HARUM 3.0 : MELESTARIKAN WANITA QUDWAH

    MANGALORE, 19 Mac 2017 – Himpunan Serikandi Harapan Ummah (HARUM), sebuah program anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India buat  ketiga kalinya telah berlansung dengan jayanya. Program ini diadakan khusus untuk para muslimat yang sedang menuntut di serata India seperti Bangalore, Mangalore, Belgaum dan Dharwad. Bertempat di Thannirbhanvi Beach, Mangalore, himpunan kali ini telah berjaya mengumpulkan seramai 30 orang muslimat. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti slot Sukaneka Pantai, Tahaddu Tahabbu, Pengisian Ruhi, Demo CPR dan Cabutan Bertuah.

Menampilkan Dr Nurakmal Ismail, seorang pegawai perubatan merangkap alumni IMS-MSU Bangalore yang merupakan seorang aktivis I-Medik Terengganu dan Ustazah Nurulhuda Baharin, JKP Biro Luar Negara Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah didatangkan khas dari tanah air bagi memeriahkan aktiviti HARUM pada kali ini.

Program ini yang dipengerusikan oleh saudari Nur Athira Faisal, aktivis ISMA India. Program dimulakan dengan bacaan doa dan beliau telah membuka bicara dengan pertanyaan ‘bolehkah wanita membawa perubahan dan mengubah persepsi orang terhadap Islam?’ Soalan ini telah dijawab dan diterangkan oleh saudari Ainnur Aisyah Lahmudin selaku pengarah program yang mengatakan tentang peranan dan tanggungjawab seorang wanita yang menjadi tunggak kepada institusi sesebuah keluarga.

“Kita bukan sekadar anak gadis remaja, bukan pula wanita biasa. Tetapi muslimah LUAR BIASA.”- Ainnur Aisyah Lahmudin.

Ustazah Nurulhuda kemudiannya telah menjelaskan tanggungjawab kita lebih banyak daripada masa yang kita ada dalam slot pengisian ruhi. Beliau juga menjelaskan bahawa dengan menyelesaikan ibadah harian seperti solat jemaah sahaja tidak cukup untuk menghadirkan rasa tanggungjawab dalam diri seseorang itu.

“Gerakan dakwah ialah roh di dalam diri kita. Jika roh ini ada, maka kita sanggup berkorban harta, darah hatta nyawa sekalipun demi jalan ini.”- Ustazah Nurulhuda Baharin.

” Islam muncul dalam keadaan asing (pelik), dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasingkan itu ” – HR. Muslim.

Untuk menjelaskan ayat hadis di atas, Ustazah Nurulhuda memberikan contoh yang boleh dikaitkan dengan zaman ini, iaitu manusia akan merasa pelik jika seseorang itu melakukan sesuatu kerja tanpa mengharapkan balasan. Beliau juga menerangkan betapa pentingnya kita mengetahui apa yang kita mahukan di dunia ini, harta atau Tuhan.

Sesi diteruskan dengan kuiz keakhawatan dan sirah oleh Ustazah Nurulhuda Baharin bagi menguji tahap pengetahuan para peserta tentang ilmu kewanitaan dan sirah para sahabat.

harum3.0

Demonstrasi CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) merupakan aktiviti kemuncak bagi program ini. Slot ini telah berjaya dikelolakan oleh Dr. Nurakmal Ismail yang telah menerangkan dan menunjukkan langkah-langkah yang sewajarnya diambil apabila menghadapi suatu kecemasan. Prosedur ini amat penting diketahui oleh semua orang terutamanya pelajar perubatan yang mungkin akan menghadapi situasi berkenaan pada masa akan datang. Sesi ini berakhir dengan kuiz berkenaan CPR.

Selain kuiz keakhawatan, para peserta juga telah diuji dengan kemahiran menggubah variasi coklat yang disediakan menjadi bouquet mengikut kreativiti.

Slot tahaddu tahabbu diteruskan di mana para peserta saling bertukar hadiah. Sesi ini secara tidak langsung telah berjaya menjalinkan ukhuwah antara para peserta dari seluruh pelusuk India. Seusai rehat tengahari dan solat zuhur berjemaah, program diteruskan dengan slot sukaneka pantai. Tic tac toe dan destroy the triangle telah menjadi pemangkin kepada keeratan ukhuwah yang telah dibina dalam setiap kumpulan melalui slot-slot sebelumnya.

Seterusnya, aktiviti penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang dan akhawat yang akan pulang ke Malaysia. Program dikejutkan dengan pemberian hadiah khas kepada Ustazah Nurulhuda daripada ahli ISMA India sebagai tanda ingatan.

Sebagai penutup, Ustazah Nurulhuda berharap semoga program  seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang. Selain dapat mengumpulkan semua ahli ISMA India, ia turut mengeratkan ukhuwah Islamiah.

 harum3.0.1

Disediakan oleh:

Nursyairah Hazira binti Abdul Rahim

Aktivis ISMA India