Perutusan Maal Hijrah 1436 ISMA India

 

1794669_508720929230945_1297114059554939018_n

Alhamdulillah, puji dan syukur kita sama-sama panjatkan kepada Allah S.W.T. yang masih dan akan terus mengurniakan seribu satu macam anugerah serta nikmat yang tidak terhingga nilainya. Nikmat dan anugerah inilah, kita selaku hamba-hamba-Nya di atas muka bumi ini yang berperanan untuk memanfaatkannya sehabis boleh dengan umur dan tenaga yang kita miliki untuk kepentingan bersama.

Sungguhpun tarikh satu Muharam pasti akan datang dan pergi saban tahun, namun saya percaya dan yakin bahawa semestinya kita semua umat Islam tidak mahu menginginkan setiap saat itu berlalu begitu sahaja tanpa berbekas di dalam hati dan menjadi saham di akhirat kelak. Maka, konsep hijrah yang sebenarnya haruslah difahami dan dihadam oleh setiap daripada kita yang bergelar mukmin sejati.

Hijrah seringkali dikaitkan dengan perubahan. Maka satu persoalan harus timbul dalam benak fikiran kita. Apakah perubahan-perubahan yang telah kita lakukan dan capai selama paru-paru kita bernafas di muka bumi ini? Adakah ia sekadar senarai tindakan yang berjela-jela panjangnya, ataupun mutu tindakan perubahan kita mampu memberikan kesan dan impak yang tinggi kepada diri sendiri mahupun masyarakat sekeliling.

Oleh itu, sebagai muslim mukmin yang memiliki jiwa yang sensitif, peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di tanah air selama setahun yang lalu seharusnya dipandang serius dan menyeluruh.  Perubahan yang berlaku daripada sebuah negara yang berpendapatan rendah kepada satu masyarakat yang mampu berdikari dan berdaya saing merupakan satu pencapaian yang perlu dibanggakan. Noktah ini seharusnya dijadikan motivasi bagi mengorak langkah yang seterusnya. Namun, menilai semula ujian dan musibah  yang melanda negara baru-baru ini dan sebelumnya perlu diambil peduli dan difikirkan masak-masak.

Apakah pula kaitannya antara sebuah negara dengan posisi kita sebagai seorang mahasiswa rakyat Malaysia di negara orang? Sekiranya kita merasakan bahawa setiap tindak tanduk dan perilaku kita ini turut menyumbang kepada setiap titik perubahan yang berlaku dalam masyarakat, seharusnya kita tidak lagi memandang enteng terhadap perkara tersebut malah akan terus merencana kehidupan dengan lebih teratur mengikut manhaj Ilahi.

Maka, setiap perubahan yang berlaku ini perlulah dinilai sama ada ia adalah perubahan yang drastik, meliputi sebahagian perkara dan bersifat sementara sekadar untuk mencapai nama atau adakah sebaliknya? Iaitu perubahan yang berperingkat-peringkat, bersifat menyeluruh dan kekal.

 

al-baqarah 208

 

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

[Al-Baqarah: 208]

Sebagaimana firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Baqarah ayat yang ke 208, Allah telah menyeru kepada orang Islam dengan menyebut identiti iman yang wujud di dalam diri kita agar masuk ke dalam Islam secara total dan jangan mengikuti langkah-langkah syaitan. Seruan yang penuh dengan belaian kasih sayang, yang membezakan kita daripada orang lain menjadikan Allah amat hampir dengan kita. Sudah terang lagikan bersuluh, mesej ini sangat jelas memaparkan acuan manakah yang perlu kita pilih dalam usaha untuk melakukan perubahan.

Acuan Tuhan menyahut seruan Allah sebagai hambaNya ataupun acuan musuh yang terang-terang menyimpang dan menyesatkan. Tafsiran Allah mengatakan bahawa tiada jambatan yang menghubungkan antara kebenaran (haq) dan kepalsuan (batil). Seruan kata putus Allah dalam ayat ini juga menandakan bahawa di sekeliling kita ini terdapatnya golongan yang jiwa mereka masih memberontak dengan keraguan yang bermain-main untuk melakukan ketaatan yang mutlak kepada Allah S.W.T.

Maka, perubahan yang harus kita lakukan haruslah dengan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah secara total dan bukannya sedikit-sedikit. Niat kita, pandangan kita, pemikiran kita, tindakan kita, percakapan kita dan seluruhnya. Ini bermakna seharusnya tiada lagi ruang dalam sudut kehidupan kita ini untuk duduk bersekongkol dengan mereka yang samar-samar matlamat perjuangannya dan tidak jelas tindak tanduk mereka. Hal ini kerana golongan ini amat licik dan halus dalam permainan menyesatkan umat Islam tanpa disedari.

Wahai seluruh umat Islam rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, sempena Maal Hijrah 1436H ini Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India menyeru kalian agar singkaplah mata hati kalian seluas-luasnya, bahawa tanda-tanda kebesaran Allah jelas di pandangan kita dan berjuanglah bersama-sama kami dalam jihad mempertahankan agama suci Islam ini.

Usahlah lagi kita menafikannya dengan tutur kata kita sendiri sedangkan jiwa suci kita ini sudah sekian lama membenarkannya. Seandainya kalian adalah golongan yang sudah terlucut sifat sensitif daripada diri kalian dan sudah tiada kemaluan yang membentengi diri, maka mesej ini tiada lagi bermakna untuk kalian ambil pengajaran.

Maka, kami berharap agar sama-samalah kita jadikan ini titik perubahan total yang menurut acuan Allah dan tiada lagi kata dua untuk mencapainya melainkan berpegang teguh pada manhaj Ilahi bagi merealisasikan Islam di bumi Malaysia tanah air tercinta.

 

Muhammad Asyraf Kosnan,

Pelajar Tahun 5 USM KLE Belgaum ,

Timbalan Pengerusi ISMA India 2014-15 .