Kuasa Muafakat Dan Hudud

 

Kita meyakini bahawa al-islam yang diturunkan oleh Allah kepada sekalian manusia melalui perantaraan Jibril a.s dan junjungan besar Rasulullah saw adalah suatu agama yang syumul. Ianya sudah sebati dengan tabiat alam ini dan sesiapa yang melanggar sistem deen ini pasti binasa. Islam tidak pernah menggugat fitrah bahkan mendorong fitrah kemanusiaan itu berkembang sempurna, selari dengan hakikat penciptaannya. Ini asas utama yang perlu kita yakini dalam memahami realiti jahiliah moden yang berlaku kini.

Keputusan kerajaan PAS Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau dikenali undang-undang hudud cukup menanggalkan topeng kepura-puraan musuh Islam yang sibuk mencanang idea demokrasi dan kebebasan selama ini. Mereka menjadi tidak senang duduk dan provokasi-provokasi menghina hukum Allah itu diterbitkan di media massa termasuklah satu klip video yang memaparkan seorang gadis melayu yang melekeh-lekeh hudud.

Kenapa Tidak Senang Duduk?

 

Perkara menarik yang perlu diberi perhatian di sini adalah semua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk 12 daripada Barisan Nasional (BN), bersama 31 ADUN PAS dan seorang ADUN PKR, Mohamad Roslan Puteh, menyokong rang undang-undang tersebut. Ibarat suatu tembok besar dan tebal berjaya dipecahkan setelah bertahun lamanya! Kita menyaksikan sendiri bagaimana kesepakatan umat Islam khususnya, memberi impak yang sangat positif dalam mendaulatkan Islam di Malaysia. Allahuakbar! Persepakatan antara dua parti majoriti Melayu-Islam dalam isu ini telah menjadi bukti kehebatan kuasa muafakat dan perpaduan ini. Allah berfirman dalam surah al-maidah ayat 2,

“bertolong-tolonglah untuk kebaikan dan ketakwaan.”

Namun begitu, realiti kesepakatan inilah yang menyebabkan puak kufar khususnya DAP dan MCA bersepakat, lantang menyuarakan ketidakpuashatian dan tidak menyokong undang-undang tersebut terlaksana. Jika kita singkap di balik tirai kejahilan dan kekafiran puak ini, hakikatnya, bukanlah mereka tidak senang dengan hukuman hudud itu sahaja, bahkan mereka jelas memiliki suatu agenda terancang dan tersusun dalam menghalang  Islam tertegak kukuh di bumi Melayu Islam ini.

Ibrah Sejarah dan Pertembungan Sebenar

Medan pertembungan pada peta politik di Malaysia nampaknya semakin berubah. Perubahan yang saya maksudkan adalah pertembungan yang dahulunya dilihat di antara dua pakatan besar antara Nasionalis dan Islamis akhirnya menjadi pertembungan jelas antara golongan islamis dengan kufar. Kekuatan perlu sentiasa dibina dan diteruskan dari masa ke semasa kerana hanya kesepaduan dan keyakinan yang tinggi dapat menyelamatkan umat Islam dalam pertembungan ini.

Sejarah ketamadunan Islam bermula dengan wujudnya daulah Islamiah di Madinah, yang lahir hasil penyatuan antara Muhajirin dan Ansar. Ianya telah menjadi bukti betapa hebatnya kuasa pemuafakatan. Rasulullah saw bertindak sedemikian kerana itu adalah formula atau kunci yang sangat penting dalam menjadi asas kukuh pembinaan sesebuah negara Islam. Bahkan, jika dirujuk pada sejarah ketamadunan Islam di Tanah Melayu, menggunakan asas yang sama dalam pembinaan sebuah empayar Melayu Islam yang gah suatu masa dahulu. Institusi Melayu, Islam dan Raja-raja menjadi pendokong dan tiang asas yang penting dalam hal ini.

Slogan yang dilaungkan-laungkan selepas beberapa tahun, iaitu Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB) , telah mula menampakkan hasil. Hal ini kerana, dengan kesepakatan di antara bangsa majoriti yang menjadi bangsa pendokong kepada risalah Islam, memiliki kekuatan untuk mengangkat Islam sekaligus kita dapat menikmati kesejahteraan bersama di negara tercinta. Kesepakatan ini bukanlah dibina atas nama demokrasi, bukan juga atas nama liberalisme dan kebebasan, namun ianya dibina dengan tali ikatan akidah yang kukuh!

Waspada

 

Kejatuhan Turki Uthmaniah pada tahun 1924 memperlihatkan kepada kita suatu tragedi hitam. Kita dapat baca dan nilai bagaimana teraturnya gerak kerja musuh Islam dalam memecahkan kesatuan yang murni itu. Mereka menyedari bahawa titik kekuatan umat Islam ada pada dua perkara, pertama pada akidah dan jati diri, keduanya pada kesatuan (wahidah) antara umat Islam. Sekiranya mereka dapat mencairkan dan memecahkan kedua-dua perkara ini, maka dengan mudah mereka dapat menguasai dunia.

Kesimpulan

 

Akhirnya, marilah sama-sama kita kembali kepada Islam, dan persiapkan halatuju serta agenda kita dengan jelas. Kita tidak mahu umat Islam menjadi bidak-bidak di papan catur yang dimain-mainkan oleh pemainnya, tetapi kita mahu menjadi pemain catur yang bijak mengawal bidak-bidak tersebut yang akhirnya kejayaan kembali kepada Islam. Usah menyalahkan orang lain kenapa Islam di bawah, soal diri sendiri mengapa Islam tidak di atas. Semoga Allah menolong dan mengukuhkan langkah umat ini dalam melaksanakan syariat dan menyelamatkan kita dari azab api neraka.

Amin.

 

Mior Zainul Arif Bin Zamzuri 

Pelajar Tahun 3 , 

Manipal College Of Dental Sciences (MCODS) , Mangalore

Pengerusi ISMA India 2015