Kehijauan Di Akhir Musim Panas; Bahagian 2

granada

Kehijauan Di Akhir Musim Panas; Bahagian 1

Zaman Kegemilangan 

“Manusia berbondong mengetuk pintunya

Semuanya berharap dan berangan terhadapnya

Utusan Romawi di tengah halaman istananya

Karena ketakutan akan kekuatan dan serangannya

Engkau adalah harapan semua manusia

Kau kuasai Timur dan Barat

Dari ujung Kostantinopel sampai daratan Babel”

-Munzir bin Said, penyair Andalus, kepada utusan Romawi-

Zaman kegemilangan Andalus mencapai kemuncak sewaktu pemerintahan Kerajaan Umaiyyah oleh Abdul Rahman III, yang digelar “Helang Andalus”. Beliau telah menyatukan kesemua puak dan bangsa yang berbilang kaum di Andalus sewaktu dilantik menjadi “Amir” Kordoba. Setelah kesatuan dibentuk, beliau mendirikan Masjid Besar Kordoba, yang mendapat pengiktirafan sebagai masjid kedua terbesar di dunia.

Anakanda beliau, Al-Hakam meneruskan legasi pemerintahan bapanya dengan membesarkan masjid tersebut, dan membina mimbar ikonik yang bertatahkan 320 bungkusan mozek, hibrid antara hiasan Byzantine dan Corinthian serta tiang-tiang yang tersergam indah, mengambil inspirasi daripada runtuhan kota-kota Romawi sebelumnya. Sebuah istana khalifah, Madinah Al-Zahra, yang dibina bersebelahan masjid ini juga telah diiktiraf sebagai “keajaiban dunia” pada ketika itu, tetapi malangnya telah dimusnahkan pada kurun ke-sebelas.

Berdasarkan rentetan ini, dapatlah dirumuskan, apabila pemimpin Islam berjaya menyatu-padukan masyarakat berbilang kaum di dalam sesebuah negara, pelaksanaan Islam akan menjadi lebih mudah dengan penerimaan yang lebih positif. Kesatuan merupakan tonggak kekuatan, maka Islam secara tidak langsung menjadi harapan terulung menuju kebangkitan tamadun manusia itu sendiri.

Bibit-bibit Kejatuhan

“Waktunya tiba telah dekat

Kehancuran sudah di ambang pintu

Semua kekhawatiranmu telah datang

Dan raja pun tak berdaya

Dalam genggaman dan kekuasaan

Sang ibu suri…”

 –Abbas bin Nâsih-

Lumrah hidup ini ibarat roda, ada kala kita di atas, dan ada kalanya kita bertekur di bawah. Ibn Khaldoun di dalam “Muqaddimah” membicarakan secara umum berkenaan kitaran tamadun yang disifatkan sebagai sunnatullah, yang seterusnya diterjemah oleh Syeikh Rasyid Redha sebagai sunnatul kauniyah; menetapkan suatu prinsip di mana sesuatu yang berada di puncak tidak semestinya akan berada di situ selama-lamanya, dan pasti akan melalui tempoh kejatuhan jua.

Al-Andalus merupakan sebuah empayar kelolaan manusia, tidak terlepas daripada sunatullah yang sama. Namun, apa yang menyebabkan Al-Andalus runtuh dan hancur bak debu berterbangan sehinggakan sulit untuk menjejak sejarahnya, bukanlah disebabkan aspek intelektual mahupun fizikalnya, tetapi kegagalan untuk mempertahankan syiar Islam dari sudut pentadbirannya.

Kejatuhan kerajaan kirana ini umpama insan yang menghidap penyakit tua, berlarutan dalam tempoh yang panjang, tanpa bantuan “tongkatnya”. Hakikatnya tiada pemimpin pada ketika itu yang mampu membela nasib Al-Andalus, tiada Salahuddin Al-Ayubi, tiada Saifuddin Qutuz, dan tiada Muhamad Al-Fateh. Suatu ironi yang perlu dilihat; Nabi Nuh berdakwah beratus-ratus tahun untuk mengislamkan sebilangan kecil umatnya, namun beratus-ratus tahun juga diperlukan untuk sebuah kerajaan Islam yang hebat runtuh tiada meninggalkan sisa.

Andalusia yang diperintah oleh suatu khilafah, berpecah menjadi 20 buah kerajaan kecil. Pembentukan kerajaan-kerajaan kecil ini turut dikenali sebagai Muluk al-Tawa’if, yang wujud disebabkan semangat puak, sikap fanatik terhadap bangsa. Mereka tidak langsung berpegang kepada semangat Ukhuwah Islamiyah dan menjurus kepada ketuanan kaum masing-masing.

Fenomena ini berlaku setelah pucuk pimpinan di Kordoba menghadapi masalah dalaman, bergaduh dan bercakaran, malah saling menindas bagi merebut kuasa khalifah dan penguasaan wilayah. Natijahnya, Kordoba yang masyhur di dalam Bahasa Arab sebagai “Al-Qurtubah” akhirnya menjadi bandar yang terakhir jatuh sepenuhnya kepada penguasaan Raja Ferdinand. Ia berlaku pada zaman pemerintahan terakhir Andalus di bawah Bani Al-Ahmar yang menguasai wilayah terakhir di Granada dari tahun 620H-897H. Penyerahan wilayah terakhir ini terpaksa dilakukan demi menyelamatkan maruah pemerintah Islam di bawah pimpinan Abu Abdullah daripada digulingkan dengan cara yang lebih teruk.

Kejatuhan Andalus adalah bukti kelemahan pemerintahan yang sanggup menggadai prinsip demi mendapat sokongan untuk menduduki takhta yang hanya mampu dikecapi buat sementara waktu sahaja. Antara faktor lain yang menyumbang kepada kejatuhan Andalus :

  1. Tiada mekanisma untuk mencari pengganti yang layak meneruskan pemerintahan di Andalus. Kebanyakan mereka hanya mewarisi kepimpinan melalui sistem monarki yang pada waktu itu sudah korup, tiada akauntibiliti dan hilang integriti di mata rakyat.
  2. Tiada wala’ terhadap khalifah yang sah mentadbir kerajaan. Masing-masing menyimpan hasrat untuk menguasai wilayah pemerintahan sehingga berlaku perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
  3. Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul amal) dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain.
  4. Perbezaan fikrah yang wujud sehingga hilang adabul ikhtilaf dalam kalangan mereka, lalu perbezaan tersebut menyebabkan jatuh-menjatuhkan, runtuh-meruntuhkan dan kurang usaha untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.
  5. Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa berusaha untuk memperkukuh ikatan sesama mereka.

Kesan daripada faktor-faktor ini, umat Islam dibunuh atas restu Pope dan ada yang dihalau keluar dari Andalusia, bahkan ada di antara mereka yang terus diperangi dari segenap sudut meskipun sudah bersedia untuk keluar dari Andalusia. Musibah ini turut terpalit kepada kaum Yahudi, yang hilang sumber perlindungan setelah kerajaan Islam menjadi lemah sebelum mengalami keruntuhan.

Al-Andalus turut tidak terlepas daripada cengkaman jahiliyyah sewaktu kejatuhannya. Lihat sahaja Al-Hambra, pangkin para bangsawan untuk melampiaskan nafsu dan maksiat yang dibutakan oleh kesenangan tanpa cakna dan peka akan kejatuhan yang kian mendekat. Patung-patung singa diukir konon melambangkan kegagahan para pejuang dahulu, namun kini hanya anak-anak kijang jua yang mewarisi ruhnya. Contoh lain yang boleh dilihat adalah menerusi 72 bait puisi yang dilantunkan oleh Al-Jundy Al-Majhûl dalam elegi Toledo, dengan menganggap kejatuhannya sebagai bencana yang disebabkan dosa dan maksiat orang Islam sendiri. Seperti firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Syura ayat ke-30, yang bermaksud:

Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu),

Beliau berkata:

 “Kita adalah manusia-manusia yang layak mendapatkan balasan

Karena kefasikan besar dan maksiat jangak

Yang mengalir deras dalam darah kita’

Para pembaca mungkin menyedari banyak bait-bait puisi disertakan di dalam penulisan ini, kerana pada hakikatnya masyarakat Andalus bukan sahaja hebat dari sudut spiritual dan intelektual, malah nilai kesenian yang terpatri dalam masyarakat ini juga tiada tolok tandingannya. Asbab terlalu dibuai keindahan dan keasyikan muzik serta alunan puisi yang kosong sambil menunggang botol-botol arak, para pemimpin mereka sudah hilang punca dalam usaha mempertahan empayar Al-Andalus.

Abu Abdullah, merupakan raja terakhir Granada; pemerintah terakhir kerajaan Andalus yang telah menandatangani perjanjian pada November 1492. Beliau terpaksa menyerahkan kunci Andalus kepada Ratu Isabella dan Raja Ferdinand. Berkata Maharani Aishah, kepada rajanya yang sedang menangis menekur muka ketanah, “Kamu menangis seperti wanita untuk kota yang kamu gagal pertahankan sebagai seorang jagoan!”

Refleksi

Al-Andalus adalah sebuah ceritera cinta agung, yang dikecewakan oleh bahana masa dan ruang. Sebuah cerita yang harus diwarisi sebagai peringatan untuk kerajaan-kerajaan Islam kini dan akan datang. Hakikatnya, dunia Barat mendapat begitu banyak manfaat semenjak kali pertama Al-Andalus membuka pintu kotanya, sehingga hari ini.

Masyarakat Islam yang kini berjumlah hampir 1.2  bilion sebenarnya mempunyai potensi yang sama untuk membangunkan kembali empayar dan daulah Islamiyah, namun umat Islam harus kembali berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Dengan izin dan izin Allah, bila tiba saatnya, Islam akan kembali menyinar merestui kehidupan manusia dalam memperoleh pengakhiran yang abadi.

 

Muhammad Akmal bin Mazeni

Tahun 4 Yenepoya Dental College, Mangalore

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India

Rujukan:

  1. Al-Quranul Karim
  2. Lost Islamic History: Reclaiming Muslim Civilisation From The Past, Firas Alkhateeb, 2014
  3. KEGEMILANGAN DAN KERUNTUHAN ANDALUS, Dr. Danial Zainal Abidin , 2011, http://gayongsaa.blogspot.in/2011/01/kegemilangan-dan-keruntuhan-andalus.html
  4. Kisah Kejatuhan Kerajaan Islam di Andalus, Mohd Azmir bin Maideen, 2013, http://www.tarbawi.my/2013/06/kisah-jatuh-bangun-pemerintahan-islam.html
  5. Andalusia When It Was…,  Maryam Noor Beig, http://www.hispanicmuslims.com/andalusia/andalusia.html
  6. Prahara Sejarah: KEGETIRAN SEJARAH ISLAM DI ANDALUSIA DALAM POTRET BUDAYA DAN SASTRA, Apu’ Indragiri. Penyair dan novelis, 2011, https://sastralangit.wordpress.com/2011/01/19/prahara-sejarah-kegetiran-sejarah-islam-di-andalusia-dalam-potret-budaya-dan-sastra/