Relevenkah polisi pro-Bumi dihapuskan?

Artikel ini merupakan respon kepada artikel yang dikeluarkan oleh The Malay Mail Online bertarikh 26 Jan 2015 :
http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/saying-all-malaysian-are-equal-student-group-pushes-for-end-to-pro-bumi-pol

——————————————————————————————————————————-
1. Ayahanda saya berbangsa Bisaya, berasal dari Beaufort Sabah. Bonda saya berbangsa Dusun, berasal dari Keningau Sabah. Dua bangsa ini, Bisaya dan Dusun termaktub kukuh serta terjamin kedudukannya sebagai Bumiputera Sabah.

2. Saya menduduki peperiksaan SPM saya pada tahun 2009, lulus cukup-cukup makan untuk melayakkan diri saya memohon Biasiswa Kerajaan Persekutuan, JPA.

3. Biarpun dengan keputusan cukup-cukup makan, saya masih terpilih sebagai pemegang Biasiswa Persekutuan. Maka saya perlu menjalani kursus persediaan di KTT sebelum saya ke India dalam bidang Perubatan.

4. Di KTT barulah saya sedar siapa diri saya sebenar. Barulah saya sedar keputusan SPM saya itu hanya biasa-biasa dibandingkan keputusan sahabat-sahabat lain. Di Kolej Persediaan, deretan pelajar 9A+ dari seluruh negara membanjiri. Dibandingkan dengan saya, keputusan SPM mereka jauh lebih baik. Maka sebab apa saya terpilih?

5. Maka ketika itu juga saya tahu, ramai lagi pelajar 9A+ di luar sana yang gagal dalam usaha mereka untuk memperoleh biasiswa JPA. Tidak kira dari bangsa Bumiputera atau bukan Bumiputera.

6. Malah, hampir separuh dari jumlah pelajar Melayu Semenanjung di KTT 2010/2011 adalah ‘pelajar rayuan’, yang mana mereka adalah pelajar-pelajar yang ditolak permohonan mereka pertama kali, kemudian berjaya selepas melalui proses rayuan. Mereka ini bukan calang-calang, malah keputusan SPM mereka lebih baik dari saya.

7. Maka,atas dasar apa, saya, seorang yang memperoleh keputusan SPM ‘biasa-biasa’, berjaya mendapat Biasiswa Persekutuan JPA dengan mudah?

8. Jawapannya simple. Kerana ada peruntukan khas 10% untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak.

9. Jika tiada dasar yang ‘Pro-Bumi’ ini, sudah pasti saya sekarang tidak layak untuk memegang Biasiswa Persekutuan ini kerana lebih ramai yang punya keputusan SPM jauh lebih baik dari saya. Saya, by this time mungkin akan memancing ikan atau kerja kilang.

10. Jika tiada peruntukan khas yang ‘Pro-Bumi’ ini, saya tidak fikir anak bangsa saya mampu untuk bersaing dengan Bumiputera di Semenanjung. Jauh sekali untuk bersaing dengan non-Bumiputera. Mereka ini juga hebat, namun keadaan kehidupan mereka mungkin menghalang potensi dalam diri mereka.

11. Bayangkan pribumi Sabah/Sarawak yang majoritinya masih perlukan sokongan,tiba-tiba hilang status bumiputeranya dan terpaksa bersaing dalam keadaan mereka serba kekurangan. Adakah itu suatu yang adil?

12. Membaca artikel ini,serta membuat saya bertambah meluat dengan individu bernama Fahmi Zainol. Jika tempoh hari, terbit juga rasa kasihan melihat cara beliau dihalau di hadapan UMS. Hari ini, saya fikir beliau memang layak dihalau. Individu ini menghina pribumi Sabah.

13. Golongan yang menggelarkan diri mereka Anak Muda Harapan Malaysia(AMHM) ini bukan sahaja mencabar Perlembagaan Persekutuan, mereka juga menghina Perjanjian Malaysia 1963 yang telah meletakkan point dan prasyarat supaya hak dan kepentingan Bumiputera Sabah dan Sarawak kekal terpelihara sebagai syarat pembentukan Malaya, Sabah dan Sarawak menjadi Persekutuan Malaysia!
Oleh :

Mohd Nadzrin Shah Abd Rashid,
JK Pengkaderan ISMA India Zon Selatan.