Prinsip Dakwah Yang Tersasar

 

Firman Allah S.W.T:

artikel izzat

 

“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyeru kepada yang ma’aruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.”

Surah Ali-Imran : 110

 

Allah swt telah menggariskan kewajipan dakwah kepada umat Islam di dalam Al-Quran dengan jelas. Ayat di atas adalah antara ayat di dalam Al-Quran yang menyeru umat Islam untuk menggerakkan dakwah; mengajak kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran. Usaha gerakan dakwah Islamiyyah ini telah pun dizahirkan sendiri oleh junjungan besar Rasulullah S.A.W. bersama para sahabat. Malah para nabi dan rasul sebelumnya juga telah melakukan usaha yang sama.

Usaha ini juga sedang diteruskan hinggalah ke zaman ini. Namun begitu, pernahkah kita berfikir sejenak tentang pembawaan dakwah kita? Apakah dakwah kita ini mempunyai prinsip yang sama dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw? Kebanyakan dari kalangan mereka yang telah terseleweng gerak dakwahnya khususnya pada isu prinsip. Sama ada secara sedar atau tidak, penyelewengan-penyelewengan di jalan dakwah ini akan membantutkan perkembangan dakwah dan akan menyebabkan mad’u tersesat dari fikrah Islam yang asli.

 

 

Maka, timbul persoalan, bagaimana penyelewengan dakwah seperti ini boleh berlaku? Tidak dinafikan ada dalam kalangan para pendakwah yang terseleweng dari jalan dakwah mempunyai niat yang benar, malah tidak dinafikan kesungguhan mereka. Sehubungan itu, Islam telah berpesan agar orang-orang beriman hendaklah saling mengingati.

 “Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”

(Surah Adz-dzaariyaat : 55)

 

Ilmu dan Penyelewengan

 

Fitnah ilmu merupakan lubang gelincir yang paling merbahaya. Seorang pendakwah akan mencari ilmu serta hujah-hujah untuk mempersiapkan dirinya. Namun adakalanya, pendakwah tersebut dikaburi dengan ilmu yang diperolehi sehingga menganggap dirinya berada di tahap mufassir, muhaddith, dan yang sewaktu dengannya sedangkan ilmu yang diperolehi itu adalah di tahap minima. Seorang mukmin yang hanya mempelajari Islam melalui buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah, tapi seolah ingin ‘mengeluarkan fatwa’, maka itu berbahaya untuk jalan dakwah bahkan kepada Islam itu sendiri. Lebih merbahaya jika pendakwah tersebut menghina ulama-ulama yang silam.

Benarlah ada orang yang berkata:

“Orang yang paling berani mengeluarkan fatwa ialah orang yang paling kurang ilmunya”

(petikan dari Fiqh Dakwah, Ustaz Mustafa Masyhur)

Satu bentuk fitnah ilmu lagi ialah apabila seorang pendakwah itu terlalu fokus menimba ilmu berkenaan dakwah dan tarbiyyah serta berlumba-lumba membaca majalah ilmiah sahaja sehingga dia terlupa untuk menyuburkan iman dan taqwa, memperkuat jihad dan latihan dakwah Islam.

 

Pengutamaan Kepada Perkara Furu’ Berbanding

Perkara Usul

          

  Sudah sedia maklum bahawa akidah Islam itu bermula dengan menegakkan akidah; iman dan tauhid di dalam jiwa, dan iman itulah yang mendorong para pendakwah untuk menyerahkan diri pada Allah dan mengikut perintah Allah tanpa ragu dan bimbang. Pembentukan jati diri seorang pendakwah tidak akan sempurna tanpa mengutamakan perkara-perkara ruhi malah hanya mengutamakan yang zahir. Perkara cabang (furu’) lebih dipentingkan berbanding perkara asas (usul).

Dakwah seharusnya bermula dengan perkara usul. Apabila asas akidah seseorang itu sempurna, maka pembentukan jati diri muslim adalah lebih lancar lantas bangun melaksanakan segala ajaran Islam. Sebagai contoh mudahnya; mengutamakan kesempurnaan menutup aurat  berbanding mempersoalkan niqab.

 

Salah Faham Antara Bertegas dan Bersusah Payah

 

Semangat dan ketegasan dalam dakwah adalah penting dan diutamakan terutamanya dalam soal prinsip. Namun adakalanya seorang pendakwah itu ‘terlebih’ semangat sehingga bekerja bersusah payah, lama –kelamaan dia tidak mampu bertahan di jalan dakwah.

Di sini kita wajib membezakan di antara tindakan yang tegas penuh kesungguhan dengan berpayah-payah serta membebankan diri di luar kemampuan. Sesungguhnya nafsu itu adalah ibarat anak kecil, apabila ia dicuaikan akan terus mencintai penyusuan tetapi apabila dipisahkan daripadanya ia akan berhenti menyusu kepada ibunya. Jadi tidak boleh tidak mestilah nafsu itu ditundukkan dan dikendalikan di dalam batas-batas kemampuan kerana Allah Taala telah berfirman sebagai ajaran untuk kita:

 

 

“Ya Tuhan kami janganlah Engkau membebankan kami sesuatu bebanan yang tidak sanggicp kami memikulnya”.

(Al-Baqarah: 286)

Sesungguhnya amal yang sedikit tetapi berterusan itu lebih baik dari amal yang banyak tetapi terputus dan terhenti di tengah jalan. Kita juga tidaklah sepatutnya bersikap melampau dan cuai, kerana bebanan kita banyak, sementara itu pula dakwah memerlukan para pendokongnya yang mempunyai cita-cita yang tinggi, kemahuan yang kuat, keazaman yang tegas, tangkas dan unggul.

 

 

 

 

Terburu-buru Mengejar Kemenangan

 

Dakwah yang berjaya adalah dakwah dengan perancangan yang rapi dan tersusun. Terburu-buru dalam dakwah akan melambatkan ke arah mencapai matlamat malah membahayakan gerakan Islam. Adakalanya pendakwah itu terlalu bersemangat dan optimis sehingga mampu melakukan tindakan yang membabi buta dan di luar perancangan rapi. Malah ada yang ingin mengangkat senjata sedangkan tidak memiliki kekuatan akidah dan perpaduan.

Imam Hassan Al-Banna di dalam tulisannya di dalam “RISALAH MUKTAMAR KELIMA” di bawah tajuk “Al-Ikhwan: Kekuatan Serta Pemberontakan” menukilkan bahawa kekuatan yang pertama ialah kekuatan akidah dan keteguhan iman dan diiringi pula dengan kekuatan persatuan dan perpaduan. Akhir sekali barulah kekuatan tangan dan senjata. Itu pun jika sudah tidak mempunyai jalan dan pilihan lain.

 

Kualiti vs Kuantiti?

 

Kekuatan tarbiyyah itu tidak seharusnya dipandang rendah. Pembinaan jati diri mukmin yang berkualiti adalah lebih penting dari kuantiti, dan diakui umat kini kurang dari sudut kualiti walaupun hakikatnya kita mempunyai kuantiti. Kita perlu berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan kuantiti anggota yang ada, bahkan jangan sesekali menganggap ianya menguntungkan tanpa mewujudkan iltizam tarbiah iaitu bermula dari bawah.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;

“Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan”‘. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”.

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Kata Syakib Arsalan:

“Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa,  Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu (palestin). Penulis-penulisnya mencadangkan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang  khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun, seperti biasa aku akan menjawab: Kita WAJIB memulakan usaha Islam ini dari bawah; iaitu  melalui TARBIYAH INDIVIDU. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”

 

Khilaf Manusia

 

Kita adalah manusia yang pastinya memiliki perbezaan. Adakalanya kita benar, dan pastinya juga kita akan melakukan kesilapan. Hal ini merupakan perkara biasa bagi sesiapa yang bekerja dan berusaha di dalam sesuatu bidang. Tetapi, di bawah naungan cinta, kasih sayang dan persaudaraan kerana Allah, dan dorongan ikhlas dan tajarrud (membulatkan diri kerana Allah), segala kesalahan boleh diperbetulkan, perbezaan pendapat boleh diperbaiki, penerangan boleh dibentangkan, dipertimbangkan dan dirumuskan serta diselaraskan.

Perbezaan pendapat di dalam sesuatu perkara tidak merbahaya selagi ianya pada tiang cinta dan kasih sayang. Tetapi jika ditonjolkan oleh orang-orang yang tertentu yang mempunyai kepentingan tertentu dan dicampur dengan emosi sentiment yang tiada panduan. Maka di sinilah syaitan masuk campur dan akan menyebabkan perpecahan.

Akhirnya segala usaha menjadi hancur berantakan, waktu dihabiskan dalam perbalahan kemudian berusaha pula membuat perdamaian. Jika perkara seperti ini terus terjadi dan berulang maka dakwah dan kepentingannya akan terkorban di dalam suasana yang sedemikian. Padahal, sewajarnyalah segala usaha yang membina perlu ditumpukan kepada generasi yang sedang tumbuh dan mekar dalam mendidik dan mempersiapkan mereka dengan sebaik – baiknya.

 

Konklusi

 

Oleh itu, apa yang disebutkan di atas adalah antara bentuk ‘korupsi’ dalam gerak kerja dakwah. Jelaslah betapa besarnya kesan buruk terhadap gerakan Islam sekiranya ianya dijangkiti virus-virus penyelewengan tersebut. Perlu diingatkan bahawa gerabak dakwah itu jauh dan lama, namun akan kekal bergerak.

Mulalah menuntut ilmu dengan waspada dan tidak mudah terpedaya serta tidak melampaui batas. Perbetulkan dan sempurnakan perkara usul berbanding berdebat pada perkara furu’. Istiqamahlah dalam gerak kerja dan jangan melampaui kemampuan diri. Jangan terburu-buru dan rancang gerak kerja sebaiknya. Mulakan dakwah dengan tarbiyyah dan membina rijal-rijal ummah yang berkualiti. Berhentilah bertengkar dan bersepakatlah atas nama Islam.

 

Muhammad Izzat Aliuddin,

Pelajar Pergigian Tahun 3 Yenepoya University ,

Aktivis ISMA India Zon Selatan .