Kepimpinan, Kita Perlukan Nafas Yang Baru

 

peta-kepulauanriau-kuno

Tahun 1511, telah bermula siri-siri untuk meranapkan kerajaan Islam di nusantara ini dengan kejatuhan empayar Melaka di tangan askar Portugis. Siri ini berterusan sehinggalah sekarang. Baik dari sudut kekuasaan mahupun pemikiran. Ditambah pula dengan keadaan ekonomi dunia yang kian tidak menentu. Perbalahan antara parti politik yang banyak merugikan rakyat. Rakyat yang kian muak dan mula berpecah. Wujud pula sesetengah pihak yang rakus dalam mengejar kekayaan untuk kepentingan peribadi. Sekiranya keadaan ini berterusan dan kita masih goyang kaki, mampukah generasi selepas kita terus bertahan dan berjuang untuk mengekalkan kedaulatan Islam di Malaysia?

 

Punca. Salah siapa sebenarnya?

Untuk kita merungkai satu persatu, sudah pasti terlalu banyak dan memakan masa. Cukuplah kita lihat beberapa perkara terlebih dahulu.

  • Generasi bangsa kita yang sedang lena. Bangsa Melayu tidak sedar akan peranan sebagai peneraju kepada kedaulatan islam di Malaysia. Bangsa yang memiliki syaukah (kekuatan) dan kelayakan untuk memimpin. Kita lupa akan kehebatan sejarah bangsa kita yang pernah diikitiraf sebagai kuasa besar di nusantara ini, yang pernah memiliki pusat perdagangan hebat malah kuasa maritim dunia dengan kapal-kapal yang besar dan canggih.
  • Kita seronok dengan dunia sendiri. Kita sering merasakan cukup dan hidup ala kadar tanpa perlu menjadi terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi. Tidak menguasai ekonomi negara, pendidikan sebaliknya menjuarai ruang-ruang yang merosakkan anak bangsa.
  • Ada juga yang terlebih kagum dengan barat sehingga hilang rasa kepercayaan kepada Islam untuk bangkit membina tamadun. Ada juga hidup dalam keadaan dayus dan terlalu apologetik dengan musuh Islam seperti DAP yang lantang menentang islam, memburukkan institusi Islam malah sibuk campur tangan dalam urusan orang Islam seperti pelaksanaan hukum hudud. Wujud pula puak-puak liberal seperti IRF, SIS, kelompok G25 yang semakin rancak dan gelojoh dalam membuat tafsiran agama ikut kepala sendiri tanpa disiplin yang sepatutnya.

 

Besar sangatkah kesannya sehingga kita perlu ambil tahu?

Sekiranya persoalan ini yang kita utarakan,maka sangat jelaslah bahawa kita antara mangsa percaturan musuh Islam. Kita sudah dijinakkan. Tewas  sebelum masuk ke medan pertempuran. Nampak seperti gah diluar tapi kosong isi dan jiwa.

  • Hilang identiti diri bangsa. Inilah kesan yang paling utama. Kesan yang akan membawa ‘timeline’ pembinaan tamadun kita semakin jauh. Malah boleh menjadi hamba di tanah air sendiri walaupun sudah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun. Contoh yang kita dapat lihat di negara lain adalah pemusnahan identiti bangsa Red Indian di Amerika.
  • Perpecahan umat Islam. Kita boleh lihat keadaan ini sedang berlaku. Perbalahan demi perbalahan yang wujud akhirnya akan menyebabkan kita berpecah. Susah untuk bersatu. Ini akan memberi ruang kepada anasir-anasir yang menjadi gunting dalam selimut atau berperanan sebagai “Si Kitol” untuk memporakperandakan lagi keadaan. Akhirnya,musuh Islam akan menggunakan peluang ini untuk meruntuhkan tiang-tiang yang menjadi struktur kenegaraan iaitu Islam, Melayu dan Raja.

 

Peranan anak muda.

Anak muda perlu sedar dan menerima hakikat bahawa kita merupakan generasi yang akan menggantikan barisan kepimpinan yang sedia ada sekarang ini. Kita perlu bersedia dan mengambil peranan untuk memiliki segala kemahiran yang melayakkan kita untuk memimpin. Berjaya dalam bidang pendidikan mahupun apa jua bidang yang kita ceburi, mahir dalam pengucapan awam, belajar mengurus organisasi, latih untuk berinteraksi dengan lebih efektif dan yang paling penting mempersiapkan diri dari sudut kefahaman Islam yang sebenar. Umat kita menagih nafas dan roh yang baru untuk memimpin. Manfaatkan masa yang ada semasa belajar dengan mengikuti program-program tarbiah supaya pengembangan yang berlaku bersifat menyeluruh. Percayalah bahawa kita memiliki potensi dan kekuatan yang sangat besar dalam memimpin umat ini mencapai kejayaan. Janganlah sia-siakan kekuatan ini. Hargailah sebelum semuanya menjadi bubur.

 

“Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan  Kami tambahkan petunjuk kepada mereka” (Al-Kahfi:13)

 

Mior Zainul Arif bin Zamzuri

Pelajar Tahun Akhir

Manipal College of Dental Sciences, Mangalore

Aktivis ISMA India