Dialah Syurgaku…

photo_2016-05-11_19-48-56

“Aku tak mengaku kau ni emak aku!”

Mataku terus melirik ke arah seorang gadis dan seorang makcik tua, tidak jauh dari bangku yang aku duduki. Bahang kepanasan terus menggigit-gigit kulitku, walaupun sebentar sahaja aku menumpang teduh di tempat menunggu bas. Aku terus memerhati perlakuan anak gadis itu, yang mungkin dalam lingkungan usiaku.

“Ya Allah, anak, mak tak pernah minta apa pun daripada Along. Along tolonglah balik rumah. Adik-adik rindukan Along…,” ujar makcik berkenaan.

“Apa masalah kau ni? Aku cakap aku tak nak balik. Aku dah ada teman lelaki yang boleh jaga aku. Dia bagi aku macam-macam. Kau? Apa yang kau boleh bagi? Setakat hidup aku macam kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hidup umpama pengemis. Aku malu sejak hidup miskin dengan kau sejak dari kecil!” tengking gadis itu.

Ibu malang itu terus memaut badan anaknya. Tangisannya semakin kuat, seboleh-bolehnya tidak mahu melepaskan anaknya pergi. Reaksi wajah gadis itu makin mencuka lalu ditolak ibunya hingga jatuh terjelopok. Lebih malang lagi, kepalanya terhantuk di bangku perhentian bas itu, lalu luka dan berdarah.  Aku bingkas bangun ke arah orang tua berkenaan untuk menolongnya. Sebuah kereta mewah berwarna hitam berhenti di hadapan perhentian bas. Perempuan itu terus meluru ke arah kereta itu dan sempat berkata kepada ibunya,

“Kau jangan cari aku lagi!”

Kereta mewah itu berdesup pergi. Aku menggeleng sambil memangku orang tua berkenaan yang separuh sedar yang berkali-kali memanggil nama anaknya, Amirah.

…………………………………………………………………………………………………………………….

“Doktor?”

Aku tersedar daripada lamunan. Kejadian hari itu masih terawang-awang di fikiranku. Selepas anaknya pergi meninggalkan ibunya di situ, aku terus menelefon ambulan kerana bimbang akan keadaan makcik itu. Mujur Allah s.w.t telah mentakdirkan aku pergi ke hospital menaiki bas kerana keretaku rosak. Alhamdulillah, aku dapat menolongnya.

“Kenapa ni? Muka runsing sahaja. Ada apa-apa yang aku boleh tolong?” ujar rakan sekerjaku, Dr. Aishah.

Aku terus memerhatikan teman baikku. Kami sama-sama menamatkan pengajian perubatan di India. Segala pengalaman pahit dan manis kami hadapi bersama-sama. Aku sudah menganggap dia seperti adik -beradikku sendiri. Mungkin juga kerana aku anak tunggal dalam keluargaku.

“Hmm, aku masih teringat dengan kejadian yang aku ceritakan kepada kau tempoh hari. Kejadian makcik dan anak gadisnya. Memang tak patutkan orang tua diperlakukan sebegitu rupa?” aku mula bercerita.

“Ya, aku setuju. Kita sebagai anak, terletak suatu kewajiban untuk menghormati dan menyayangi orang tua, biarpun mungkin mereka bukan ibu bapa kandung kita. Mereka tidak sedarkah pengorbanan seorang ibu yang mengandungkan mereka dan menahan kesakitan ketika melahirkan mereka, menyusukan dan menjaga mereka bagai menatang minyak yang penuh dan mendidik mereka dengan penuh kasih sayang. Aku tidak dapat bayangkan kesedihan ibu itu jika aku berada di tempatnya.” tambah Dr. Aishah.

Aku mengangguk-angguk perlahan. Ada benarnya kata rakanku itu . Sembilan bulan sepuluh hari, bukan jangka masa yang pendek untuk kita kira. Hanya insan-insan yang bergelar hawa, Allah s.w.t anugerahkan keistimewaan kepada mereka kekuatan untuk melahirkan para da’ie yang akan menegakkan agama Allah s.w.t di muka bumi ini. Hebatnya insan yang bergelar ibu di mana dalam kitab suci Al-Quran terkandung firman-firman Allah s.w.t tentang kemuliaan para ibu. Aku teringat beberapa potong ayat Al-Quran yang menggambarkan kemuliaan seorang ibu.

Firman Allah s.w.t,

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

(Surah Luqman: 14)

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan…”

(Surah Al-Ahqaf: 15)

Aku memandang gambar ibuku yang memeluk erat tubuhku ketika aku baru berusia lima tahun. Sudah lama aku tidak menjenguknya kerana kesibukan kerja dan tanggungjawab aku sebagai seorang doktor. Bebanan kerja dan perhatian kepada pesakit telah melekakan aku seketika namun aku tidak pernah melupakan ibuku walaupun sesaat kerana dia sentiasa di hatiku. Dan apabila aku teringat akan ibuku, air mata aku terus bergenang dan jernihan kristal terus tumpah membasahi pipiku.

Semenjak kemalangan maut yang telah meragut nyawa ayahku ketika aku berusia sepuluh tahun, ibuku terus mengalami kemurungan. Mungkin kerana tekanan yang dialami akibat tidak dapat menerima takdir kematian ayahku. Ditambah pula dengan masalah keluarga belah ayah yang menyisihkan dan membuang kami daripada hidup mereka. Tekanan dan bebanan ibu tempuh seorang diri dengan sabar namun, takdir Allah s.w.t lebih menguasai segala-galanya.

Ibu tidak mampu menahan tekanan yang dialaminya sambil membesarkan aku seorang diri. Ibu mengalami delusi dan halusinasi sejak itu dan disahkan menghidap ‘Schizophrenia’. Scizophrenia adalah salah satu penyakit otak dan mental yang serius. Ibu diasingkan dan ditempatkan di hospital manakala aku dipisahkan dan diletak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Malangnya, ibuku tidak mampu lagi mengenali diri aku sebagai anaknya.

“Lina, aku minta maaf. Aku terlupa tentang kisah arwah ibu kau. Semoga dia ditempatkan di kalangan orang yang beriman, InshaAllah.” ujar Dr. Aishah sambil memegang lembut tanganku.

“Dan jangan lupa, kau pernah beritahu yang dia pernah berpesan kepada kau untuk menjadi seorang doktor ummah yang berguna kepada agama, bangsa dan negara,” dia menambah lagi.

Air mataku makin deras mengalir. Aku bingkas bangun dan memeluk erat sahabatku itu.

…………………………………………………………………………………………………………………..

“Walhamdulillahi rabbil `alamin.”

Aku menyudahkan bacaan Yaasin aku dengan memuji Allah s.w.t pencipta sekalian alam. Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Yang memiliki takdir atas tiap-tiap hambaNya. Aku redha dan pasrah dengan ketentuan-Nya. Ibuku yang aku kasihi pergi menghadap Ilahi ketika aku di berada di tahun akhir pengajian perubatan.

Aku hanya mampu menjenguknya di pusara cukup untuk aku melepaskan rasa rindu yang terpendam pada arwah ibu. Tidak sempat aku menabur bakti dan membalas jasa ibuku yang mengandungkan, melahirkan dan menjaga aku. Aku hanya mampu mengirimkan doa buatnya dan berdoa kami akan dipertemukan di syurga kelak.

Aku bertekad untuk memegang utuh amanat ibu kepada aku.

Aku harus terus berjuang, berjuang untuk ummah. Dan untuk ummi, ibuku yang tercinta.

Kerana apa?

Kerana dialah syurgaku.

 

Mohamad Jeffrey bin Jamil

Tahun 2 Pergigian, Vinayaka Missions University, Salem

Pemenang Tempat Ketiga

Pertandingan Penulisan Sempena Hari Ibu ISMA India 2016