ISMA India Terus Berkembang

Oleh : Wartawan Zon Tengah

Bangalore,10 Mei – Seramai 13 ahli Jawatankuasa Pusat ISMA India telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat bulanan bertempat di sebuah hotel di Bangalore. Mesyuarat kali ini cukup penting dalam menilai semula segala perjalanan yang telah dibuat pada fasa pertama (6 bulan) dalam sesi ini, dan juga merangka perancangan masa depan.

Mesyuarat bermula 9.30 pagi. Pada awal mesyuarat, Pengerusi ISMA India, saudara Mior Zainul Arif bin Zamzuri mengingatkan kepada barisan pimpinan yang hadir untuk fokus dalam beramal dan memahami tujuan asal bergerak dalam ISMA.

 “Core business kita adalah tarbiah, mendidik,membentuk dan menyalurkan potensi yang ada untuk Islam, kita tidak akan berkembang dan mencapai objektif yang dimahukan andainya kita mengabaikan tanggungjawab asas ini dalam bergerak.”

Tambahnya lagi, “adakah amal kita, ditampung dengan ‘minyak’ yang cukup? Kerana dakwah ini suci, dan tidak akan berjaya sekiranya bercampur dengan kelalaian, maksiat dan dosa. Kita juga perlu jujur pada diri sendiri dalam beramal dan memimpin masyarakat, jika tidak amal kita hanyalah sia-sia.”

Mior

“Walaupun umur pertubuhan kita baru sekitar 1-2 tahun, namun ahli ISMA India terus menunjukkan kesungguhan dan kematangan dalam melaksanakan dakwah, dan kita akan terus mengekalkan rentak ini untuk masa akan datang.”

Setakat ini, keahlian ISMA India mencapai 252 orang dari tiga Cawangan Zon ISMA India, iaitu Zon Tengah, Zon Utara, dan Zon Selatan. Zon-zon tersebut merangkumi kawasan sekitar Bangalore-Kolar-Salem, Belgaum-Dharwad-Karad-Devangere dan Mangalore-Manipal. Dijangkakan keahlian ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa seiring dengan projek-projek yang bakal dilaksanakan.

_DSC027857

Kesemua ahli Jawatankuasa Pusat berhempas pulas membincangkan hal ehwal ISMA India termasuk ke arah menjadi pertubuhan pelajar diiktiraf di India, sekaligus komited dalam mengarusperdanakan agenda dakwah seiring dengan seruan Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman pada Mesyuarat Agung Tahunan ISMA baru-baru ini.

Kemudian, mesyuarat diteruskan lagi dengan penilaian sistem organisasi untuk 6 bulan pertama, laporan-laporan biro dan sebarang hal-hal berbangkit dibincangkan dan diputuskan. Mesyuarat berakhir pada jam 5 petang dan ditangguhkan oleh Pengerusi beserta bacaan doa Rabithah sebagai penutup.