I-Medik Melebarkan Sayap Ke Bumi Maududi

IMG_20151028_235404

BANGALORE, 25 OKTOBER – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia, yang lebih dikenali dengan singkatan I-Medik telah berjaya membuka cawangan baharu di bumi India. Bertempat di Elim Resort dan dihadiri oleh lebih kurang 150 orang hadirin, perasmian telah dilaksanakan selepas majlis penutup Outdoor Iman Camp (OIC) 2015 oleh Dr Zulkifli Yusof, yang kini mengendalikan Unit Pembangunan Ahli I-Medik Pusat. Beliau  merupakan Pakar Perunding Ear, Nose and Throat (ENT), di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Pada kesempatan yang sama, borang keahlian telah diedarkan kepada para peserta OIC yang terdiri daripada para pelajar perubatan dan pergigian dari pelbagai universiti di India. Alhamdulillah keahlian mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan; setakat ini keahlian daripada muslimin adalah seramai 29 orang, manakala dalam kalangan muslimat seramai 62 orang.

IMG_20151028_235355

I-Medik merupakan sebuah badan yang berdaftar dengan Registry of Societies (ROS) dan dianggotai oleh pengamal perubatan, pergigian, farmasi, jururawat dan pengamal sains kesihatan bersekutu yang lain selagi mana berdaftar dengan badan masing-masing. Secara ringkas, aktiviti I-Medik berfokus kepada beberapa aspek utama termasuklah program kemanusiaan, simposium dan ceramah, pendidikan, bengkel kerjaya, bengkel persediaan pegawai perubatan siswazah serta program-program khidmat masyarakat.

I-Medik India dipengerusi oleh saudara Amirul Asyraf Mahizir, yang kini menjalani internship di Manipal College of Dental Sciences (MCODS), Mangalore. Beliau juga merupakan EXCO Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India sesi 2015/2016.

 “Harapan saya pada I-Medik India adalah agar badan ini akan menjadi penghubung antara pengamal perubatan dan pergigian dengan para ilmuwan Islam dalam membantu masyarakat dari sudut healthcare and maintenance,  di samping melahirkan generasi pengamal perubatan dan pergigian yang dilengkapi dengan jati diri muslim berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.” -Amirul Asyraf Mahizir-

Semoga pembukaan cawangan baharu I-Medik di India dapat menyumbang kepada pencapaian visi dan misi penubuhan organisasi ini pada peringkat awal penubuhannya.

 

Disediakan oleh : Nureen Fatin Syafiqa Adnan

Wartawan ISMA India Zon Selatan