Nuzul Quran : Al-Quran Wahyu Sepanjang Zaman

image
IQRA
إِقْرَاْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِى خَلَقَ, خَلَقَ الإِنْسَانَ مِنْ عَلَقَ. إِقْرَأْ وَرَبُّكَ الأَكْرَمُ. الَّذِى عَلَّمَ بِالْقَلَمِ. عَلَّمَ الإِنْسَانَ مَالَمْ يَعْلَمْ (العلق 1-5)
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, Yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Maha Mulia. Yang mengajarkan manusia dengan pena. Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui” ( Al-‘Alaq : 1-5)

Perintah pertama yang diajarkan Jibril a.s di saat dakapannya ketat memeluk susuk tubuh seorang manusia yang di saat itu diangkat menjadi nabi yang dimuliakan Tuhan. Pada hari kehidupan seorang pemuda berubah daripada seorang manusia biasa menjadi seorang pemuda agung sepanjang zaman. Dengan kalimah itu dia menyampaikan. Dengan kalimah itu dia mengubah paradigma kehidupan.
Bahawa sesungguhnya kehidupan seorang manusia itu bukan untuk dirinya sendiri.
Dengan iqra , Allah swt mengajar manusia bahawa ilmu itu cahaya. Dengan iqra, manusia menemui jalan kejayaan. Dengan iqra, manusia berubah daripada bangsa yang jahil kepada bangsa yang membentuk tamadun yang lebih hebat daripada manusia sebelumnya.
Mari kita selusuri bagaimana melalui wahyu ini generasi Al-Quran yang pertama mampu bangkit daripada kegelapan, dan menukar arus jahiliyah kepada arus madani yang mampan.
Batu asas kejayaan sebuah tamadun Islam terawal adalah kefahaman mereka terhadap Al-Quran itu sendiri. Umat terdahulu menerima kiriman wahyu dari Allah swt melalui Rasulullah saw dengan perantaraan Jibril as dengan hati yang berjiwa hamba, yang penuh khusyuk mendengar, memahami dan mempelajari Al-Quran lalu mempraktikkan ke dalam kehidupan seharian, sekaligus menjadikan Islam sebagai cara hidup berpandukan wahyu dan contoh dari Rasulullah saw.
Mereka tidak menilainya dengan nafsu, apatah lagi mengambil separuh-separuh dan membuang apa yang tidak disukai. Al-Quran juga bukan sekadar menjadi alunan di rumah-rumah mahupun dijadikan sekadar penyeri untuk memperdengarkan alunan terindah. Bacaan-bacaan mereka disertakan dengan kefahaman dan kesediaan untuk berubah mengikut wahyu kiriman.
Iqra bererti bacalah. Justeru itu seruan ini menggalakkan budaya membaca sebagai suatu budaya yang agung sebagai wadah pembangunan jatidiri manusia dan pembangunan sesebuah bangsa. Ia memberikan impak yang signifikan dalam sejarah kehidupan manusia. Daripada budaya membaca telah lahir tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang besar dan masyhur seperti Abu Qasim Az-Zahrawi, Ibn Haitam, Jabir Ibnu Haiyan, Ibn Sina, Ibn Rusyd, Al-Farabi, Al-Khawarizmi dan ramai lagi

Kebanyakan mereka bukan sahaja mahir dalam suatu bidang malah turut menguasai cabang-cabang ilmu yang lain. Ibnu Sina misalnya terkenal sebagai pakar perubatan juga mahir dalam bidang astronomi, fizik dan matematik. Abu Qasim Az-Zahrawi diakui sebagai “The Father of Modern Surgery” juga pakar dalam ilmu kimia, matematik dan astronomi. Malah lebih mengagumkan ialah kedua-dua mereka juga seorang hafiz Al-Quran.

Itulah kecemerlangan peradaban tamadun Islam yang membina tamadun melalui kekuatan ilmu. Ia merupakan kesan langsung daripada budaya iqra yang menuntut umat Islam supaya sentiasa membaca, mengkaji dan menulis.

REFLEKSI : REALITI AKHIR ZAMAN
Menuntut ilmu pada zaman sememangnya sudah tidak asing lagi. Kemajuan pesat dalam pelbagai bidang akan membuatkan kita ketinggalan tanpa ilmu. Berpusu-pusu anak muda meraih ijazah saban tahun. Majlis graduasi menjadi semakin besar dan hebat. Ramai juga telah mendapat pekerjaan dan posisi yang hebat di mata masyarakat. Pelbagai kertas kajian dan penemuan baharu dibuat.
Namun, dengan ilmu yang kita ada pada hari ini, mengapakah kita masih di bawah? Sepatutnya dengan berkembang pesat ilmu pengetahuan, sesebuah tamadun mampu melonjak ke peringkat yang lebih baik.
Realiti ummah yang sedang parah sepatutnya menyedarkan kita bahawa tamadun manusia di zaman yang moden ini lebih parah dan bumi benar-benar berada di hujung tanduk. Krisis akhlak remaja, keruntuhan institusi rumah tangga,, rasuah, penindasan golongan yang lemah, maksiat bermaharajalela, sehinggalah krisis antarabangsa yang melibatkan perebutan kuasa, peperangan, pembersihan etnik, ke peringkat pelarian yang tidak terbela adalah tanda-tanda yang jelas bahawa kita sedang di pengakhiran zaman.
DI MANA SILAPNYA?
Jawapannya, kembalilah kepada wahyu. Iqra bismirobbikallazi kholaq.
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Bacalah, terokailah, kajilah, hanya dengan nama Tuhan.

Lihatlah dunia dari neraca Allah swt, bukannya neraca dunia, apatah lagi mengikut neraca sang penentang agama. Apa guna ilmu penuh di dada, jika tidak mampu menjadi manusia. Apa guna bersengkang mata, jika ilmu hanya terhenti di pena.
Hiduplah dengan ilmu, jadilah seperti generasi Al-Quran pertama. Dengan ilmu mereka bangkit, dengan ilmu mereka berubah, dan dengan ilmu juga mereka mengubah.
Inilah Kitab itu, tidak ada sebarang keraguan padanya, satu petunjuk bagi orang-orang yang hendak bertaqwa (Al-Baqarah, 2:2)
Marilah mencari makna Al-Quran dalam kehidupan sempena bulan turunnya Al-Quran ini. Kualitinya bukan bergantung kepada kuantiti tilawah, tetapi sejauhmana tilawah kita di bulan Al-Quran ini mampu mengembalikan kita kepada fitrah.
Ayuh, belum terlambat memulakan langkah, menjadikan Ramadhan sebagai titik tolak kepada kita mengubah paradigma; Al-Quran bukanlah kitab tua berhabuk yang hanya dibersihkan dan dibaca di bulan Ramadhan, ia adalah petunjuk sepanjang zaman, dan kunci bagi kejayaan.
Di dunia dengannya kita berhujah, di akhirat sana Al-Quran menjadi hujah.
Wallahu’alam.

Wan Nur Suhailah binti Wan Mohd Kamal
Intern, KS Hegde Medical Academy
Timbalan Exco Tarbiyah ISMA India