FLY FREEDOM FAITH 2.0 : LIBERALISME, Penularan Yang Harus Dibendung.

 

 

Oleh : Nureen Adnan

Aktivis ISMA India Zon Selatan

 

MANGALORE, 30 APRIL – Satu ceramah umum bersiri, bertemakan ‘Fly Freedom Faith 2.0’, anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India, yang membawa tajuk “Liberalisme”, telah berlangsung di Nalapad Residency, Mangalore. Program dihadiri lebih kurang 40 orang muslimin dan muslimat dari Manipal dan Mangalore. Aturcara majlis bermula pada jam 7.45 malam dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah program, saudara Akmal Mazeni, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh saudara Harith Aini sebelum Pengerusi ISMA India, saudara Mior Zainul Arif menyampaikan gambaran ringkas berkenaan liberalism.

 

Saudara Farris Hanafi kemudian mengambil alih program dengan memperkenalkan serba sedikit latar belakang liberalisme kepada para hadirin. Antara perkara yang diketengahkan adalah, sejarah liberalisme yang tiada kaitan dengan agama Islam.

 

“Amerika hari ini menjadi kuasa dominan melalui penguasaan media, penguasaan teknologi; bertunjangkan satu matlamat iaitu merungkai pembudayaan Islam sedia ada dan menggoyah syariat Islam.” –Farris Hanafi-

 

 

Ideologi liberal telah mengambil alih ideologi para sosialis selepas Perang Dingin melalui kemasukan tentera Amerika ke USSR; secara langsung memberi titik tolak kepada penyebaran ideologi liberal.  John Locke, yang diangkat sebagai Bapa Liberalisme telah berjaya menerapkan fahaman liberal melalui hasil-hasil penulisan beliau. Relative truth merupakan idea di sebalik liberalisasi yang berteraskan dua konsep utama; individu dan kebebasan.

 

Selepas Perang Dunia ke-2, Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 yang bertentangan dengan Al-Quran telah menjadi antara sumber rujukan bagi mereka yang ingin mengamalkan liberalism dalam kehidupan. Pengenalan konsep Moderate Muslims merupakan salah satu cabang liberalism melalui serangan pemikiran. Puak liberal sewenang-wenangnya meletakkan orang Islam dalam beberapa kelompok kumpulan seperti fundamentalist, traditionalists, modernists dan secularists. Golongan-golongan inilah yang menjadi alat mereka untuk terus memastikan penyebaran ideologi liberal di serata dunia amnya dan di negara-negara Islam khususnya.

 

Moderate Muslims berpaksikan beberapa prinsip, antaranya, support for democracy; internationally recognized human rights; acceptance of non-sectarian sources of laws. Usaha mencairkan akidah Islam di Malaysia hari ini dapat dilihat melalui gerakan-gerakan liberal seperti Islamic Renaissance Front (IRF) dan Sisters In Islam (SIS).

 

Sesi soal jawab turut berlangsung, yang mendapat jawapan ringkas dan padat daripada saudara penceramah. Antara soalan yang diajukan adalah, “Apakah cabang-cabang liberalism?”, “Apakah status keislaman individu yang yakin kepada ideologi liberalism?.” Program diakhiri dengan kesimpulan ringkas, menekankan prinsip kesempurnaan Islam yang perlu dipegang; bahawasanya Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan tidak ada yang benar selainnya. Para hadirin diminta mengisi borang feedback di akhir majlis sebelum bersurai pada jam 10.00 malam.