Bahaya Arus Modenisasi Pengaruhi Pembangunan Insani

eIMG_1025

Dalam kita sibuk menongkah arus globalisasi abad ini, harus kita tanamkan di dalam jiwa, penting untuk kita seimbangkan cita-cita dunia dan cita-cita akhirat kita, kerana setiap daripada kita menuju destinasi hakiki yang sama.

Merenungkan firman Allah s.w.t.

يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ الْآَخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ

“Mereka hanya mengetahui yang lahir (sahaja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.”

(Ar Ruum: 7)

Ayat di atas telah diterangkan di dalam beberapa kitab tafsir. Antaranya, penulis Al Jalalain rahimahullah menafsirkan,

“Mereka mengetahui yang zahir (yang nampak sahaja dari kehidupan dunia), iaitu mereka mengetahui bagaimana mencari penghidupan mereka melalui perdagangan, pertanian,  pembangunan, bercucuk tanam, dan selain itu. Sedangkan mereka terhadap akhirat benar-benar lalai.” (Tafsir Al Jalalain, hal. 416).

Selain daripada keterangan tersebut, terdapat juga keterangan yang diberikan oleh Syeikh Abu Bakr Jabir Al Jazairi hafizhohullah. Ayat yang dipetik daripada Surah Ar Ruum ini menerangkan sifat kebanyakan manusia yang tidak mengetahui hal-hal yang membahagiakan mereka di akhirat. Akidah, syariat dan pelbagai lagi hal agama tidak mereka tuntuti, akan tetapi, pengetahuan lahiriyah seperti bercucuk tanam, industri, kira-kira, elektronik dan teknologi telah mereka kuasai.

Melalui potongan ayat di atas, dapat kita lihat bahawa kebanyakan manusia kian lupa atau tidak cakna akan tujuan utama penciptaan kita di muka bumi ini, sebaliknya mudah disibukkan dalam urusan mengejar perihal duniawi semata-mata. ‘Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’ , itulah yang boleh diibaratkan kepada kebayakan manusia yang sedemikian. Pada akhirnya, kedua-dua matlamat tidak dapat dicapai.

Sedar atau tidak betapa pentingnya ilmu agama kepada kita terutama yang berada di alam remaja. Seperti mana yang kita ketahui, alam remaja merupakan suatu alam yang sangat sukar untuk ditempuhi jika jalannya salah, tetapi jika jalannya betul, sudah pasti alam remaja ini boleh dipenuhi dengan manfaat-manfaat yang sangat memberi kesan kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Sejauh mana ilmu agama memainkan peranan dalam menentukan kita ke arah jalan yang benar? Penting sangatkah ilmu agama sehinggakan kita perlu menuntutnya? Terdapat pelbagai kepentingan ilmu agama kepada anak remaja tetapi ada tiga kepentingan yang akan digariskan.

Kepentingan ilmu agama kepada anak-anak muda.

  1. Pewaris kepimpinan ummah

Pernahkah anda mendengar ungkapan,

“Jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Ya, inilah ungkapan yang telah dikatakan oleh Saidina Ali r.a. Nah, cuba kita lihat baik-baik, renung dalam-dalam pada hari ini kepada pemuda-pemuda, belia-belia dan remaja-remaja di bumi bertuah Malaysia. Menurut acuan yang bagaimana pemuda Islam kita telah dibentuk? Dari situ, adakah kita mampu menjangkakan masa hadapan bangsa?

Racun hedonisme, sekularisme, liberalisme, pluralisme dan bermacam-macam lagi telah mengalir deras dalam darah anak-anak muda sehinggakan telah membunuh jiwa-jiwa hijau ini. Hal ini tidak lain tidak bukan kerana kurangnya ILMU AGAMA. Dengan pegangan ilmu agama yang teguh dalam genggaman kita, sudah pasti ia akan menjadi benteng atau vaksin kepada racun-racun tadi. Jikalau racun-racun tersebut dapat ditegah, sudah pasti jiwa-jiwa hijau ini akan hidup subur, mekar dan mewangi sebagai benih, seterusnya akan membesar dan hidup subur menghijaukan bumi bertuah, negara Malaysia. Tetapi, jika sebaliknya tentunya akhlak dan moralnya sedikit sebanyak akan rosak dimakan anai-anai pengaruh Barat yang rakus memakan jiwa-jiwa anak-anak muda. Jikalau moral, adab dan akhlaknya kurang, adakah sesuai untuk kita angkat menjadi pemimpin kita suatu hari nanti? Cuba renungkan sejenak.

“Carilah ilmu dan harta supaya kamu mampu memimpin. Ilmu akan memudahkanmu memimpin orang-orang di atas, sedangkan harta akan memudahkanmu memimpin orang yang di bawah (masyarakat awam).”

(Ali Bin Abi Talib)

  1. Seimbangkan usaha mencapai dunia dan menggapai syurga

Untuk menjadi pemuda pemudi muslim yang mantap dari segala aspek, menjadi cita-cita setiap daripada kita untuk menjadi seorang yang hebat dalam sesebuah masyarakat bukan sahaja yang berjaya di dunia malahan di akhirat.

Contohnya, individu terkaya di dunia, Bill Gates yang merupakan pemilik Microsoft berupaya mendapat keuntungan setiap masa. Persoalannya, adakah pencapaian dunia itu mampu memberikan kebaikan kepadanya di akhirat nanti? Apakah visi atau misi hidupnya setelah meninggalkan dunia fana dengan berbekalkan kejayaannya hari ini? Hal ini kerana, akhirat merupakan destinasi terakhir dalam perjalanan panjang kita sebagai hamba Allah s.w.t. Di situlah, kehidupan abadi akan bermula. Justeru, amat rugilah bagi golongan yang mengagungkan dunia kerana ia bukanlah jambatan terbaik menuju ke syurga Allah s.w.t yang tidak terkata nikmatnya.

Firman Allah s.w.t,

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ (15

16 ) …أُولَئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآَخِرَةِ إِلَّا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” (QS. Hud [11] : 15-16)

 

  1. Membina ‘Pemuda Impian’ Hassan Al-Banna

“Andai diumpamakan Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh pelusuk tempat bagi mencari jiwa-jiwa muda, aku tak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantu bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi bangunan yang tersergam indah.”

(Imam Hassan al-Banna)

Memetik kata-kata Imam Hassan al-Banna, beliau mengimpikan jiwa-jiwa pemuda yang ikhlas dalam bersama-sama membantu menuju kebangkitan Islam. Untuk kita memupuk sifat ikhlas dalam membantu untuk kebangkitan Islam di mata dunia, kita perlu membangkitkan nila-nilai agama, ilmu-ilmu agama dan sifat muslim sejati.

Mu’adz bin Jabal pernah berkata,

العِلْمُ إِمَامُ العَمَلِ وَالعَمَلُ تَابِعُهُ

“Ilmu adalah pemimpin amal dan amalan itu berada di belakang setelah adanya ilmu.”

(Al Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Mungkar, hal. 15)

Dari kata-kata Mu’adz bin Jabal ini dapat kita lihat, dek kerana ceteknya ilmu ukhrawi, segala ibadah dan amalan yang kita lakukan itu menjadi tidak sah. Sudahlah tidak sah, paling ditakuti jika amalan yang kita lakukan itu jauh tersimpang daripada tuntutan Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Pastinya, segala amalan akan tertolak. Hal ini telah disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri,

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan ajaran kami, maka amalan tersebut tertolak.”

(HR. Muslim no. 1718)

Maka, jika kita melakukan amalan yang sia-sia dan ditolak oleh Allah s.w.t, adakah kita dapat membangkitkan sifat-sifat pemuda yang diinginkan Imam al-Syahid Hassan al-Banna? Hal ini kerana, amalan kitalah pembentuk siapa kita. Untuk menjadi individu yang mantap, seharusnya ibdah dan amalan kita dulu dimantapkan.

Sabda Nabi s.a.w. lagi,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (أبو داود وابن ماجه)

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu dari jenis-jenis ilmu yang tujuannya untuk mencapai keredhaan Allah, sedang ia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapat sesuatu bahagian dari dunia (harta benda atau pengaruh), nescaya ia tidak akan dapat mencium bau syurga, pada hari qiamat kelak.”

( Abu Daud dan Ibnu Majah)

Tiga perkara yang telah digariskan ini merupakan kepentingan-kepentingan ilmu agama kepada anak-anak muda khususnya.

Akhir kalam, sama-sama kita renungi nasihat Luqmanul Hakim:

“Wahai anakku,”Bergaul dan berkawanlah dengan orang-orang yang soleh dan berilmu. Bukalah pintu hatimu, dengarlah segala nasihat dan tunjuk ajar daripadanya. Sesungguhnya nasihat daripada mereka bagaikan mutiara hikmat yang bercahaya, dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering yang disirami air hujan.”

Wallahu’alam.

 

Mohd Haikal bin Zakaria

Tahun Pertama, Saveetha Dental College, Chennai

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) India