Kem kepimpinan Wanita ISMA INDIA : “Kami Pemimpin UMMAH”

 

Disediakan oleh : Munirah binti Mohd Nor

Wartawan Zon Selatan

eeDSC_0395

BANGALORE, 14 Mac 2015 – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India telah menganjurkan sebuah program Kem Kepimpinan Wanita pada 14 dan 15 Mac 2015, bertempat di Wonder Valley, Bangalore. Seramai 22 orang peserta wanita ISMA India dari zon utara, tengah dan selatan. Bertemakan “Setegar Khaulah, Setabah Asma’”, kem ini diadakan bertujuan untuk membentuk sifat kepimpinan dalam diri setiap peserta.

Program bermula pada 9.00 pagi,dengan aktiviti ‘ice breaking’ di mana peserta diuji dengan kemahiran merancang strategi dalam menyelesaikan tugasan secara berkumpulan. Aktiviti kedua telah menguji skil menjahit dan kekreatifan peserta apabila diarahkan untuk menghasilkan pemegang periuk dari sumber dan masa yang terhad.

 

eDSC_0290

Usai solat zohor dan makan tengah hari,aktiviti diteruskan pula dengan lari berhalangan. Kali ini, ketangkasan dan kecergasan peserta diuji. Kehangatan diteruskan dengan aktiviti ‘bamboo rafting’ dimana para peserta yang telah dibahagikan kepada dua kumpulan harus bekerjasama mendayung rakit buluh yang agak berat di samping harus melawan rintangan air.

 

Aktiviti malam pula mengasah skil kewanitaan peserta dalam slot ‘Masterchef Rumah Tangga’ di mana berbekalkan bahan mentah dan perkakas memasak yang terhad, setiap kumpulan perlu menyiapkan hidangan mudah, lengkap dan sihat dengan masa diberi hanya setengah jam. Acara diteruskan dengan slot ‘Akhawat’s Night’ yang telah menyaksikan bakat terpendam peserta ditonjolkan dalam persembahan kreatif gambaran seorang pemimpin dalam kehidupan seharian.

 

eDSC_0425

 

Keesokan harinya sesudah Subuh berjemaah, permainan strategi dan kawad kaki diadakan. Dalam kesempatan masa yang terhad untuk berlatih, para peserta telah menunjukkan kemahiran berkawad dengan baik . Usai kawad kaki, acara menyediakan sarapan pagi telah berlangsung, yang sekali lagi memperlihatkan ketangkasan akhawat di dapur.

eDSC_0836

 

Program diteruskan dengan aktiviti ‘high rope climbing’. Aktiviti ini dilihat paling mencabar apabila para peserta harus mengatasi ketakutan masing-masing dan melalui pelbagai halangan pada ketinggian lebih 3 meter. Acara kemuncak berlangsung sesudah solat zuhur. Para peserta diberi masa selama 20 minit untuk merumuskan dan membentang sejarah Islam Melayu nusantara bermula dari zaman Melaka sehingga penyebaran Islam meluas di seluruh Tanah Melayu. Program diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah serta sijil.

Acara berakhir sekitar pukul 3 petang selepas ucapan penutup oleh Ustazah Nurulhuda binti Baharin, JK Biro Luar Negara, ISMA India merangkap kem komandan untuk program kali ini. Rata-rata peserta telah memberi respon positif terhadap program ini. Diharapkan para peserta dapat mengambil ibrah daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Semoga dengan adanya program seperti ini, ia bakal melahirkan lebih ramai pejuang Islam yang berkhidmat untuk ummah, sesuai dengan moto program, ‘Leaders for Ummah’.