Kerana Sahabat Begitu Berharga…

pic

Kerana keselesaan dan keterbiasaan bersama-sama sahabat kita, membuatkan kita leka akan perlakuan kita yang mungkin telah melukai perasaan mereka. Inilah  kebiasaan yang terjadi dan menjadi punca pergaduhan dalam persahabatan. Kata-kata yang mungkin diluahkan untuk gurauan boleh menjadi racun dan kaca kepada mereka dan merenggangkan lagi jalinan persahabatan.

Memetik kata-kata Imam Al-Ghazali “ Lidah manusia adalah lebih tajam daripada mata pedang”

Kerana dengan lidah manusia yang tajam ini, banyak hati terluka tanpa disedari.

Antara contoh yang dapat kita lihat seperti memanggil rakan kita dengan gelaran yang tidak disukai mereka seperti  “gemuk” dan “hitam” .Mungkin kita tidak sedar akan perubahan yang ditunjukkan, namun jauh di sudut hati mereka pasti akan timbul perasaan marah dan sedih akan perlakuan sahabat mereka sendiri. Bayangkan kita sendiri meletakkan diri kita ditempat mereka, rasakan perasaan dimalukan oleh sahabat sendiri dengan gelaran yang diberikan.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 11,

“Wahai orang yang beriman! Janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang dihina) lebih baik dari mereka (yang menghina), dan jangan pula perempuan-perempuan (menghina) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dihina) lebih baik dari perempuan (yang menghina). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk…” [Al-Hujurat 49: 11]

Dalam ayat ini Allah s.w.t.  memberi peringatan dan larangan kepada kita, orang-orang yang beriman untuk tidak menghina, merendah-rendahkan, mencela dan memanggil gelaran yang buruk.

Dalam konteks ini, adab-adab bersama-sama rakan yang sering kali dipandang ringan perlu dititik beratkan dan perlu dipraktikkan untuk kita lebih berhati-hati dan mejaga perlakuan bersama sahabat.

Adab-adab bersahabat :

  1. UKHUWAH FILLAH (Bersahabat kerana Allah s.w.t.)

Pengalaman berkecil hati dan timbulnya perasaan untuk menjauhkan diri dari rakan mengajar kita erti sebenar bersahabat kerana Allah s.w.t. Jika kita fikirkan semula, boleh sahaja untuk kita tinggalkan teman kita dan mulakan persahabatan dengan mereka yang lebih baik akhlaknya. Tetapi untuk kita yang bersahabat kerana Allah s.w.t sudah pasti akan memaafkan dan seeloknya menegur dengan cara yang berhemah kerana tujuan kita bersahabat adalah satu, iaitu untuk bertemu semula di jannah.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Orang yang menyayangi satu sama lain semata-mata kerana Allah s.w.t  akan berada di atas kursi yang diperbuat dari yaqut (delima) di keliling arasy”

  1. Menjaga Akhlak bersama-sama sahabat

Akhlak merupakan elemen yang penting untuk bersahabat dan menjadi cermin atas setiap perilaku kita .

Sabda Baginda s.a.w : “Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud).

Bak kata pepatah Arab, “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

  1. Tegur dengan cara berhemah

Menegur dengan lemah lembut, berhemah dan tidak memalukan mereka. Lebih-lebih apa bila berada di dalam kumpulan yang ramai. Teguran itu memainkan peranan yang penting dalam hubungan kerana dengan menegur kita boleh tahu akan salah-silap dan perilaku yang tidak disukai oleh rakan.

  1. Mendoakan sahabat

Dalam satu riwayat daripada Abu Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

“Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).

  1. Berlapang dada

Kita tidak boleh lari dari perasaan kurang senang dengan perlakuan dari sahabat kita yang membuatkan kita berkecil hati. Tetapi jika kita benar ingin menjaga ukhuwah antara kita dan sahabat, perlu bagi kita  untuk berlapang dada dengan bersangka baik terhadap sahabat kita.

InsyaAllah, sama-sama kita muhasabah dan perbaiki semula akhlak atau perilaku terhadap sahabat kita.

”Gurauan yang berlebihan dan melampaui batas boleh melalaikan kita dari mengingati Allah” (Riwayat Imam Nawawi).

Semoga segala amalan yang kita lakukan ikhlas kerana Allah dari segi memperbaiki diri untuk menunjukkan qudwah yang baik dan dapat dicontohi oleh rakan kita akan dibalas diakhirat kelak.

“Ukhuwah itu bagaikan seutas tasbih. Ada awal tiada penghujung. Dicipta untuk mengingatiNya, dibahagikan untuk cintaNya dan  untuk redhaNya”


Siti Nabilah Kamaruzaman

Tahun 4 IMS-MSU Bangalore

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India