Kehijauan Di Akhir Musim Panas; Bahagian 1

al hambra

 “Tangisilah Cordova

Kota nan indah yang lebur

Peradaban telah terkubur

Kesejahteraan telah lenyap terkikis

Dan semuanya kini sirna”

-Penyair Andalus-

Kota Andalusia mengambil nama daripada perkataan “Al-Andalus”, yang bermaksud “kehijauan di akhir musim panas”, merujuk kepada wilayah yang diperintah oleh kerajaan Islam di Selatan Sepanyol. Tulisan ini mengupas serba sedikit berkenaan sejarah, faktor kebangkitan, zaman kemasyhuran dan kemajuan kerajaan Andalus, serta faktor-faktor kejatuhannya. Bersempena dengan Intifada Ketiga yang dilaungkan di Palestin ketika ini, eloklah kiranya kita menghayati maksud dan kepentingan pelaksanaan daulah Islam yang tenteram dan syumul agar boleh diterapkan di Malaysia oleh generasi yang akan datang.

Pembukaan

Kerajaan Islam pada ketika itu sedang  giat melaksanakan syariat bagi mencapai ustaziyatul alam. Dengan membawa risalah Al Haq yang mana semangat dan rohnya ditempa daripada kekuatan dan ego Rub’ie bin Umair sewaktu berhadapan dengan Rostam, gabenor Parsi di atas matlamat yang serupa, iaitu membebaskan diri daripada perhambaan terhadap manusia kepada perhambaan terhadap Allah; daripada kesusahan dunia kepada keselesaan; dan daripada penindasan agama-agama palsu kepada keadilan Islam. Tetapi, kali ini soldadu Islam diketuai oleh Tariq bin Ziyad, memimpin tentera Islam mengharungi Gibraltar (Jabr Al Tariq), seterusnya menawan kota Sepanyol dan wilayah-wilayah di sekitarnya. Pidato yang masyhur saat beliau mengarahkan agar kapal-kapal yang sama membawa mereka melayari Lautan Atlantik dan Mediterranean dibakar arakian menaikkan semangat tentera-tentera Islam ketika itu, berbunyi,

“Wahai saudara-saudaraku, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian akan lari? Demi Allah, yang kalian miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran…”

Lantas kemenangan tentera Islam pada ketika itu, yang hanya seramai 7000 orang berdepan dengan 100,000 orang  tentera musyrikin merupakan batu asas pembentukan kerajaan Islam Eropah Andalus yang mencapai tempoh pemerintahan selama hampir lapan abad.

Kerajaan berbilang bangsa

Penaklukan Sepanyol oleh kerajaan Islam bukanlah atas dasar politik mahupun pembersihan etnik dan kaum, tetapi pembebasan jiwa-jiwa manusia itu sendiri. Masyarakat majmuk terdiri daripada golongan Yahudi dan Nasrani, Arab dan bangsa Eropah bebas menganut agama masing-masing, malah berpeluang memegang jawatan-jawatan penting di dalam kerajaan Islam Andalus.

Seperti firman Allah s.w.t di dalam surah Yunus, ayat ke-99, mafhumnya,

“Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang di bumi seluruhnya. Tetapi apakah (kamu) hendak memaksa manusia agar mereka menjadi orang-orang yang beriman?”

Sepanyol pada masa yang sama pernah menempatkan serta memberi perlindungan jizyah kepada komuniti Yahudi yang terbesar, walhal di kawasan lain di Eropah, masyarakat Yahudi diburu dan dibunuh dengan kejam.

Selain Palestin, catatan sejarah telah membuktikan kebesaran rahmat Islam membolehkan ketiga-tiga agama, Islam, Yahudi dan Nasrani, mampu berada di bawah sebuah tampuk pemerintahan yang sama dengan aman. Atas dasar toleransi yang ditunjukkan, ramai golongan kafir memeluk agama Islam kerana hakikatnya pada ketika itu Islam berada pada kedudukan yang tertinggi, tahap sosio-ekonomi yang mapan, jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah yang lain yang sedang melalui Zaman Gelap. Tidak lupa kepada Dasar Kristian Eropah yang menghalang toleransi agama yang dapat dilihat daripada peristiwa Charlemagne.

Namun begitu, sewaktu berlakunya kejatuhan kerajaan Islam Andalus, umat Islam diburu dan dibunuh, sehingga sebahagian daripada mereka terpaksa berpura-pura menganut agama Kristian, tetapi masih lagi beriman kepada Allah s.w.t.   Golongan ini digelar “Moriscos”; sewaktu pengusiran umat Islam secara besar-besaran, perang ke atas mereka telah diisytiharkan dan dianggap sebagai “Holy War”. Namun, apabila Ratu Isabella dan Raja Ferdinand Aragon memegang kunci Kota Andalus, segala yang berkaitan dengan Islam telah dihapuskan secara berperingkat-peringkat dengan agresif.

 Peranan Muslim

Kegemilangan empayar Andalus secara dasarnya dipelopori oleh golongan Muslim itu sendiri. Sepanyol menjadi pusat pembelajaran dan pengajian yang masyhur. Kurikulum berteraskan pembacaan, penulisan, matematik, pengajian Bahasa Arab, Al-Quran dan hadith. Umat Islam mempelopori bidang-bidang terkemuka seperti matematik, sains, perubatan, astronomi, navigasi dan pelayaran, dan sebagainya. Manusia dari serata dunia berbondong-bondong datang ke Sepanyol untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti Islam Andalus. Diceritakan mana-mana bangsa Eropah pada ketika itu yang berkeinginan untuk menjadi ilmuwan, maka Kordoba adalah tempat terulung bagi menuntut ilmu, seperti Oxford dan Harvard pada hari ini. Ramai cendekiawan Islam yang ternama seperti Ibn Sina (Avicenna), Ibn Zuhr (Avenzoar), Al Khawarizmi (Algorizm), Al Razi (Razes), dan sebagainya yang lahir di bawah pemerintahan kerajaan Andalus.

Empayar ini mencapai kemuncak pemerintahan sewaktu abad ke-sepuluh, pada 1100 Masehi, mencatatkan bilangan umat Islam di Kordoba sahaja seramai 5.6 juta orang.  Tempat wuduk umum dibina, perpustakaan dan pusat kajian bertebaran di serata Kordoba, berbanding di kawasan-kawasan lain di Eropah yang rata-rata masyarakatnya masih buta huruf.  Ilmu dari Rom dan Greek utuh terpelihara. Kawasan seperti Toledo menjadi tumpuan seterusnya para cendekiawan dari serata dunia. Ciptaan-ciptaan seperti glob, peta, lebih 200 peralatan surgeri, dan banyak lagi telah dihasilkan di Andalus. Justeru, tidak hairanlah Andalus mendapat nama jolokan “Pusat Peradaban Manusia” di benua Eropah pada ketika itu.

Arkitek dan senibina Islam jelas terpampang di bangunan–bangunannya. Istana Besar Al-Hambra, Masjid Besar Kordoba adalah beberapa contoh kehebatan senibina Islam yang masih berdiri teguh sehingga kini.  Seorang penyair menggambarkan Al-Hambra seperti berikut;

“Matahari menyinar di sini, Dan bayangmu juga dirahmati

Istana ini penuh nikmat sejauh mata memandang, 

Buminya yang indah meliputi keilmuan yang tersidang, 

Kecantikannya diukir, kekayaannya tiada tandingan.” 

Keagungan dan kecantikan Al-Hambra telah mendapat perhatian dan pujian para penyair, pemuzik, dan penulis seantero dunia. Seorang penulis terkenal, Washington Irving, yang pernah tinggal di sana menulis sebuah buku bertajuk “Tales of Al-Hambra”. Artis Barat, M.S. Escher amat tertarik dengan keindahan Al-Hambra, sehinggakan berhari-hari telah dihabiskan oleh beliau melakar corak-corak jubin Al-Hambra sahaja; yang menjadi titik tolak kepada kejayaan karya seni beliau sesudah itu. Karya beliau kebanyakannya berkisar akan kesenian dan kaligrafi Arab, corak flora berulang-ulang dan corak berunsurkan matematik serta geometri.

Ikuti rentetan pada bahagian seterusnya : Kehijauan Di Akhir Musim Panas; Bahagian 2

 

Muhammad Akmal bin Mazeni

Tahun 4 Yenepoya Dental College, Mangalore

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India