Nak Jadi Kuat?

Push lagi, push lagi, jangan stop! Teruskan! Masih tak cukup kiraan untuk set ke-3 ni. Kamu nak kuat, jangan stop. Ikut arahan saya” jerit pelatih peribadi itu pada Imran yang sedang melakukan push-up. Berbadan sasa dan berjambang pelatihnya. Memang gaya seorang pelatih professional.

“Saya tak larat da. Dah tak boleh nak tolak lagi badan naik ke atas” rintih Imran sambil badannya terus tergelimpang. Orang Perak kata, terus terjelepik. Tangannya menggigil. Tanda betul-betul kehabisan tenaga. Sampai ke tahap maksimum dia dikerah oleh pelatihnya. Memeritkan sungguh.

Selepas beberapa minit,

“Ok tak Imran? Sakit?” soal pelatih tersebut.

“Sakit sangat ni coach.” Jawab Imran dengan muka yang berkerut. Kesakitan terus tergambar diraut wajahnya.

“Ok cantik. Macam ini lah yang kita nak. Sakit. Biasalah, permulaan ini memang sakit sikit. Nak badan sasa, sado, katang ni , kene sakit lebih sikit. Ambil masa. Esok, bila kamu bangun pagi mesti bertambah sakit lagi badan kamu tu.” Pelatihnya berceloteh panjang.

“Saya rasa saya nak stop gym la”

“Aik, kenapa ni Imran?”

“Sakit sangat ni. Saya tak mampu nak tahan ni coach.”

“Hrmm. Imran, ingat lagi waktu kamu mula-mula masuk ke gym dan daftar diri. Kamu terus minta sekali untuk dapatkan khidmat coach peribadi sepanjang kamu di gym. Kemudian, sebelum kita mulakan latihan pada hari pertama sebelum ini, saya ada tanya pada kamu kan, apa yang kamu nak capai dengan sesi latihan di gym ni?” soal pelatih tersebut.

“Aah. Ada. Saya ingat.”

“Kamu ingat lagi apa yang kamu jawab?”

“Ingat. Saya jawab, saya nak daftar gym dan ambil pelatih peribadi sebab saya nak badan sasa. Saya nak latihan yang benar-benar padu. Latihan yang proper. Bukan semberono saja. Saya benci orang kutuk saya gemuk. Si buncit yang lemah. Bila coach tanya saya, sama ada sanggup atau tak tahan sakit untuk sepanjang tempoh latihan, saya kata saya sanggup dan saya bersedia untuk tahan kesakitan tersebut. Asalkan saya capai apa yang saya nak. ” Imran jawab panjang.

“jadi,kenapa kamu nak stop?” soal pelatihnya.

Imran termenung panjang. Jawapannya seolah-olah bertentangan dengan apa yang diminta semasa dia mulakan latihan di gym.

Pelatih tersebut terus menyambung,

“Beginilah Imran, saya rasa kamu kena kuatkan semangat. Bertahan lebih dari biasa. Kena kental sikit. Kamu ada matlamat yang jelas nak jadi apa lepas habis tempoh latihan di gym ni. Kamu sanggup korban masa dan duit untuk capai apa yang kamu nak. Takkan hanya kesakitan yang sekejap ini kamu dah tak sanggup. Nak berhenti. Setiap sesuatu nilai yang besar,ada bayaran nya. Nak sado, kesakitan dan kesabaran bayarannya.”

Imran angguk. Tanda setuju. Lalu dia beredar pulang ke rumah. Keesokannya dia datang semula ke gym untuk menyambung sesi latihan intensif. Begitulah rutinnya.

6 bulan berlalu.

“Wah. Berat badan saya da mula berkurang mendadak ni coach. Banyak sangat kurang ni. Lebih 20 kilo. Badan pun da mula ada bentuk. Nampak biceps saya pun makin besar  dan ada shape ni. Six pack pun dah mula muncul. Okay. Okay. Saya kene berusaha lagi ini.” Tidak tergambar keseronokan Imran bila bersama dengan pelatihnya di gym. Pelatihnya hanya tersenyum.

————————————-

Begitulah kisah Imran. Impiannya nak memiliki badan sasa kian menjadi kenyataan. Matlamat dia sangat jelas. Nak jadi sasa dan kuat. Dia sedar dan sanggup menahan keperitan kesakitan sepanjang tempoh latihan asalkan dia capai matlamat dia. Komitmen, keringat, kesanggupan. Segalanya perlu diberi untuk mendapat manfaat.

Sunnah Dalam Tarbiah

Dalam tarbiah, begitu juga rentaknya. Ada bayarannya juga.  Nak masuk syurga tertinggi  bersama dengan Rasulullah, siddiqin dan mujahidin, juga ada bayarannya. Ada caranya. Tinggal kita sahaja untuk memilihnya. Di depan kita,sentiasa ada tawaran untuk bersama dengan tarbiah, hanya perlu memilih untuk terima atau tidak. Jelas apa kita nak capai dalam tarbiah. Apabila kita memilih untuk bersama dengan tarbiah dan ingin mendapat menfaat yang besar, perlu ada bayarannya. Jadi, apakah bayaran yang perlu dibuat?

Antara bayarannya ialah:

1) Sanggup menanggung beban dan pengorbanan jiwa harta.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, mereka berjuang pada jalan Allah maka diantara ada yang membunuh dan terbunuh.”  Surah At-Taubah

Kesanggupan ini suatu perkara yang wajib kita berikan. Tidak sanggup,kita tidak akan mampu bertahan. Lihatlah apa yang berlaku sepanjang sirah Rasulullah dan sahabat, kita tidak akan jumpa kisah mereka tercatat dalam sejarah melainkan ada unsur kesanggupan dan keinginan yang luar biasa. Pernahkah kita terfikir apa perasaan Huzaifah al-yamani semasa perang ahzab, apabila dia diarah oleh Rasulullah untuk menyelinap masuk khemah musuh dan dapatkan maklumat? Kecut perut kita sekiranya diri kita ditempat dia.  Tapi, atas dasar nak redha Allah, nak syurga tertinggi. Dia bersetuju.

2) Yakin dan Taat.

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan bersama orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi, golongan siddiqin, orang yang syahid dan orang yang soleh. Dan amatlah elok mereka itu menjadi teman rakan(kepada orang yang taat).” –Surah An-Nisa’: 69

Ini bayaran yang memerlukan kita bersedia dan menyerah diri sepenuhnya untuk diarah, dididik dan ditarbiah. Tiada nilai taat, kita tidak akan ke mana. Kita mudah untuk mencari alasan mengelak menerima tugasan. Kita lebih gemar mencari suasana tarbiah yang lebih cenderung dengan apa yang nafsu kita nak. Seolah-olah tarbiah perlu mengikut rentak kehidupan kita, bukan diri kita yang perlu ikut apa yang tarbiah tuntut. Mana-mana yang kita tidak selesa, kita terus membangkang.

Kisah perjanjian hudaibiyah antara bukti keyakinan dan ketaatan dalam kalangan sahabat. Pada ketika itu, Umar Al-Khattab membangkang intipati perjanjian yang kelihatan menguntungkan pihak musyrikin makkah. Dia berjumpa dengan Rasulullah untuk mempertikaikan perjanjian tersebut.  Kemudian berjumpa dengan Abu Bakar. Sampaikan perkara yang sama, dan Abu bakar berkata: “Baginda merupakan utusan Allah dan Allah penolongnya, patuhilah perintahnya! Demi Allah, sesungguhnya baginda di atas kebenaran”. Lalu, Umar terus menyesal dan meneguhkan ketaatannya pada Rasulullah.

Manfaatkan sementara masih berbaki

Kita perlu bertindak segera. Manfaatkan kesedaran tarbiah yang kita dapat untuk kita terus bergerak walaupun sekadar merangkak. Tuntutlah ilmu untuk mengukuhkan lagi keyakinan kita. Carilah murabbi yang kita yakini mampu memimpin diri kita. Menegur kita. Mengajar kita. Moga dengan itu potensi kita lebih berkembang dan bermanfaat untuk islam. Sebagaimana umar al-khattab yang sebelum keislamannya sangat lantang menentang islam, tetapi sebaik saja memeluk Islam sangat lantang juga menentang kelompok yang membenci Islam.

 

 

 

Dr Mior Zainul Arif bin Zamzuri

Intern

Manipal College of Dental Sciences, Mangalore

Pengerusi ISMA India Sesi 2016/17