Perutusan Aidilfitri 2015 : Selamat Kembali Kepada Fitrah

 

 

” Allahuakbar,Allahuakbar,Allahuakbar, Allahuakbar,Allahuakbar,Walillahilhamd “

 

Tibanya 1 Syawal pada hari ini menandakan tamatlah tempoh kita melalui madrasah Ramadhan selama sebulan. Bulan yang mendidik dan mengajar jiwa kita untuk menjadi insan yang lebih baik dan bertakwa. Kita menyambut 1 Syawal dengan penuh kegembiraan dan rasa kesyukuran sebagai tanda kemenangan mendidik hawa nafsu  dan menjalani ibadah puasa dengan jayanya.

 

Marilah kita meraikan Aidilfitri pada tahun ini dengan penuh rasa kasih sayang,menjauhkan api persengketaan dan merapatkan ukhwah antara kita. Inilah peluang yang sangat baik untuk dimanfaatkan dalam memupuk hati-hati kita untuk kembali bersatu. Ayuh kita bersama-sama menghidupkan amalan saling menziarahi,saling bermaafan sesama kaum kerabat serta sahabat handai. Manfaatkan masa yang berharga ini. Elakkanlah menghabiskan masa dengan bermain gajet dan menonton televisyen kerana peluang ini jarang kita perolehi.

 

Mengenang kembali objektif asal Ramadhan iaitu memperolehi nilai ketakwaan,sama-samalah kita memastikan permulaan kita di bulan syawal diteruskan dengan ibadah-ibadah yang kita laksanakan semasa bulan Ramadhan.Oleh itu, pastikan amal-amal kita di bulan Ramadhan seperti solat berjemaah,amalan sedekah,tilawah al-quran tidak semakin berkurang. Ayuh berusaha memastikan diri terus istiqamah di permulaan Syawal dan bulan-bulan yang mendatang kerana inilah nilai yang ingin dicapai semasa di madarasah Ramadhan. Ingatlah  kata-kata seorang ulama,

” Jadilah Hamba Allah bukan Hamba Ramadhan ”

 

Momentum perubahan semasa ramadhan perlu dijaga dengan sebaiknya agar jiwa kita terus dididik dengan sebaiknya.

 

Kita juga meraikan Aidilfitri dengan mengagungkan kebesaran Allah sebagai tanda diri kita kembali kepada fitrah. Bersih daripada dosa seperti bayi yang baru lahir. Maka, janganlah merosakkan nilai ini dengan perkara-perkara yang merosakkan pahala kita seperti tidak menjaga batas pergaulan, mengumpat dan sebagainya. Bukalah lembaran baru dalam kehidupan hasil daripada tarbiah Ramadhan yang kita lalui selama sebulan.

 

Dalam kegembiraan kita menyambut aidilfitri,marilah kita menginsafi penderitaan yang dialami saudara seakidah kita di negara-negara lain seperti di Palestin, Syria, Burma dan terus menghulurkan bantuan buat mereka.

 

Akhir kata,saya mewakili seluruh jawatankuasa ISMA Cawangan India mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

 

Taqaballahu minna waminkum. Kullu ‘am wa antum bilkheir.

 

Salam Aidilfitri.

 

Mior Zainul Arif Bin Zamzuri ,

Pelajar Tahun Akhir,

Manipal College Of Dental Sciences, Mangalore (MCODS)

Pengerusi ISMA India 2015