Menjadi Bidadari Di Akhir Zaman

 

Suatu masa sebelum perang Uhud berlangsung.

“Ya Rasulullah, izinkan daku untuk menyertai peperangan kali ini.” Pinta seorang perempuan dengan harapan yang sangat tinggi agar Rasulullah mengizinkan. Raut wajahnya kelihatan serius dan bersungguh.

“Aku boleh bantu menyediakan makanan untuk tentera, merawat mereka yang sakit, membantu mereka membuat persediaan sebelum perang bermula”. Tambahnya lagi untuk meyakinkan Rasulullah.

Bersungguh betul dia. Iyalah, mahu pergi berperang. Antara hidup atau mati. Perempuan pula tu. Sepatutnya tempatnya bukan di medan perang. Lebih elok tinggal di rumah menjaga anak-anak.  Tetapi tidak, keputusannya tetap ingin ikut serta bersama tentera islam.

“Aku benarkan”. Itu jawapan daripada Rasulullah. Cukup menggembirakan hatinya. Tidak tergambar betapa seronoknya dia untuk menyumbang kepada tentera islam.

Di medan Uhud, dia bersama dengan pasukan tentera Islam. Asal tugasnya di belakang tabir, tetapi disebabkan keadaan yang sangat kelam kabut, dia ikut turun ke medan bertempur dan mempertahankan Rasulullah.

Itu lah dia, Nusaibah. Seorang sahabiat yang berjiwa kental.

Rasa cemburu.

Imam Al-Bazzar dan At-Thabrani ada merekodkan satu hadith.

Suatu ketika,ada sekumpulan wanita menghantar seorang wakil mereka bertemu dengan Rasulullah. “Ya Rasulullah, saya dihantar oleh sekumpulan wanita kepadamu. Allah swt mewajibkan jihad kepada kaum lelaki. Jikalau mereka tercedera, mereka akan mendapat pahala. Jikalau terbunuh, mereka akan dihidupkan di sisi Allah dan diberikan rezeki. Sedangkan kami kaum wanita perlu mengambil tugas selepas kesyahidan mereka, tidak adakah ganjaran untuk kami?” Rasulullah menjawab, “sampaikan kepada para wanita yang kamu jumpa bahawa mentaati suami dan mengiktiraf haknya bersamaan dengan itu(iaitu ganjaran mujahidin pada jalan Allah), amat sedikit daripada kalangan kamu yang melakukannya.”

Begitulah tinggi rasa cemburu mereka dengan ganjaran yang dimiliki buat suami mereka yang mendapat ganjaran syahid.

Jelas Keinginan

Allah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 28 :

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut’ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik.”

Ayat ini merupakan perintah dari Allah ditujukan kepada RasulNya agar Rasul memberitahu isteri-isterinya untuk memilih antara diceraikan kerana memilih kesenangan dunia atau tetap terus bersabar bersama Nabi SAW yang hidupnya begitu sederhana dan apa adanya.

Dalam surah Al-Ahzab ayat 29 pula Allah telah berfirman :

“Dan jika kamu sekalian menghendaki (keridhaan) Allah dan Rasulnya-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik diantaramu pahala yang besar.”

Ternyata pada akhirnya isteri-isteri nabi mereka memilih Allah dan Rasulnya serta pahala di negeri akhirat. Walaupun jelas ayat ini ditujukan buat isteri-isteri nabi bukan pada wanita umumnya, tetapi ada ibrah yang boleh diambil dari kisah ibu-ibu orang mukmin ini.

Permasalahan yang melanda wanita muslim hari ini adalah kerana mereka tidak jelas keinginan mereka. Kita sudah lihat sebelum ini dua kisah berdasarkan sirah Rasulullah. Lihatlah bagaimana hasil didikan Rasulullah melahirkan wanita yang jelas keinginannya, jiwa meronta-ronta untuk menaikkan kalimah Allah, jiwanya yang dahagakan ganjaran yang banyak di sisi Allah. Jiwa yang juga sentiasa memikirkan bagaiamana mahu meraih syurga firdaus.

Harapan buat Muslimah

Beginilah matlamat akhir yang ingin kita bina dalam jiwa wanita. Wanita yang bermujahadah melaksanakan setiap arahan Allah. Bersungguh memastikan setiap amal dalam kehidupan mereka diberi ganjaran yang tinggi. Wanita yang sangat teliti dalam pergaulan mereka bersama yang bukan mahram. Tidak berlebihan dalam interaksi dengan bukan mahram. Tebal perasaan malunya. Jika di alam maya, gambarnya tidak ditayangkan secara berlebihan untuk tatapan lelaki bukan mahram. Wanita yang  sangat menjaga auratnya. Tudung yang dipakai dipastikan menutup dadanya dan labuh. Bukan pakai sekadarnya. Pakaiannya cukup longgar,tidak menampakkan bentuk tubuh badannya. Mereka sedar itu semua nilai maruah yang perlu dijaga. Begitulah sedikit contoh betapa seharusnya seorang wanita telitinya dalam menjaga agama mereka.

Kita miliki maruah yang sangat bernilai. Tidak wajar untuk kita mengotorkannya dan merendahkan nilai kita sebagai muslimah dengan cara hidup berseronok seperti kehendak masyarakat barat.

Jadi, apa tindakan yang perlu diambil segera?

Perbaiki keinginan kita selari yang diinginkan Allah dan RasulNya pada kita, bukan keinginan menurut hawa nafsu diri sendiri. Kembalikan diri kepada fitrah islam. Itu permulaannya. Posisikan diri dalam tarbiah. Jika masih sukar untuk bergerak? Berdoa dan terus memohon keampunan Allah. Minta Allah berikan hati yang lebih segar dan bersedia untuk maju ke hadapan.

 

Nur Athirah Binti Azhar

Kolumnis ISMA India