Ramadhan : Ghairah Beramal

 

 وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ

 

” Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu ”

(Ali-Imran : 133)

 

BERSEGERALAH

 

Kerap kali kita sering sahaja terleka dibuai kesibukan bekerja, berkeluarga serta mengejar keindahan duniawi. Namun, amat sedikit yang menyedari akan hakikat kehidupan dunia yang hanya persinggahan dan bersifat sementara. Lihat sahaja sekeliling, apabila manusia begitu rakus menikmati kehidupan tanpa mempedulikan batas syarak yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Yang kaya menjadi semakin kaya dan yang miskin kekal papa kedana apabila berlaku kezaliman di mana-mana. Lihat pula pada statistik ibu-ibu remaja yang melahirkan anak luar nikah yang kian bertambah bilangannya serta golongan remaja yang kian rosak akhlaknya. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-An’am, ayat 32;

 

 

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

 

” Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? “

 

Bahkan Allah tegaskan lagi dalam firmanNya;

 

وَمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

 

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).

(Al-ankabut: 64)

 

Jelas di sini Allah memberi amaran bahawa dunia ini hanyalah persinggahan sementara dan yang kekal adalah negeri akhirat kelak. Namun, walau diberi peringatan berulang kali, kita tetap terperangkap dengan hiasan dunia kerana iman kita yang kadang-kadang naik dan turun.

 

Walau sebanyak manapun dosa yang telah kita lakukan, Allah s.w.t itu Maha Pengasih. Bersegeralah bertaubat dan mohon keampunan dariNya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Sesungguhnya Allah janjikan syurga itu untuk orang-orang yang soleh dan neraka itu diciptakan bagi orang-orang yang mengingkari perintahNya.

 

 

يَغْفِرُ لِمَن يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

” Ia mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ”

(Ali-Imran:129)

 

 

PERSEDIAAN

 

Beberapa hari lagi umat Islam bakal menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang penuh berkah dan kemuliaan. Umat Islam akan menyambut dengan penuh kegembiraan, dan topik hangat yang menjadi perbualan sepanjang bulan tersebut adalah persediaan baju raya, kuih-muih dan sebagainya. Namun tidak harus kita lupakan tujuan utama bulan Ramadhan agar kita dapat memaksimumkan kedatangannya untuk meraih keampunan dan rahmat dari Allah s.w.t.

 

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda;

 

 “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”

(Bukhari & Muslim)

 

Oleh itu, sewajarnya kita tidak menyiakan kedatangan bulan penuh keberkahan ini. Rancanglah sebaik mungkin untuk kita raih pahala dan ganjaran yang tersedia di bulan Ramadhan. Pastikan bulan Syaaban diperuntukkan untuk mempersiapkan diri secara ruhi bagi menghadapi Ramadhan.

 

BULAN YANG ISTIMEWA

 

 

Daripada Salman r.a. ia berkata:

 

Telah berkhutbah Rasulullah s.a.w. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.

 

Antaranya, biasakan diri dengan puasa sunat, bangun sahur dan qiam, bersedekah, iftar jamae’i bersama keluarga dan rakan. Pastikan juga ada simpanan kita untuk disalurkan pada yang tidak mampu agar kita lebih mensyukuri nikmat rezeki yang Allah berikan pada kita. Rancang kewangan supaya pembaziran dapat dielakkan lebih-lebih lagi sewaktu membeli makanan di bazar Ramadhan. Bulan Ramadhan sepatutnya menjadi bulan untuk kita melatih nafsu, bukannya mengikut hawa nafsu.

Oleh itu, ayuh tanamkan keghairahan mengisi Ramadhan kali ini dengan cita-cita untuk meraih sebanyak mungkin pahala dan rahmat yang tersedia. Sesungguhnya umat Islam sangat beruntung diberikan peluang mengecapi nikmat Ramadhan. Moga kita terpilih untuk menyambut Ramadhan pada tahun ini.

Allahumma balighna Ramadhan.

 

 

Dr Fatihah Yusoh ,

Doktor Pelatih ,

SDM Dental College, Dharwad ,

Timbalan Exco Tarbiah ISMA India 2015 .