Kasih Ibu Sepanjang Usia…

851302511_75774

Matahari tegak memancarkan cahayanya di ufuk bumi. Alia masih tidur dengan nyenyaknya di atas katil. Sudah menjadi kebiasaannya untuk bangun lewat sejak beberapa minggu yang lalu setelah dia tamat menduduki ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Alia, bangun! Kata Mak Cik Rohaya ibu kepada Alia sambil cuba membangunkan Alia dari katil.

“Apa nak jadi ni Alia, bangun lambat, rezeki pun tak masuk,” sambung Mak Cik Rohaya lagi tetapi Alia masih membeku di atas katil. Intonasi suara Mak Cik Rohaya sedikit tinggi lalu dia keluar dari bilik Alia.

Alia bingkas bangun. Ada je yang tak kena semenjak dua menjak ini. Dia segera mandi dan bersiap-siap untuk sarapan pagi tetapi setibanya dia di dapur alangkah terkejutnya apabila dia mendapati tiada sarapan yang disediakan untuknya seperti selalu.

“Ibu, mana sarapan Alia?” Tanya Alia binggung seketika.

“Alia sayang, Alia kan dah besar, boleh buat sarapan sendiri. Sampai bila Alia nak mengharapkan ibu untuk buat semua benda untuk Alia? Kalau suatu hari nanti Allah swt ambil nyawa ibu macam mana?” Tanya Mak Cik Rohayu. Dilihatnya air muka anaknya berubah.

Alia berlalu ke biliknya. Perasaannya tiba-tiba menjadi sayu. Dia merasakan ibunya tidak lagi sayang padanya. Malah duit belanja harian tidak lagi diberi dengan alasan untuk mengajar Alia erti berdikari sendiri.

Pada keesokkan hari, rutin harian Alia tidak sama lagi seperti dulu. Selepas melakukan solat fardhu subuh berjemaah satu keluarga, dia turun ke dapur untuk menolong ibunya menyediakan sarapan. Jauh di sudut hati Alia, berat untuk dia meninggalkan tabiat lamanya. Alia masih merajuk dengan ibunya. Selepas sarapan disiapkan, dia segera bergegas untuk membersihkan diri bersiap-siap untuk ke taska. Alia bekerja di pusat taska yang berdekatan dengan rumahnya sebagai guru matematik sementara.

Hampir tiga bulan berlalu, keputusan peperiksaan SPM juga telah diumumkan. Walaupun keputusan Alia biasa-biasa sahaja tetapi cukup untuk membuatkan hati ibunya tersenyum bangga.

“Ibu tak kisah berapa ‘A’ yang Alia dapat, cukuplah Alia jadi anak yang solehah kepada kedua orang tuanya. Jadilah hamba Allah swt yang berjaya di dunia dan di akhirat.” Kata Mak Cik Rohayu sambil memeluk erat anak tunggalnya itu. Titisan air mata mula membasahi muka Alia. “Alia kena ingat, solat fardhu 5 rakaat, solat sunat dhuha jangan ditinggal, itulah kunci pembuka rezeki.” Tambah Mak Cik Salmah.

Kini, 15 tahun sudah berlalu. Alia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan seorang ibu yang terbaik. Ibu yang jerit perih telah mengandungkan dirinya selama sembilan bulan menahan kesakitan. Ibu mengasuh dan mendidiknya sejak kecil dengan penuh kasih sayang.  Dia tahu jika kita bercakap “ah” sahaja kepada seseorang ibu akan mendapat dosa apatah lagi jika mengingkari arahan kedua ibu bapa.

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Redha Allah s.w.t. bergantung pada redha kedua-dua ibu bapa dan murka Allah s.w.t. bergantung pada murka orang kedua-dua ibu bapa.”

 (Hadis Riwayat Hakim)

Dia juga tahu, setiap bebelan ibunya terhadap dirinya itu adalah yang terbaik untuk dirinya kelak. Di dalam rumah tangganya kini, dia bahagia bersama suami dan dua orang cahaya mata perempuan. Terima kasih kepada ibunya di atas setiap bebelan dan nasihat terhadap dirinya. Dia merindui kasih seorang ibu yang tidak dapat diukur dengan nilai wang ringgit.

“Ibu, Alia rindu ibu. Al-fatihah”

 

Nabihah binti Mahmood

Pelajar tahun 3 MBBS IMS-MSU Bangalore

 

Peserta Pertandingan Penulisan Hari Ibu 2016