Realiti Hijrah dan Perjuangan

Flickr_-_…trialsanderrors_-_Yeni_Cami_and_Eminönü_bazaar,_Constantinople,_Turkey,_ca._1895Saban tahun, kita menyambut Maal Hijrah bagi meraikan tahun baru menurut kalendar Islam hijrah. Sebagaimana kita sedia maklum, Saidina Umar al-Khattab r.a. telah memilih tahun peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat dari Mekkah ke Madinah sebagai tahun pertama bagi kalendar Islam. Tahun demi tahun berlalu pasca penghijrahan Rasulullah s.a.w, kekuasaan Islam menjadi semakin kukuh dan ampuh. Umat Islam semakin bersatu padu dan mempunyai hala tuju yang sama untuk meletakkan Islam berada di tempat yang tertinggi sehingga kita mampu menjadi kuasa dunia pada suatu ketika dahulu. Inilah impak revolusi Islam yang berlaku pasca peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w.

Kini, berada pada tahun 1437H, nilai kekuasaan Islam tidak lagi seperti zaman Turki Uthmaniyah. Tidak lagi dipandang sebagai kuasa dunia yang mampu menggerunkan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Rusia. Kerosakan ini menjadi semakin kronik rentetan asakan bertubi-tubi daripada musuh-musuh Islam dalam usaha memadamkan cahaya Islam. Sementara ramai daripada umat kita kian hanyut dalam arus modenisasi, liberalisasi; luntur nilai jati diri; asyik dengan keseronokan dunia; larut dengan gejala maksiat dan banyak lagi.

Malah kita juga berada di bawah tampuk pimpinan yang seakan pincang; tidak mampu lagi membawa kita menjadi bangsa yang merdeka. Kita ditekan dengan isu-isu yang dilihat bakal merugikan kedudukan Islam di tanah air kita seperti isu Perjanjian Kerjasama Trans Pasific (TPPA).

Hijrah, Suatu Revolusi

Sangat penting untuk kita melihat kembali sirah Rasulullah s.a.w, bagaimana peristiwa hijrah menjadi suatu bentuk revolusi yang memberi nafas baru kepada umat Islam pada hari itu, sehingga terbentuknya negara Islam lengkap berpelembagaan; Madinah. Susulan pembentukan negara Madinah, lebih 40 buah peperangan tercetus bagi memastikan kekuasaan Islam diiktiraf di seluruh tanah jazirah Arab.

Nilai revolusi ini perlu bermula dari dalam diri kita terlebih dahulu. Berhijrah meninggalkan jahiliyah, kembali kepada Islam dengan sebenar-benarnya. Kembali mendalami Al-Quran dan hadith, ilmu-ilmu yang membina kefahaman islam, berlapang dada untuk meneguhkan ukhwah islamiyah yang hala tuju akhirnya adalah untuk melahirkan individu-individu yang menjadi tulang belakang dan batu-bata kepada pembentukkan sebuah negara Islam.

Firman Allah s.w.t,

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nisa’ : 100)

Sesungguhnya, keadaan umat yang kian tenat pada saat ini menuntut kita untuk mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dan merasakan kepentingan hijrah untuk bermula daripada diri setiap daripada kita sebelum kita berjaya membawa hijrah yang lebih besar buat Islam. Tiada jalan pintas untuk mengembalikan kegemilangan Islam. Semoga kedatangan tahun 1437H memberi nafas baru kepada kebangkitan umat Islam!

 

Mior Zainul Arif Zamzuri

Tahun 4 Manipal College of Dental Sciences (MCODS), Mangalore

EXCO Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India