BAHASA MELAYU TONGGAK NEGARAKU

College Student Studying in Library

“Bahasa Melayu hanyalah bahasa yang digunakan oleh pegawai rendah sahaja.” – Sean Ang (pemilik akaun Facebook)

  Mutakhir ini, netizen telah digemparkan dengan penghinaan terhadap Bahasa Melayu melalui laman social Facebook. Dalam status yang dimuat naik oleh salah seorang pengguna facebook itu, dia telah memperlekehkan bahasa kebangsaan – dakwanya dia semasa berkhidmat dalam perkhidmatan awam, dia menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan kerjanya. Sungguhpun demikian, sebagai rakyat Malaysia, tidak sewajarnya dia melakukan sedemikian, apatah lagi menularkannya melalui media sosial, lantas mengundang kemarahan orang lain. Umpama api di dalam sekam, golongan sebegini hanya menanti masa sahaja untuk menyemarakkan kemarahan dalam kalangan netizen. Sehubungan dengan itu, satu persoalan yang akan timbul – benarkah dakwaan saudara Sean Ang tersebut? Andai kata benarlah Bahasa Melayu itu hanya layak untuk orang yang tidak berpendidikan, jadi persoalannya disini adalah mengapakah sejarah telah menyorotkan kehebatan Bahasa Melayu sejak berkurun-kurun dahulu?

  Menelusuri sejarah, pada kurun ke-14 dahulu, Bahasa Melayu telah pun menjadi bahasa pertuturan utama di Kepulauan Melayu (Tanah Melayu, Kepulauan Riau, Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi dan beberapa gugusan pulau Polynesia). Lihat sahaja, pelabuhan Melaka yang menjadi pelabuhan entrepot, para pedagang yang datang berdagang ke Melaka menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan. Hal ini demikian kerana, gambaran baik dan rasa ‘izzah (kemuliaan), rentetan hebatnya Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-14 dahulu telah menimbulkan keinginan dalam kalangan para saudagar untuk bertutur menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan seharian. Malah, jika kita kupas dengan lebih mendalam, perutusan-perutusan daripada sultan-sultan Melaka kepada wilayah naungannya turut ditulis dalam Bahasa Melayu. Hasilnya, wilayah naungan dan rakan dagang Kesultanan Melayu Melaka telah pun berkembang luas  sehingga tertegaknya Daulah Islam ketika itu.

  Selain itu, Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang dituturkan sejak zaman pra-kemerdekaan Tanah Melayu sehingga zaman selepasnya.  Datuk dan nenek moyang kita dahulu, mereka benar-benar memaknai keindahan Bahasa Melayu. Oleh sebab itu, mereka banyak menggunakan unsur-unsur puitis dan juga unsur-unsur alam untuk menghasilkan karya-karya seperti puisi dan prosa tradisional. Ekoran daripada itu, dewasa ini, karya-karya tersebut masih lagi dibaca dan dikaji untuk diamalkan pengajarannya. Satu retorik yang ingin kita lontarkan semula kepada penghina bahasa, jika Bahasa Melayu itu tarafnya rendah lagi hina, maka mengapakah Bahasa Melayu tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas hingga ke hari ini?

  Di samping itu, jika benarlah Bahasa Melayu itu selayaknya dituturkan oleh orang yang kurang berpendidikan, jadi mengapakah pada zaman pascamoden ini, Bahasa Melayu semakin berkembang daripada aspek kosa kata dan jumlah penutur? Dianggarkan pada hari ini, Bahasa Melayu dituturkan sehingga ke pulau Madagascar, Afrika Selatan dan Kepulauan Cocos. Selain itu juga, Bahasa Melayu hari ini bertambah dinamik, dengan pertambahan kata-kata pinjaman daripada bahasa-bahasa lain di dunia, juga lantaran budaya yang lebih dinamik serta ledakan teknologi. Ekoran daripada itu, muncullah perkataan-perkataan baru seperti ‘swafoto’= selfie, ‘tular’ = viral dan banyak lagi.

  Akhir kalam, apakah sebenarnya niat penghina bahasa untuk merendahkan bahasa Melayu? Adakah dia hanya ingin merendah-rendahkan maruah bangsa Melayu Islam di Malaysia, agar kita terus lemah dan rapuh iman serta jati diri? Sewajarnya, retorik ini dikembalikan kepada kita semua satu seruan untuk kita bangkit daripada lena, lantas berusaha. Musuh dalam selimut itu ada di mana-mana sahaja.  Ayuhlah kita sama-sama bermuhasabah, baiki iman dalam diri dan tingkatkan kecemerlangan dalam diri agar bangsa Melayu Islam di Malaysia akan terus-menerus memimpin ummah.

Hana Binti Mohamed Hear

Tahun 4, USM-KLE IMP Belgaum

Aktivis ISMA India Zon Utara