Forum : “Doktor Ubat Sakit, Ustaz Rawat Hati “

 

ustaz 5Oleh : Mohd Shafiq

MANGALORE,10 OKTOBER 2014-Pada tanggal 10 Oktober yang lalu, ISMA-India Zon Selatan telah menganjurkan sebuah forum khas yang bertajuk “Doktor Ubat Sakit, Ustaz Rawat Hati” buat pelajar-pelajar yang menuntut dalam bidang perubatan dan pergigian di universiti-universiti sekitar Mangalore. Bertempat di Vinamra Hotel, Thokottu, Derlakatte, Mangalore, forum ini telah diserikan dengan kehadiran dua panelis khas yang dijemput dari Malaysia iaitu Ustaz Ali Zaki dan zaujahnya, Dr Nadhirah Sahri. Kedua-dua panelis ini merupakan JKP Biro Luar Negara ISMA yang komited untuk memberikan pencerahan dan berkongsi pengalaman dengan para pelajar.

Forum ini telah bermula seawal jam 7.00 malam dengan sesi pendaftaran oleh para hadirin. Majlis pada malam itu telah dipengerusikan oleh Saudara Amirul Asyraf dan dimulakan dengan bacaan doa daripada Saudara Khairul Anwar. Seterusnya, agenda majlis disambung pula dengan ucapan alu-aluan dari Presiden Isma India, Saudara Mior Zainul Arif dan penampilan khas oleh Saudara Harith Aini yang telah memperdengarkan bacaan ayat suci Al-quran sebagai halwa telinga.

Seterusnya, kemudi majlis telah diserahkan pada Saudara Akmal Mazeni selaku moderator forum, dan beliau bersama-sama panelis jemputan telah memastikan forum pada malam tersebut berjalan dengan lancar. Soalan demi soalan telah dirungkaikan melalui forum ini, antaranya krisis prioriti sebagai daie yang bergelar doktor, peranan doktor dalam memperluaskan dakwah fardhiah dan memperkukuh tarbiyah dzatiyah serta soal ikhthilat dalam kerjaya perubatan mahupun pergigian dan banyak lagi.

Seusai sesi forum, majlis dibuka untuk sesi soal jawab antara hadirin dan panelis jemputan. Kemudian, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati kepada panelis jemputan sebelum majlis ditangguhkan tepat pada pukul 10.00 malam.

Forum ini telah berjaya mengumpulkan sekitar 40 hadirin yang terdiri daripada bakal doktor-doktor muda yang menuntut di Mangalore khususnya. Rata-rata pelajar yang hadir telah memberikan reaksi positif dan berpuas hati dengan input yang mereka peroleh daripada forum tersebut. Malah, ada juga yang menyarankan agar lebih banyak pengisian yang berbentuk ilmiah seperti ini diadakan di masa hadapan.

Berikut adalah gambar-gambar sepanjang sesi forum berlangsung :

ustaz 6ustazustaz 3