HARUM 2014: “Serikandi Hebat Pemimpin Ummah”

Wartawan : Nureen Fatin Syafiqa binti Adnan

KOLHAPUR, 22 Oktober – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India sekali lagi berjaya mengumpulkan seramai 50 orang serikandi ummah yang hadir dari Bangalore, Mangalore, Manipal, Dharwad, Karad, Belgaum untuk bersama-sama dalam program HARUM 2014 yang berlangsung di Panhala Fort, Kolhapur.

Para peserta yang tiba dari segenap pelusuk India berkumpul di Belgaum pada pagi 22 Oktober sebelum bersama-sama memulakan perjalanan ke Kolhapur. Setibanya di Kolhapur setelah melalui jarak perjalanan lebih kurang 3 jam, program dimulakan dengan bacaan doa dan sesi introduksi, dipengerusikan oleh saudari Marlyana Mohd Termizi.

Seusai makan tengah hari dan solat zuhur berjemaah, aktiviti dimulakan dengan permainan individu dan permainan dalam kumpulan. Bertemakan ukhuwah, permainan individu “Autograph” memerlukan setiap daripada peserta mendapatkan autograph atau tandatangan peserta yang berkenaan berdasarkan kriteria yang ditetapkan di dalam borang permainan. Sementara itu, untuk aktiviti berkumpulan, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan bulan kelahiran mereka dan diarahkan untuk berkenalan dengan lebih lanjut sesama anggota kumpulan memandangkan masing-masing datang daripada latar belakang kolej yang berbeza khususnya.

Kemuncak aktiviti bagi HARUM 2014 merupakan sesi forum bersama dua orang ahli panel yang diterbangkan khas dari Malaysia, Ustazah Nurulhuda Baharin, JKP Biro Luar Negara ISMA India dan Doktor Nadhirah Sahri, juga merupakan JKP Biro Luara Negara ISMA India. Moderator majlis, saudari Sabrina Najwa Mohamad Ashari membuka pentas forum dengan persoalan tentang kepentingan dan nilaian ukhuwah dalam kehidupan yang ditujukan kepada panelis pertama, Ustazah Nurulhuda Baharin.

“Jadilah kita peniaga niat, yang mana ukhuwah diibaratkan seperti perniagaan tanpa penat lelah. Contoh paling dekat ialah akhawat sekalian, yang diizinkan Allah s.w.t. untuk hadir ke program HARUM meskipun jarak merupakan antara kekangan buat setiap daripada kita.” –Ustazah Nurulhuda Baharin

“Antara contoh lain yang dapat kita lihat ialah hubungan antara ibu dengan anak, yang sanggup berpenat lelah, bersengkang mata demi seorang anak. Jika kita imbau kembali sirah Rasulullah s.aw., Saidina Abu Bakr As-Siddiq, tanpa pertalian darah dengan Baginda s.a.w, beliau mampu menahan kesakitan disengat haiwan berbisa sehingga menitis air mata beliau mengejutkan Baginda s.a.w., daripada lelapnya, dan banyak lagi ibrah daripada kisah-kisah terdahulu tentang kepentingan dan nilaian ukhuwah untuk sama-sama kita renungi,” tambah beliau lagi.

Doktor Nadhirah Sahri mengukuhkan lagi penjelasan Ustazah Nurulhuda dengan menperjelas hak-hak ukhwah; yang terdiri daripada pertamanya, sifat berlapang dada sesama individu dengan memberi contoh kisah Bilal bin Rabah r.a. dan Abu Dzar r.a., keduanya, sifat berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan buat saudara kita, dan yang ketiga, sifat mengutamakan orang lain daripada diri sendiri dalam setiap aspek persaudaraan.

“Hak-hak ukhuwah ini harus menjadi manisfestasi taqwa kita dalam berukhwah dan menjadi kayu ukur nilai ukhwah kita di sisi Allah s.w.t.” -Doktor Nadhirah Sahri

Sesi penggulungan memberi peluang kepada kedua-dua panelis menyimpulkan forum ringkas HARUM 2014.

“Akhawat perlu muhasabah semula hubungan antunna dengan Allah s.w.t. sekiranya terasa diuji dalam berukhuwah, taqarrub dan bermunajatlah dengan Allah s.w.t. mohon diringankan bebanan, jagalah lisan kita yang mungkin di luar sedar telah melukai hati akhawat yang lain dan jadilah qudwah hasanah (teladan yang baik) untuk diri sendiri dan orang lain. “ – Ustazah Nurulhuda Baharin.

Sementara itu, Doktor Nadhirah Sahri menekankan kepentingan mujahadah dalam ucapan penutup beliau.

“Berusahalah untuk wujudkan bi’ah atau suasana solehah dalam kalangan antunna,  lengkapkan amal fardhi dan jamai’e kalian, di sini jelas kepentingan bi’ah solehah yang mana kita memerlukan sokongan dan kasih sayang sesama akhawat untuk terus tsabat meneruskan Sunnah terbesar Rasulullah s.a.w. dan biasakan sifat tanassuh (saling menasihati) dan taghaffur (saling mendoakan & memaafkan) dalam diri setiap daripada kalian.”

Saudari moderator menutup forum dengan harapan, setiap daripada peserta termasuklah beliau, bersedia mengaplikasikan setiap daripada isi kandungan forum untuk kemajuan diri dan dakwah, bukan sekadar menadah telinga dan pulang dengan sia-sia.

Pengarah program, saudari Ainul Tasnim binti Abdullah, pelajar tahun akhir KLE VK Institute of Dental Sciences, menyifatkan program ini sebagai suatu kejayaan mengumpulkan peserta dari segenap daerah India dan berharap lebih banyak lagi wasilah tarbiyah seumpama ini mampu dilaksanakan pada masa hadapan.

“Semoga dengan program sebegini, para peserta dapat bertaaruf dan berkenalan dengan peserta-peserta lain dari pelbagai kolej perubatan dan pergigian di India di samping mengeratkan lagi ukhwah antara kita.” – Ainul Tasnim Abdullah

Akhir kalam, dari Media ISMA India sendiri berharap setiap daripada jiwa-jiwa yang hadir pada hari ini mampu terus tsabat di jalan dakwah demi mencari redha Allah s.w.t. semata-mata. Wallahu’alam.

 

ok