Ramadhan: Bukanlah Sekadar Cliché

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

[Al-Baqarah: 183]

 

Ramadhan, Bulan Yang Suci

Kurang seminggu lagi ketibaan bulan Ramadhan. Segala kelebihannya telahpun dipertunjukkan kepada kita; baik dari Al-Quran dan hadis, ceramah-ceramah agama di masjid-masjid dan radio IKIM, penulisan-penulisan di ruang maya, dan sebagainya. Sudah tidak ada ruang lagi untuk kita berkata “Eh, Ramadhan ni banyak khasiat rohani dan jasmani ke rupanya?”.

 

Bulan Ramadhan juga banyak berlaku peristiwa-peristiwa penting dalam sirah nabawiyyah, antaranya, penurunan Al-Quran dan juga perang Badar; perang yang menjadi penentu sekiranya akan wujudnya orang-orang yang akan menyembah Allah lagi atau tidak. Sungguh, betullah ungkapan lirik nasyid yang tidak asing lagi bagi kita, “Ramadhan, bulan yang suci”.

 

Hanya Suatu Kebiasaan

 

TAKWA. Itulah objektif akhir kefardhuan puasa bulan Ramadhan. Ianya menjadi sifat seorang mukmin untuk meletakkan niat suatu amal dengan sebab ingin mematuhi perintah Allah, kemudian barulah sebab-sebab lain. Dalam konteks puasa, sebab-sebab lain termasuk; menjaga kesihatan, mendidik kesabaran, mengajar untuk berjimat cermat dan lain-lain.

 

Namun begitu, tidaklah sedikit insan-insan yang menganggap Ramadhan itu hanya sebuah kebiasaan, malah sebuah cliché yang sering didengari apabila menjelang bulan yang suci ini. Insan-insan ini tidak merasa bahawa hebatnya bulan ini dan besarnya ganjarannya. Bagi mereka, Ramadhan hanyalah sekadar menahan diri dari makan dan minum serta meninggal perkara-perkara yang membatalkan puasa. Yang lebih teruk, ramai insan-insan yang meninggalkan puasa wajib Ramadhan sama sekali.

 

Sangkaan bahawa Ramadhan itu hanya sebuah cliché adalah berpunca dari kurangnya kesedaran serta kefahaman bahawa nilai seorang manusia di “mata” Allah itu hanyalah sekadar hamba yang lemah, miskin serta tidak bermaya. Ramadhan dilihat hanya sebagai  suatu bulan yang biasa, malah bagi sesetengah insan, adalah bulan yang melecehkan, menyusahkan dan mengurangkan produktiviti harian.

 

“Eleh, bulan puasa je pun, Tak payah nak dengar sangat la ceramah tu. Asyik cakap benda sama je”

 

“Adoi, Ramadhan lagi. Dah tak boleh nak turun main bola dah petang-petang”

 

“Lah macam tak biasa je. Dah 20 tahun hidup pun nak semangat-semangat ada ‘Ramadhan Goals’ ”

 

Renungi dialog-dialog contoh tersebut dan cerminlah diri.

 

Air Mata Seorang Hamba

Hadits Rasulullah Saw yang dituturkan Ibn Mas’ud r.a. : “Sekiranya umatku mengetahui kebajikan-kebajikan yang dikandung bulan Ramadhan, niscaya umatku mengharapkan Ramadhan terus ada “sepanjang tahun ”

(HR. Abu Ya’la, ath-Thabrani, dan ad-Dailami).

 

Dari Ummu Mukminin Aisyah r.a.  , Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: “Adalah Rasulullah S.A.W. apabila masuk (tanggal) sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda s.a.w. BERSEDIH dan bersiap-siap menghidupkan (beramal) pada malam hari. (Riwayat Muttfaq Alaihi)

 

Sememangnya menjadi salah satu sifat manusia untuk meletakkan nilai sesuatu dengan apa yang tampak dihadapan mata. Mudahnya menilai harga segunung emas yang berada dihadapan tubuh. Namun, nilai pahala Ramadhan itu jauh lebih besar di neraca Al-Mizan. Nilai air mata tangisan memohon keampunan Allah dibulan Ramadhan itu jauh lebih suci dari sesuci kain sutera bersulam benang emas dan perak. Malangnya, bukan semua insan mampu melihat nilai iman dan takwa yang boleh dikecapi dengan bulan Ramadhan.

 

Maka, mulakanlah dengan menginsafi diri. Berdoalah kepada Allah agar segala pancaindera kita dibuka untuk melihat, mendengar dan merasa nikmatnya pahala Ramadhan itu. Usahakan diri untuk beramal sedikit demi sedikit dan beristiqamah agar tidak mudah putus asa. Keikhlasan hati menjadi kayu ukur agar Ramadhan dapat dilihat sebagai medan pahala yang besar.

 

 

 

Muhd Izzat Aliuddin bin Abdul Wahab

Intern

Yenepoya Dental College, Mangalore

Bendahari Kehormat ISMA India Sesi 2016/17