Hangat Barah Feminisme : Feminis Perlukan Antidot

Najmi

Sebagaimana penyakit-penyakit yang lain di muka bumi ini, maka seperti itulah wabak feminis ini perlu dirawat dan diberi antidot dengan segera agar tidak menular lantas mencetuskan epidemik. Penyakit feminis ini dapat dikenali dengan simtom-simtom seperti merasakan agama Islam menindas wanita, ulama salah tafsir ayat Al-Quran, atau timbul rasa perlu akan kajian semula hukum fiqh yang berkaitan wanita dan lain-lain.

Sebenarnya, golongan feminis ini bukanlah ramai. Yang buat bising dan meroyan itu dan ini hanyalah golongan minoriti yang acah-acah hebat dan cuba mempengaruhi orang lain agar menyokong mereka. Biasalah, dah nama pun penyakit, pastinya boleh berjangkit jika tidak dikawal dengan kadar segera. Kebiasaannya yang menjadi mangsa penyakit feminis merupakan golongan wanita yang tidak diberi pendedahan awal tentang konsep keadilan. Keadilan yang sebenarnya membawa maksud meletakkan sesuatu sesuai kepada tempatnya. Namun, gerakan feminis mengajak orang berfikir dan mendefinasikan keadilan sebagai sama rata. Asas yang tidak betul, melahirkan fikrah yang tidak sihat, akhirnya membawa diri tenggelam dan sesat.

Bayangkan situasi seorang ayah ingin membeli baju untuk anak-anaknya. Maka dibawa anaknya yang dua orang itu, seorang lelaki dan seorang perempuan ke pasar raya  yang berdekatan. Maka dibelinya baju melayu untuk anak lelaki dan baju kurung untuk anak perempuan. Kedua-dua anak si ayah tadi tersenyum gembira. Sekarang bayangkan pula, jika si ayah tadi dengan konsep keadilan sama rata membelikan baju melayu untuk anak lelakinya dan baju melayu juga untuk anak perempuannya. Sebuah konsep keadilan yang sesat. Akhirnya anak perempuan itu tadi ditertawa oleh kawan-kawan perempuannya kerana memakai pakaian lelaki. Inilah yang dimaksudkan dengan konsep keadilan yang menyesatkan. Maka ingatlah dan fahamilah, pengertian keadilan yang sebenarnya adalah meletakkan sesuatu sesuai dengan tempatnya.

Para pembaca yang diredhai Allah s.w.t sekalian, tahukah kalian bahawa penglibatan wanita sebagai ahli Parlimen di Malaysia ialah sebanyak 9.9%. Apakah kita merasakan peratusan ini terlalu sedikit? Menunjukkan ketidakadilan sepertimana yang dituntut oleh golongan feminis agar diberi kesamarataan 50%. Buat pembaca wanita terutamanya, apakah kalian merasakan hal ini suatu diskriminasi kepada golongan wanita?

Ingin saya membawa pembaca untuk berfikir sejenak. Percayakah kalian meskipun di Parlimen Malaysia ahli wanita hanya sebanyak 9.9%. Namun jika kita kembali mengikut ajaran Islam seperti yang telah ditetapkan. Kita tidak mempersoalkan perintah Allah s.w.t di dalam Al-Quran, kita tidak memperlekeh hadis-hadis nabi. Percayalah dan saksikanlah, sesungguhnya wanita sebenarnya menguasai Parlimen sebanyak 100%. Bahkan tidaklah keterlaluan jika saya katakan, bahawa wanitalah yang pernah dan akan menguasai dunia! Semua ini hanya akan berlaku sekiranya kita betul-betul menurut perintah Allah s.w.t.

Ketahuilah, sesungguhnya seorang anak lelaki itu membesar di bawah jagaan ibunya. Anak lelaki itu diberi makan dan disuap dari tangan lembut ibunya. Cara fikir dan akidah yang dibentuk dan disemai oleh kata-kata mutiara ibunya. Tindak-tanduknya pula ialah cerminan sikap dan perilaku ibunya. Kerana kita tetap tidak dapat menafikan, bahawa tangan yang menghayun buaian itulah yang sebenarnya mampu menggegarkan dunia! Inilah antidot kepada penyakit feminis.

Wallahu’alam.

 

Wan Mohd Juaini Najwi Nawawi

MBBS, Melaka Manipal Medical College (MMMC)

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India

Penulis Buku “Head With Serban”