Dia…

photo_2016-05-10_18-31-16

Saat dia tekun mengajar di dalam kelas Tahun 3 Angsana bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup di Sekolah Kebangsaan Semenyih, tiba-tiba perutnya terasa pedih, tangannya memegang perutnya sambil membongkok menahan kesakitan. Murid-muridnya terus bergegas ke hadapan memapah cikgunya itu. Salah seorang daripada muridnya bergegas berlari keluar memanggil cikgu lain untuk membantu. Matanya terpejam. Suara di sekelilingnya sayup-sayup kedengaran sehingga hilang semua bunyi-bunyian. Dia tidak sedarkan diri.

“Cikgu…cikgu…, cikgu Noriza dah bangun!” jerit Ibrahim.

Dia membuka matanya dan tersenyum tawar sambil memegang perutnya.

“Cikgu Noriza, cikgu di Hospital Kajang, cikgu pengsan tadi,” terang Ibrahim kepada si dia.

“Kak Ija, alhamdulillah Kak Ija dah sedar. Kak Ija mengandung ke? Doktor cakap Kak Ija pengsan sebab hypoglycemia…,”  kata cikgu Maria sambil memegang report dia.

Dia memandang muka cikgu Maria sambil terbeliak matanya, “Subhanallah, Maria… saya tak tahu pun saya mengandung Maria. Saya ni baru habis period. Mengandung apa pula la Maria oi…,” tambah si dia.

Beberapa bulan selepas itu, di fasa 28 minggu mengandung, dia datang untuk follow up antenatal checkup seperti biasa di Hospital Kajang, namun tiba-tiba dia mengerang kesakitan. Dia terduduk di tempat menunggu di halaman kaunter antenatal checkup. Jururawat-jururawat yang berada di situ berlari membantu dia. Dia dibawa ke dalam bilik doktor untuk pemeriksaan.

“Doktor! Saya nak bersalin dah ni,” jerit dia.

“Belum lagi ni puan…,” ucap doktor.

“Doktor, saya nak bersalin dah ni. Saya tak tipu. Nak keluar dah ni anak saya!” jerit dia.

Kemudian, dia dikejarkan ke hospital besar Kuala Lumpur dengan ambulance. Dia dikejarkan ke hospital atas referral dari doktor tadi disebabkan high risk pregnancy. Dia dikejarkan ke bahagian kecemasan. Dia dibawa dengan stretcher ke operation theatre. Jururawat dan doktor-doktor pelatih  bergegas menyiapkan keperluan sambil menenangkan dia.

“Saya nak bersalin dah ni. Sakit misi…,” raung dia sambal memegang perut.

“Belum lagi ni puan… sabar puan” kata jururawat.

Tidak sampai beberapa minit, air ketuban membasahi pakaian jururawat berkenaan. Habis basah pakaian jururawat itu. Dia dikerumuni oleh doktor-doktor pelatih. Apa yang keluar cuma seketul daging. Doktor membuat tanggapan bahawa dia  sudah keguguran.

“Okay, perform D&C (dilatation and curettage) to this patient!” kata seorang doktor.

Sebelum proceed untuk membersihkan rahim dia,  seorang doktor membuat pemeriksaan ultrasound ke atas perut dia.

“Hey, wait! Look here, I think there is still a fetus. You see, it is moving! Hurry up! We’ve to save the baby!” jerit doktor yang memeriksa perut dia tadi.

Jururawat bergegas menyediakan peralatan untuk doktor-doktor menjalankan kerjanya menyelamatkan baby yang masih dalam kandungan dia. Alhamdulillah, mereka berjaya mengeluarkan baby itu.

“She’s a pre-term baby,” menurut doktor-doktor di situ.

Baby itu diserahkan kepada pakar paediatrik. Dia menghela nafas lega dan memejamkan mata untuk berehat.

Ini mungkin suatu situasi yang banyak khilafnya melalui gambaran penceritaan. Tapi itulah hakikat kelahiran saya yang dilahirkan oleh dia dengan izin Allah swt. Pengorbanan dia  cukup besar. Tidak cukup untuk saya ceritakan dalam sebuah penulisan yang terhad perkataannya. Cukuplah tulisan ini menggambarkan betapa saya terhutang budi kepada dia. Selamat Hari Ibu.

Dialah Noriza binti Mohd Noor a.k.a Ailuropoda Melanoleuca.

Jikalau di saat itu dia sudah berputus asa untuk melahirkanku, mungkin aku tidak akan merasai kehidupan dunia ini. Moga kekuatan dan kesabaran dia diganjarkan kebaikan oleh Allah swt. Jika dia tidak berputus asa denganku, mengapa aku perlu berputus asa dengan DIA dan dunia ini.

photo_2016-05-10_18-46-46

 

Anak bertuahmu,

Siti Aeishah binti Muhamad Khidir

Tahun 5 MBBS USM-KLE Belgaum

Pemenang Tempat Kedua

Pertandingan Penulisan Sempena Hari Ibu ISMA India 2016