Ibu, Engkau Ratu Hatiku .

 

Pengorbanan seorang ibu itu terlalu banyak untuk diucapkan. Sesudah bersusah payah mengandungkan seorang anak selama 9 bulan 10 hari dan bertarung nyawa meneran kesakitan di kala melahirkan kita bukan sesuatu yang biasa, tetapi luar biasa. Pengalaman sebagai seorang pelajar perubatan dan melihat sendiri proses bersalin bagi seorang ibu, saya berpeluang melihat segala keperitan dan kesulitan seorang ibu sewaktu mengandung dan melahirkan anak seolah-olah hilang sekelip mata apabila bahagia melihat anak yang dinanti-nanti lahir ke dunia.

 

Tugasan seorang ibu tidak terhad pada pengurusan rumah semata-mata, namun tanggungjawab yang lebih besar digalas. Ibulah guru pertama buat anak-anak di rumah, yang mencurahkan kasih sayang tidak berbelah bahagi, sentiasa berusaha memastikan keperluan anak-anak cukup, menjadi pendengar setia dan banyak lagi. Tugas seorang ibu itu bukan tugas picisan, tetapi satu tugas besar dalam pembentukan masyarakat. Tangan yang lembut menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia.

 

Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya, “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”Baginda menjawab: “Ayah kamu.

 

Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Luqman, 31: 14)

 

 

Berbuat baik kepada ibu sangat luas makna dan aplikasinya. Kita sebagai muslim diwajibkan menghormati ibu sebaiknya selagi mana tidak bercanggah dengan syara’. Tak usah kekok melafazkan sayang buat ibu tersayang, kerana lafaz sayang itu mengeratkan lagi hubungan. Carilah masa untuk membantu meringankan kerja-kerja rumah tanpa dipinta, itu sudah cukup buat si ibu menguntumkan senyuman. Tidak lupa juga, memperuntukkan sebahagian wang kepada ibu bapa walaupun sedikit dan sesekali jangan lokek berbelanja membeli hadiah kesukaan buat mereka. Buat anak-anak yang di perantauan, ziarahilah mereka, hubungilah mereka selalu kerana tanpa sedar, ibu adalah insan istimewa yang tidak pernah serik menyayangi, merindui dan mendoakan anaknya. Mereka mempunyai hak yang perlu kita tunaikan dari segi fizikal dan emosi.

 

Betapa sempurna dan indahnya Islam mengangkat tinggi kedudukan ibu bapa hinggakan kita dianjurkan untuk berdoa buat mereka seperti dalam surah al-Isra’.

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil” (al-Isra’, 17: 24)

 

Layanan yang baik buat ibu bapa tidak terhad tertakluk pada satu hari atau masa tertentu.

Tidak menjadi satu kesalahan untuk menyambut Hari Ibu, tapi ingatlah Islam menekankan setiap anak untuk memuliakan, menyayangi dan menghormati ibu pada tiap masa dan ketika.

 

Nur Kamilla Mohd Jaafar

Pelajar Perubatan Tahun Akhir IMS-Bangalore India

Ketua Wanita ISMA-India 2015