Itulah Ayah : Kasihnya Tiada Mengenal Lelah

Hussein

Dikala matahari belum sempat menjengah, INSAN itu telahpun ‘menghilang’ bagi mencari sesuap nasi…

ITULAH AYAH

Dikala malam mula menyepi,

Dikala aku dibuai mimpi,

baru INSAN itu kembali…

ITULAH ABI

Setiap kali makanan terhidang, akulah orang pertama yang kenyang…
Maka berbahagialah INSAN itu melihat anaknya yang tersayang girang setelah kenyang…
Meskipun beliau tidak sempat menjamah sebarang makanan sedang perutnya berkeroncong…

ITULAH BAPA

Teringat pada suatu hari,
Semasa daku kecil lagi,
Menangis daku berkali-kali,
Inginkan permainan yang mahal sekali,
Beliau berpura-pura tidak mengerti,
Kerana beliau tahu, itulah PEROSAK masa depan kami…
Kini aku telahpun besar tinggi,
Baru aku mengerti mengapa aku tidak diberi…
Syukur pada Ilahi kerana mengurniakan INSAN ini…

ITULAH ABI

Kami bukanlah daripada keluarga yang berada,
Buku pelajaran kami pula hasil sedekah daripada saudara mara,
Tetapi Sang Bapa punya tekad di dada,
Untuk menyekolahkan kami di sekolah agama swasta yang beribu yurannya,
Sanggup menambah beban dan kerja daripada yang sedia ada,
HANYA untuk menambah pendapatan keluarga,
DEMI melihat anak-anaknya tersemat rapi AGAMA di dada,
Agar kami semuanya berjaya di akhirat juga dunia…

MAKA itulah BAPA…

Ya ALLAH,
Kurniakanlah ibu juga bapa kami SYURGA,
Agar terbayar semua pengorbanan juga usaha mereka buat kami semua,
Dan itulah selayaknya buat mereka berdua…
Moga ayah juga bonda,
Kita ketemu lagi di alam sana,
Kaulah satu tiada dua,
Berbahagialah dikau di sana,
Dan itulah penantian buatmu,

Sebelum mendapat syurga…Insyaa ALLAH

 

Muhammad Hussein Lee bin Adi Johan Lee

Tahun 4 MBBS USM-KLE

Aktivis ISMA India Zon Utara