Kesungguhan: Mutiara Yang Menghiasi Iman

College Student Studying in Library

Suatu ketika di kelas

“Weh, kau ni tak jemu ke main bola setiap hari?” tanya Abdul pada sahabat dia, Ahmad sambil menanti pensyarah masuk ke kelas.

“Mana ade jemu, best giler.  Serius. Kalau aku tak main sehari dua mesti aku tak senang duduk. Dah sebati dah dalam hidup aku, bila main bola, baru aku rasa segar, dapat release tension. Tambah lagi, kalau aku main, aku dapat rasa setiap sentuhan adakalanya macam Cristiano Ronaldo, adakalanya tu sebiji ah macam Messi. Hahah” jawab Ahmad bersahaja sambil memegang smartphonenya.

Abdul menyambung, “Amboi,kau ni memang betul-betul minat bola eh. Abes tu, kalau dalam seminggu ko tak dapat main, apa kau rasa?”

“Stress beb. Badan aku rasa lemau. Lemah. Rasa malas je hari-hari berlalu. Sebab tu aku bersungguh habis-habisan kalau dapat main.”

Seusai main badminton

“Power betul kau main badminton eh. Smash nak padu je.” Sampuk Adi pada sahabat lawan badmintonnya, Afiq.

“Boleh la sikit-sikit.” jawab dia dengan penuh tawaduk dan rendah hati.

“Kau main setiap hari ke?”

“Setiap hari tu macam tak je. tapi paling kurang pun dalam 5 kali seminggu la. Aku nak jadi power macam Lee Yong Dae, Fu Hai Feng ah, takpun paling-paling pun biarlah time aku main ‘single’ ada la gaya macam Lee Chong Wei. Setiap hari aku tengok video badminton kat Youtube.”

“Patut la ko power. Bersungguh habis.”

“Mestilah bersungguh.  Ini minat aku. Hobi aku. Dah sebati dah dalam hidup aku. Kat court ni la aku dapat segala ketenangan, bila da habis main 5 ke 6 set game, baru aku rasa puas. Kalau tak, mesti hari aku tu berlalu macam bosan.”

Setibanya di rumah

“Eh Amran, ko dari mana ni?” tanya Ramli.

“Aku dari masjid la. Pergi solat isyak tadi.” Jawab Amran bersahaja sambil meletakkan seliparnya di rak kasut.

Sambung Ramli, “Amran, aku tengok kau ni setiap hari pergi masjid. Hampir setiap waktu kau solat kat masjid.  Jarang solat kat rumah. Padahal, aku rasa kau boleh je solat berjemaah dengan kitorang di rumah. Boleh juga dapat pahala 27 kali ganda. Tak semestinya pergi masjid. Masa pun jimat. Tak payah nak turun lift, naik motor semua. Pahala 27 kali ganda pun dapat.”

“Hrmm. Entah lah Ramli. Aku ni bersungguh pergi solat berjemaah di masjid sebab setahu aku zaman Rasulullah dulu, antara yang membezakan mukmin dan munafik ni, solat berjemaah di masjid. Tu yang aku takut tu. Tak nak aku kalau hati dikuasai sifat orang munafik. Pernah satu ketika tu, Rasulullah nak bakar rumah sesiapa yang tidak hadir solat berjemaah di masjid. Seram beb kalau kita tengok balik bagaimana Rasulullah dan sahabat menitik beratkan isu solat jemaah.” Jawab si Amran.

Selepas baginda menunaikan solat malam

Aishah terus bertanya pada baginda, “Ya Rasulullah, tidakkah engkau seorang yang maksum dan dijamin masuk syurga. Kenapa engkau masih bersungguh untuk berjaga malam”

Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur” jawab rasulullah pada buah hatinya, Aishah.

Sebaik saja bertemu Rasulullah

Abu Bakar terus meninggalkan rumah baginda. Dengan berbekalkan beberapa potongan ayat-al-quran, dalam sehari, beliau bersungguh menyampaikan Islam dan akhirnya berjaya membawa 6 orang berjumpa Rasulullah. Mereka semua bersyahadah sebagai tanda memeluk islam.

Apa yang lagi menarik, keenam-enam sahabat tersebut dikalangan 10 sahabat yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah. Sungguh nekad dan yakin apa yang diterimanya daripada Rasulullah.

Pasca Baiah Al-Aqabah yang pertama

Seorang pemuda dihantar sekali bersama rombongan orang Yathrib. Tujuan, berdakwah. Ajarkan islam pada mereka. Menjadi duta kepada islam. Wakil Rasulullah.

Setiap hari beliau mengetuk pintu rumah di Yathrib. Hampir tiada rumah yang tidak disinggahi oleh beliau. Kelihatan sangat bersungguh. Tidak bosan. Itulah Mus’ab bin Umair.

Sehingga setelah syahid, tidak cukup kain untuk menutup jenazahnya. Walhal, sebelum memeluk islam, beliau seorang yang sangat kaya.

Seusai Perang Khandak berakhir

Turun malaikat Jibril a.s. bertemu dengan Rasulullah. Jangan engkau meletakkan senjata sehingga engkau pergi ke perkampungan tersebut (perkampungan Bani Quraizah).

Lalu Rasulullah mengarahkan semua sahabat tidak menunaikan solat asar sehingga tiba di perkampungan Bani Quraizah.

Semua sahabat bergerak ke perkampungan Bani Quraizah. Kepenatan semasa perang khandak masih belum reda. Apatah lagi, kepenatan yang teramat semasa membuat persediaan sebelum perang. Semua sahabat dikerah menggali parit sebagai salah satu strategi perang. Begitulah kepenatan mereka, tapi mereka terus taat dan bersedia untuk perang lagi di perkampungan tersebut.

Ya, mereka masih bersungguh untuk kekal TAAT walaupun jasad mereka sangat kepenatan. Orang muda sekarang panggil “da barai da”.

Bersungguh

Begitulah kita lihat, bagaimana manusia ini bersungguh dengan apa yang mereka imani, yakini dan cintai.

Mereka tidak akan sanggup bersungguh dan bersusah payah sekiranya mereka tidak imani, yakini dan perkara tersebut tidak sebati dalam jiwa mereka.

Manusia hanya yakin dan kejar bersungguh-sungguh dengan perkara yang memberi manfaat besar dalam diri mereka.

Jadi, semak semula bagaimana rutin harian kehidupan kita berlalu. Adakah yang kita imani, yakini dan cintai itu memberi kesan yang besar pada akhirat?

 

 

 

Dr Mior Zainul Arif bin Zamzuri

Intern

Manipal College of Dental Sciences, Mangalore

Pengerusi ISMA India sesi 2016/17