu itu, nasi pun dah menjadi bubur.

 

Muhammad Afiq Arsyad Bin Johar ,

Tahun 1 Melaka Manipal Medical College (MMMC) ,

EXCO Biro Dakwah ISMA India 2015