ISRA’ MI’RAJ : Motivasi Dari Sebuah Perjalanan

 

Isra’ mi’raj merupakan sebuah perjalanan luar biasa. Pendek cerita, Isra’ Rasulullah s.a.w ditemani Jibril menaiki Buraq bertolak dari Kota Mekah, kemudian singgah di Masjidil Aqsa, Palestin. Lalu mi’raj Rasulullah s.a.w dibawa ke 7 tingkat langit dan naik bertemu Allah s.w.t. Ada beberapa perkara atau peristiwa yang perlu ditekankan dalam memahami perjalanan luar biasa ini. Pertama, kejadian-kejadian simbolik yang dipaparkan sepanjang perjalanan dari Kota Mekah ke Baitul Maqdis. Kedua, pertemuan-pertemuan dan pengakuan kenabian di tingkat-tingkat langit dari Nabi Adam sehingga Nabi Ibrahim a.s. Ketiga, pensyariatan solat di tingkat teratas langit, di Baitul Makmur.

 

Menariknya, semua ini berlaku dalam tempoh satu malam, dan roh serta jasad Rasulullah s.a.w dibawa naik ke langit. Saya cuba untuk menyingkap perjalanan luar biasa ini dari suatu sudut pandang. Merungkai satu persatu erti perjalanan ini sebagai seorang mukmin. Banyak pandangan mengatakan bahawa peristiwa luar biasa ini berlaku dalam “Tahun Kesedihan”, tahun ke 10 kenabian di mana Nabi s.a.w kehilangan dua orang paksi besar dalam dakwah baginda, iaitu Abu Talib dan Khadijah dalam tempoh yang sama, jaraknya hanya 2-3 bulan.

 

Erti Sebuah Kehilangan

 

Sekiranya kita letakkan peristiwa dalam plot dakwah Nabi s.a.w di Mekah, peristiwa Isra’ Mi’raj berlaku di kemuncak dakwah baginda di Mekah. Berlaku pada suatu masa, keadaan Nabi s.a.w dan para mukmin berada dalam moral yang rendah dan hampir-hampir sahaja putus asa. Selepas berlaku episod tentang-tentangan yang dahsyat, kemudian disusuli dengan pemboikotan ke atas keluarga baginda dan muslimin seluruhnya, kehilangan bapa saudara dan isteri baginda sudah tentu membuatkan luka yang ada bertambah dalam.

 

Kehilangan ini adalah kehilangan yang membawa erti yang cukup besar kepada Nabi s.a.w dan generasi Islam pada waktu itu. Allah s.w.t mengajar hamba-hamba-Nya yang beriman agar tidak bergantung sedikit pun pada apa-apa melainkan kepada Allah s.w.t. Maklum mengetahui bahawa Abu Talib memberikan perlindungan yang secukupnya sehinggakan musyrikin Mekah tidak berani menyentuh Nabi s.a.w sedikitpun, manakala Khadijah menjadi tulang belakang dakwah baginda dari sudut sokongan, kewangan dan sebagainya. Apabila semua itu hilang, maka di mana lagi tempat bergantungnya dakwah ini?

 

Apa kata Allah dalam surah Yusuf,

“sehingga apabila para rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah meyakini bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada rasul itu, pertolongan Kami, lalu diselamatkan orang yang Kami kehendaki…”

 

Dakwah ini berdiri di pangkal keimanan yang mendalam. Tidak memerlukan apa-apa kebergantungan melainkan keimanan kepada Allah. Bahkan perasaan yang hadir selepas merasai kepenatan, sabar dengan tohmahan, dan apa-apa sahaja perasaan yang menyebabkan jiwa ini sakit, pada penghujungnya Allah s.w.t akan turunkan pertolongan. Kuncinya pada kesabaran. Ini yang berlaku pada saat itu.

 

Optimis

 

Allah s.w.t tidak akan membiarkan Rasulullah s.a.w dan golongan mukmin ‘terperangkap’ dalam rasa kesedihan dan putus asa. Bahkan Allah s.w.t telah mengurniakan baginda suatu perjalanan yang cukup ajaib dan menambahkan keimanan serta perasaan optimis Nabi s.a.w serta para sahabat dalam memperjuangkan akidah suci ini. Sepanjang perjalanan ini, terkandungnya seribu satu makna hakikat kehidupan dan menarik jiwa manusia untuk memahami cara untuk hidup di dunia ini. Bermula dengan gambaran-gambaran golongan yang ingkar dengan perintah-perintah Allah, kemudian hubungan yang tidak terputus mesej akidah yang sama dari Adam hingga Muhammad s.a.w, dan pensyariatan solat.

 

Apabila selesai, Nabi s.a.w menghadapi suatu lagi ujian. Baginda perlu menceritakan kepada manusia apa yang dialaminya sesudah sampai di Mekah pada keesokan paginya. Pastinya, situasi ini suatu episod pemisahan antara golongan yang benar-benar beriman, dan golongan munafiq dan kuffar. Lihat sahaja tokoh As-Siddiq, Abu Bakar kemudian disusuli dengan sahabat-sahabat yang lain. Dan lihat pula reaksi golongan yang tidak mempercayai baginda bahkan ditanya pula bukti-bukti bahawa baginda melalui perjalanan itu dari Kota Mekah sehingga ke langit tertinggi.

 

Kuncinya, pada dalamnya keimanan. Bukan keimanan surface yang tidak membawa kepada praktik amal dan bergerak memperjuangkan dakwah mulia. Hal ini juga membawa erti bahawa Rasulullah s.a.w cukup optimis dengan masa depan kegemilangan Islam, meskipun keluarbiasaan perjalanan ini tidak dapat diterima akal manusia. Namun makna di sebalik sebuah perjalanan ini lebih besar dari kejian, ejekan dan tekanan dari manusia. Seolah golongan mukmin dapat melihat kehidupan dalam skop lebih luas dan sudah tahu pengakhiran yang akan berlaku!

 

Peralihan Kepimpinan Manusia

 

Merujuk pada surah al-Isra’, kita dapat mengetahui bahawa Allah swt mengisahkan tentang perjalanan Isra’ hanya dalam satu ayat sahaja, kemudian diceritakan kepelikan-kepelikan orang Yahudi dan kejahatan yang mereka lakukan di atas muka bumi. Setelah itu, Allah mengingatkan mereka bahawa Al-Quran adalah memberikan petunjuk kepada jalan yang lebih lurus iaitu Al-Islam.

 

Mungkin sepintas lalu, kita melihat apa kaitannya? Antara perjalanan ini dengan orang Yahudi? Perjalanan Nabi s.a.w yang disinggahkan ke Baitul Maqdis membawa makna yang cukup besar. Mengapa?

Allah s.w.t mengisyaratkan bahawa Isra’ ke Baitul Maqdis kerana orang-orang Yahudi akan disingkir dari layaknya mereka sebagai pemimpin manusia, disebabkan kejahatan dan kesombongan mereka, sehinggakan tiada lagi kesempatan bagi mereka memimpin umat manusia.

 

Secara langsung, Allah swt mengalihkan amanah kepimpinan spiritual ini dari satu umat ke umat yang lain. Dari umat yang sejarahnya dipenuhi dengan kecurangan, pengkhianatan, dosa, dan permusuhan kepada umat yang berlimpah dengan keberkatan dan kebaikan, di mana Rasul mereka masih menerima wahyu Al-Quran yang memberi petunjuk ke jalan yang lurus. (rujuk ayat 16-17)

 

Motivasi

 

Jelas, semua ini motivasi yang menyegarkan. Bukan sahaja kita perlu memperingatinya pada tarikh tertentu seperti 27 Rejab atau sebagainya, bahkan kita perlu memahami perjalanan ini dari singkap yang utama pada bila-bila masa. Perjalanan ini penuh dengan motivasi keimanan serta keyakinan kepada Rasulullah s.a.w dan para sahabat pada waktu itu untuk terus beriman dan mengekalkan rentak dakwah meskipun di bawah tekanan yang sangat dahsyat.

 

Kesannya, dakwah Islam terus kukuh dan berkembang seiring dengan dalamnya nilai iman muslimin di bawah kepimpinan Nabi s.a.w. Seolah bermulanya suatu fasa baru dalam dakwah baginda di Mekah sehingga berlakunya hijrah ke Madinah. Motivasi ini perlu dikekalkan dan disuburkan dalam jiwa kita. Bukan sahaja motivasi untuk berdakwah bahkan motivasi untuk mengelakkan diri dari melakukan kemaksiatan dan dosa, ditambah lagi dengan pensyariatan 5 waktu solat, sudah tentu ia membawa suatu signal jelas, bahawa dakwah Islam akan terus bergerak dengan syarat berpegang pada takwa tinggi kepada Allah dan meninggalkan maksiat serta dosa.

 

Kesimpulan

 

Memahami isra’ mi’raj adalah suatu keajaiban dalam keajaiban. Bukan mudah untuk menjadi seorang Muslim pada zaman Nabi s.a.w, apatah lagi di masa ketiadaan baginda pada waktu ini. Al-Quran perlu digenggam sekuatnya dalam mengharungi kehidupan penuh fitnah dan keaiban yang berterusan. Bertitik tolak dari kefahaman sebuah perjalanan luar biasa bumi-langit, ia perlu dirangkumkan dalam erti sebuah keimanan, kemudian dipasak dalam jiwa supaya melekat hingga ke akhir waktunya. WA.

 

Muhammad Farris Bin Mohd Hanafi,

Pelajar Tahun 3 Perubatan,

Melaka Manipal Medical College(MMMC ) ,

Setiausaha Agung ISMA India 2015.