Graduasi : SOSOK QUDWAH

image

SHAH ALAM, 6 OGOS 2017 : Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada mantan aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India, Dr. Siti Shatiroh binti Hashim dan Dr. Nazihah binti Zulkarnain yang menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-21 International Medical School, Management and Science University (IMS-MSU). Mereka telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan atau Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery (MBBS).

Selain menjadi qudwah dalam urusan tarbiyyah dan kepimpinan sewaktu di India, mereka juga merupakan pelajar cemerlang dan sering kali mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan dengan mendapat “Distinction”. Pihak ISMA India sentiasa mendoakan agar mereka terus kekal dan tsabat dalam perjuangan di atas jalan-Nya. Semoga dengan pengiktirafan doktor ini merupakan suatu platform untuk terus memacu dalam mencorak ummah juga urusan dakwah tidak kira di mana sahaja mereka berada.

“ Alhamdulillah, tidak ada yang mudah melainkan dengan pertolongan Allah. Penglibatan dalam dakwah dan tarbiah tidak pernah sesekali menjejaskan pelajaran, bahkan ianya menjadikan kami lebih pandai menguruskan waktu agar kedua-duanya bergerak seiringan. Terima kasih yang tak terhingga diucapkan kepada semua murabbi, akhawat, dan warga ISMA India. Buat ikhwah dan akhawat ISMA India, semoga terus diberikan kekuatan untuk menggalas tanggungjawab dakwah dan menuntut ilmu.” – Dr. Siti Shatiroh binti Hashim – Mantan ketua wanita ISMA India.

“ Dikelilingi sahabat-sahabat yang baik dan punyai matlamat yang jelas boleh membuatkan kita lebih fokus pada cita-cita kita. Dan penglibatan dalam dakwah dan tarbiyah ketika waktu pengajian membuatkan saya lebih menghargai masa, dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya disamping tanggungjawab membawa contoh yang baik sebagai seorang daie. Seorang daie itu seharusnya cemerlang dalam semua lapangan hidupnya baik ketika belajar mahupun dalam kehidupan sehariannya.“ – Dr. Nazihah binti Zulkarnain – Mantan Timbalan Exco Biro Media dan Dakwah ISMA India.

ISMA India sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan semoga dikurniakan kelancaran dan kemudahan apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak. Graduan untuk ummah !

Sekian,

Wartawan Isma India zon tengah.