Perutusan : Memperingati Hari Malaysia

KOLUMNIS MIOR

Bilal bin Rabah ada meluahkan rasa rindunya pada Mekah ketika berada di Madinah melalui rangkap-rangkap syair yang amat indah:

“Alangkah indahnya jika aku dapat bermalam

Di sebuah lembah dikelilingi oleh rumput rampai dan tumbuhan

Dapatkah suatu hari nanti aku akan merasai kembali air kolam Majannah

Dapatkah aku kembali menyaksikan gunung Shammah dan Tufail”

 

Syair yang diungkapkan oleh Bilal menggambarkan fitrah manusia yang cintakan tanah air. Perasaan cintakan tanah air ini perlu dijaga dan dipelihara kerana ia merupakan aset yang mampu menguatkan jati diri bangsa.

 

BINGKISAN SEJARAH

 

hari malaysia

Setiap tanggal 16 September,kita akan menyambut hari yang bersejarah. Hari untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Detik yang bersejarah ini melibatkan penyertaan Malaya,Sabah(Borneo Utara),Sarawak dan juga Singapura.

 

Sebagaimana yang sedia maklum,pembentukan penubuhan Persekutuan Malaysia ini pada awalnya dirancang pada tarikh 1 Jun 1963. Namun,kemudiannya dibawa pada tarikh 31 Ogos 1963 untuk membuat sambutan bersama Hari Kemerdekaan yang ke-6. Atas sebab-sebab tertentu yang melibatkan campur tangan Filipina dan juga Indonesia,akhirnya tarikh itu dilanjutkan pada 16 September 1963.

 

Filipina tidak bersetuju dengan penubuhan ini atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British berkaitan haknya ke atas Sabah. Begitu juga Indonesia yang melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan “Ganyang Malaysia” yang berlanjutan sehingga tahun 1966. Brunei yang pada asalnya terlibat sekali dalam perancangan penubuhan Persekutuan Malaysia,menarik diri lantaran menerima tentangan secara pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Syeikh Azhari pada hujung 1962.

 

Suruhanjaya Cobbold merupakan badan yang bertanggungjawab mengeluarkan laporan responden rakyat Sabah dan Sarawak berkaitan penubuhan Persekutuan Malaysia. Menurut laporan,80 peratus rakyat bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui cara penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu. Laporan ini, menunjukkan penyertaan Sabah dan Sarawak dipersetujui majoriti rakyat. Selepas itu,terbentuklah Persekutuan Malaysia dengan jayanya.

 

Sedikit ringkasan sejarah ini menggambarkan kesulitan dalam usaha pembentukan Persekutuan Malaysia. Sungguh,pembentukan ini bukan semudah yang disangka. Lantaran itu,sangat penting untuk generasi muda kini peka dan cakna sejarah pembentukan negara.

 

NILAI PATRIOTISME.

 

As-Syahid Hasan al-banna ada menyatakan:

 

“Jika patriotisme yang dimaksudkan oleh para pejuang patriotisme ialah cintakan tanah air,rasa kasih dan rasa rindu atau seumpamanya,perasaan ini sememangnya sedia tertanam dalam fitrah manusia dan bertepatan dengan perintah islam”

 

“Jika apa yang mereka maksudkan ialah kewajipan berusaha sedaya upaya untuk membebaskan negara daripada penjajahan kolonialisme atau melakukan sesuatu kearah mencapai kemerdekaan negara atau menanamkan harga diri dan semangat kemerdekaan dalam jiwa anak bangsa,jika ini yang mereka maksudkan ia bermakna kita turut sama bersama mereka.”

 

“Jika apa yang mereka maksudkan dengan patriotism ialah mengukuhkan hubungan antara masyarakat dalam rantau yang sama dan memimpin mereka menggunakan hubungan ini untuk kepentingan mereka,jika ini yang mereka maksudkan kita turut bersetuju dengan mereka.”

 

Merujuk pada kata-kata tokoh mujaddid ini, sememangnya patriotisme mempunyai nilai yang sangat besar kesannya dalam menjamin keutuhan membina jati diri. Perasaan kasih,sayang,dan cinta akan negara perlu dipupuk pada setiap lapisan masyarakat di Malaysia. Akhirnya, nilai ini mampu memerdekakan masyarakat daripada segala barah terutamanya agenda pendokong sistem liberal demokratik yang cuba meracuni atau menggugat pasak asas negara iaitu Melayu,Islam dan Raja.

 

Generasi kini perlu faham betapa pentingnya mempertahankan perlembagaan persekutuan Malaysia yang menjadi asas kepada kemajuan dan keharmonian negara. Segala ancaman dalam dan luar negara perlu dibanteras dengan bijak dan segera. Sebab itu kita perlu membanteras semua pihak yang menjadi ejen kepada proksi-proksi luar. Agenda proksi-proksi luar ini tidak lain dan tidak bukan ingin melahirkan masyarakat yang cair dengan identiti bangsa dan agama. Keadaan ini sangat merugikan bangsa melayu khususnya dan umat islam kesuluruhannya.

 

”Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)”

[Ayat 120,Surah Al-Baqarah]

 

Musuh-musuh islam sentiasa memerhatikan kita dan membuat perancangan yang sangat teliti dalam memastikan matlamat tertegaknya kedaulatan islam di Malaysia tidak dapat dicapai. Mereka tidak akan senang melihat Malaysia yang dikenali sebagai negara islam ini terus merdeka dan maju. Dengan semangat patriotik dan cintakan tanah air,sudah menjadi kewajipan pada kita untuk memelihara pasak-pasak negara;Melayu,Islam dan Raja daripada segala ancaman.

 

PEMBINAAN GENERASI

 

Hakikatnya,sejarah pembentukan negara yang merdeka ini membuktikan perlunya ada lapisan generasi pemimpin yang benar-benar mampu memimpin dan menjadi pendokong utama menjaga keharmonian negara dengan cahaya Islam. Berbekalkan segala kekuatan,perjuangan dan pengorbanan,kita perlu bergerak dan bersatu untuk melangkah ke hadapan. Kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah. Perpecahan umat islam di Malaysia banyak merugikan agama Islam keseluruhannya dan As-Syahid Hasan al-Banna menyatakan ini merupakan malapetaka yang paling besar bagi umat islam. Generasi yang faham islam secara syumul perlu dilahirkan seramai mungkin kerana mereka akan menjadi benteng pertahanan yang paling ampuh untuk negara Malaysia yang merdeka. Benteng yang mampu memelihara identiti bangsa dan agama dengan baik.

Akhir kalam,ayuh sama-sama kita merapatkan saf,bersatu padu,berlapang dada dalam segala perselisihan yang ada,berganding bahu dalam mencapai matlamat yang sama demi agama,bangsa dan negara.

 

Selamat Hari Malaysia!

 

 

 

 

Rujukan:

1) http://pmr.penerangan.gov.my/

2)Himpunan Risalah Imam Hasan al-Banna

 

Mior Zainul Arif Bin Zamzuri,

Pengerusi ISMA India ,

Tahun 3 Pergigian ,

Manipal College Of Dental Science (MCODS), Mangalore ,