HARUM 4.0 | HIMPUNAN SRIKANDI HARAPAN UMMAH

KRISHNAGIRI, 29 April 2017 – Himpunan Serikandi Harapan Ummah (HARUM), sebuah program tahunan anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India telah berlangsung dengan jayanya buat kali yang keempat dengan bertemakan ‘Modern Muslimah’. Program ini bertujuan untuk mengumpulkan pelajar muslimah Malaysia di India bagi mengeratkan ukhuwwah demi memantapkan kefahaman bersama di samping  merapatkan saf tarbiyah dan menyerap roh perjuangan melalui perkongsian daripada  akhawat dan sentuhan murabbiah yang turut hadir. Bertempat di Golden Mile Resort, Krishnagiri, Tamil Nadu himpunan kali ini telah berjaya mengumpulkan seramai 40 orang muslimat dari seluruh India seperti Bangalore, Manipal, Dharward, Belgaum, dan Chennai. Pelbagai aktiviti bermanfaat telah dijalankan seperti slot From Fitrah To Jannah, Great Women In Islam, From Fitnah To Fitnah dan Fashion Show.

Menampilkan Puan Norhidayah Ismail, seorang jurutera yang berkhidmat di Petronas Technical Services Sdn Bhd dan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Biro Luar Negara ISMA sebagai tetamu jemputan, telah diterbangkan khas dari tanah air bagi memeriahkan aktiviti HARUM pada kali ini.

Seramai 12 orang ahli jawantkuasa telah dilantik bagi menjayakan program ini dan mereka terdiri daripada ahli ISMA India dari tahun satu hingga tahun akhir dalam jurusan Perubatan (MBBS) dan Pergigian (BDS) di India.

Pn Norhidayah Ismail telah menyampaikan dua slot iaitu slot From Fitrah To Jannah dan From Fitrah to Fitnah. Para peserta diseru untuk bersama sama berfikir tentang kedudukan muslimah dalam kehidupan dan bagaimana kita berbeza dengan kaum muslimin. Peserta didedahkan dengan pergerakan –pergerakan feminisme yang bertentangan dengan fitrah wanita muslimah sekali gus membincangkan tentang cara pencegahan ideologi tersebut. Pelbagai isu semasa telah dibangkitkan seperti pergerakan Sisters In Islam, LGBTQ, artificial intelligence (AI) dan banyak lagi. Slot ini juga menampilkan Mujahidah, seorang aktivis ISMA untuk menerangkan secara ringkas tentang kejadian penciptaan manusia secara medikal.

Sesi diteruskan dengan acara Great Women in Islam : I am a Muslimah & This is My Story. Peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan peserta perlu asimilasikan ciri tokoh Islam dalam kehidupan sebagai seorang wanita muslimah kontemporari. Selain itu, peserta juga telah diuji dengan sebuah acara santai, Muslimah Fashion Show. Slot ini telah membuktikan bahawa peredaran zaman dan kemodenan hidup tidak menghalang kaum wanita untuk mencontohi ciri-ciri ketokohan muslimah terdahulu dari segi pemakaian dan keperibadian.

Seterusnya adalah aktiviti penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang dan penyerahan hadiah hadiah penghargaan kepada Pn Norhidayah Ismail dari setiap lokaliti. Programi diakhiri dengan persembahan penutup oleh pelajar-pelajar dari Manipal yang menampilkan pelbagai bakat terpendam perserta-peserta dan sesi fotografi.

Sebagai penutup, Pn Norhidayah Ismail telah menyanyikan sebuah lagu sebagai tanda ingatan dan berharap semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang. ISMA India mengharapkan semua srikandi yang hadir mendapat seribu satu manfaat daripada himpunan ini dan menyedari realiti serta ancaman-ancaman ideologi yang wujud di Malaysia dan global. Pihak ISMA juga berharap program ini dapat menyemarakkan lagi semangat srikandi untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara tercinta.

DSCF1423-3
DSCF0797 DSCF0825 DSCF0897 DSCF1303 DSCF1382

 

Disediakan oleh:

Nur Aqilah Husna Binti Mohd Hussain

Pelajar tahun dua Perubatan

Aktivis ISMA India