Pimpinan ISMA India Hadir AGM ISMA Kali Ke-14

 

Oleh Wartawan Media ISMA India

 

 

IMG_2708

Kelana Jaya, 21 Mac – Seramai tiga orang ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan India  telah hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ISMA kali ke-14 iaitu, Setiausaha Agung ISMA India, saudara Muhammad Farris bin Mohd Hanafi, Ketua Biro Ekonomi, saudara Muhammad Harith bin Aini, dan Timbalan Ketua Biro Dakwah, saudari Sabrina Najwa binti Mohamad Ashari. AGM ISMA kali ini diadakan di Dewan Angkasa, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Kelana Jaya. Seramai 291 perwakilan dan 367 orang pemerhati hadir dari seluruh cawangan dalam dan luar negara.

 

Mesyuarat Agung  ISMA 2015 membawa tema “Mengarus Perdana Agenda Dakwah, Mengangkat Suara Ummah” seperti yang disebutkan dalam Ucapan Dasar Presiden di awal mesyuarat. Tema tersebut menggambarkan dakwah ISMA semakin berkembang dari tahun ke tahun, dan masyarakat mula meyakini agenda Islam yang dibawa.

IMG_2706

 

Kesemua perwakilan yang dianggotai oleh para pemimpin ISMA di semua peringkat sama ada di peringkat cawangan, agensi dan lain-lain turut hadir memeriahkan AGM ISMA kali ini. Para perwakilan dari cawangan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak  membahaskan ucapan dasar dengan penuh bersemangat serta menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah.

 

Di akhir mesyuarat, Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman selaku Presiden bagi sesi 2015-2017 berkata, “Kita hanya pelaksana kepada sistem yang telah siap, sistem yang diturunkan oleh Allah melalui Rasulullah. Kita tidak perlu mencipta benda baru, kita hanya perlu bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang telah diamanahkan kepada kita. Ini ciri unik pada ISMA, kerana ISMA bukan semata-mata NGO, parti politik mahupun kebajikan, tetapi ISMA adalah manhaj Islam yang hidup dalam diri dan masyarakat.”

IMG_2707

 

Didoakan fikrah dan agenda ISMA berkembang ke semua peringkat masyarakat khususnya dalam kalangan mahasiswa/wi di India. Fikrah Islam ini perlu didokong dan direalisasikan bagi memastikan Islam tertegak dan menjadi kuasa besar dunia suatu hari nanti.