Nakbah Palestin : Sebuah Kemerdekaan Palsu Israel

Najmi

Para pembaca yang dirahmati Allah s.w.t sekalian, tahukah kalian bilakah negara haram Israel menyambut kemerdekaan? Ketahuilah, negara haram Israel menyambut hari kemerdekaan mereka saban setiap tahun apabila menjelangnya 14 Mei. Ironinya, sebuah kemerdekaan penubuhan negara haram Israel yang disambut gilang gemilang ini sebenarnya umpama simbolik sebuah tangisan berdarah umat Islam di Palestine.

Nakbah membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera The Star of David dan pada keesokan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diisytiharkan oleh perdana menterinya yang pertama David Ben Gurion. Pada saat itu, di era tahun 1948, tepatnya bulan April. Rakyat Palestin dikejar, diburu, bahkan dibunuh secara keji oleh gerombolan teroris Israel, sehingga mereka yang selamat melarikan diri ke Lubnan, Syria, Jordan, Mesir, Yaman dan beberapa lagi negara Teluk yang lain.

Kenapa peristiwa Nakbah ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam?

Kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi daripada kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih daripada 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah daripada negara-negara Islam sendiri.

Inilah kemerdekaan yang dibanggakan oleh Israel. Mereka merdeka di atas tanah milik rakyat Palestin yang diusir keluar. Mereka berbangga di atas tanah yang disiram darah dan parah umat Palestin yang pasrah. Pasrah bukan kerana lemah, namun pasrah kerana hilangnya mereka yang gah untuk digelar singa ummah. Di manakah mereka seperti Salahuddin Al Ayyubi yang gagah? Di manakah semangat jihad umat Islam dunia yang semakin tenat dan lelah. Umat yang masih lena tertidur membiarkan sahaja mereka tengelam dan semakin padam dek zionis yang kejam. Mereka pasrah dalam penantian yang panjang!

Sejenak mari kita renungi hadis Rasulullah s.a.w.,

Rasulullah saw. bersabda: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah seperti sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya merasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam. (Shahih Muslim No.4685)

 

Hari ini setelah 68 tahun, fajar kemenangan kian menyinsing dan sinar matahari kemenangan semakin jelas di ufuk timur. Perjuangan rakyat Palestin sejak lebih enam dekad yang lalu mula menampakkan hasilnya. Dalam penderitaan, berbuah pengharapan yang baik untuk kemanusiaan. Sesungguhnya peperangan yang berpanjangan angkara kezaliman Zionis akan berakhir dan keamanan bakal dinikmati oleh semua. Sesungguhnya rakyat Palestin tidak berjuang dengan api dendam, sebaliknya mereka berjuang untuk menegakkan kasih sayang. Dunia harus berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin untuk mengembalikan hak mereka. Hanya dengan menebus hak rakyat Palestin yang diambil secara zalim dan tidak berperikemanusiaan akan mengembalikan keamanan dan kesejahteraan di bumi suci yang menjadi rebutan dan rampasan sehingga saat ini.

Langkah-langkah penyelesaian isu Palestin, adalah tidak lari dari Amal 7 yang digariskan oleh Imam Hasan Al-Banna. Kesemuanya berkisar kepada mendidik dan mewujudkan diri dan generasi Islam yang hakiki ke arah menanggung beban Dakwah Islam yang berat dan panjang. Kerana tugas dan tanggungjawab kemenangan Islam ini terletak dibahu kita masing-masing. Buanglah perasaan allergy dengan tarbiyah, kerana mereka yang tidak mahu berpayah dalam dakwah ialah umpama barah buat ummah. Jadikan diri kita asset yang bernilai bukan sebuah liabiliti yang membebankan ummah.

“Jika di sana ada seorang yang saleh, kamu akan dapati pada dirinya faktor-faktor kejayaan Islam” (Hasan Al-Banna).

Moga umat Islam akan segera sedar daripada lamunan mereka. Di hari umat terjaga dan bangkit, pastinya penderitaan umat Palestin selepas peristiwa An-Nakbah akan berakhir. Bangkitlah dan kembalikan maruah umat! Ayuh!

Wallahu’alam.

 

Wan Mohd Juaini Najmi bin Nawawi

Tahun 2 MBBS, MMMC Manipal

Kolumnis ISMA India ’15/16

Penulis buku ‘Head With Serban’