Belum Tibakah Masanya?

1988_764664203560193_880117893_n

Taubat Si Perompak.

Kisah seorang perompak yang terkenal yang sering melakukan aktiviti merompak di kawasan antara Syria dan Khurasan. Di siang hari, dia sibuk melakukan aktiviti merompak dan di malam hari pula, dia bergelumang dengan zina. Sehingga pada suatu hari, sewaktu dia berjalan untuk berjumpa dengan seorang wanita untuk melakukan zina, dia terdengar seseorang membaca Al-Quran daripada Surah Al-Hadid ayat 16:

“Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik”.

Setelah mendengar ayat tersebut, dia pun tersedar bahawa sudah tiba masanya untuk dia bertaubat. Setelah itu, dia pun beredar dari tempat tersebut dan sewaktu dalam perjalanan pulang, dia terserempak dengan sekumpulan kaum muslimin yang sedang berbincang. Sebahagian daripada mereka ingin beredar manakala sebahagian yang lain ingin terus berjaga di situ kerana mereka tahu si perompak ada di kawasan tersebut dan akan merompak mereka. Si perompak tadi mendengar perbincangan mereka dan dia menangis sambil memegang janggutnya dan berkata,

“Aku banyak melakukan maksiat di malam hari dan aku adalah perompak yang digeruni oleh kaum muslimin di siang hari. Sesungguhnya tidaklah Allah mengirim aku kepada mereka melainkan agar aku bertaubat kepada-Nya”.

Setelah itu si perompak tadi bertaubat dan berpindah ke Mekah sehingga dia menjadi seorang mufti di mekah. Si perompak itu adalah Fudayl bin Iyadh. 

Hakikat Iman dan Al-Quran

Ayat di dalam Surah Al-Hadid ini adalah satu teguran untuk kita, teguran untuk umat Islam yang imannya terkadang di atas, dan terkadang di bawah. Teguran untuk kita supaya berubah daripada seorang muslim kepada seorang mukmin, yang mematuhi suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Teguran untuk kita supaya mengambil pengajaran daripada kisah-kisah umat-umat terdahulu yang telah diberi petunjuk, akan tetapi mereka melalui masa yang panjang  sehinggakan hati mereka menjadi keras dan sukar untuk menerima petunjuk Allah s.w.t.

Ayat yang seharusnya menggegarkan hati setiap daripada kita yang imannya senipis kulit bawang. Belum tibakah masanya untuk kita mengingati Allah s.w.t. dalam setiap apa yang kita lakukan di dalam kehidupan seharian? Adakah kita hanya mengingati Allah ketika solat dan berpuasa? Atau mungkin solat kita juga telah menjadi seperti rutin harian kerana kita tidak memahami mengapa kita melaksanakan solat.

Al Quran yang diturunkan bukan hanya sebuah buku sejarah, bahkan ianya adalah petunjuk untuk kita menjalani kehidupan sebagai seorang Islam yang sejati. Tetapi, sedikit sekali yang mempelajari maksud ayat-ayat Allah s.w.t. Kita hanya sekadar membacanya sahaja tanpa mengetahui apa yang Allah s.w.t. ingin sampaikan kepada kita. Jadi, belum tibakah masanya kita benar-benar memahami mukjizat teragung yang Rasulullah s.a.w. tinggalkan untuk kita, umat akhir zaman ini?

Oleh itu, peringatan untuk kita supaya kita bersama-sama berusaha menjadi mukmin yang terbaik di muka bumi Allah s.w.t. ini, menjadi generasi Al-Quran di zaman ini dan seterusnya menggalas tanggungjawab sebagai seorang Islam untuk mengangkat martabat Islam sehingga ia mencapai puncak yang tertinggi inshaAllah.

Wallahu’alam.

 

DR. FARHANA AHMAD TARMIZI

INTERN KASTURBA MEDICAL COLLEGE, MANGALORE

AKTIVIS IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA) INDIA