Assalamualaika ya Khalifah

Khalifah Islam

3 Mac 1924- Tarikh yang cukup sinonim dalam kalangan pendukung agama Islam dan pembawa dakwah Islamiyah. Tarikh yang gelap, kelam serta disulami peristiwa hitam bagi umat Islam seluruhnya.

“The caliph deposed”, “Abolition of the caliphate”, begitulah seumpamanya dunia barat berbangga dengan pencapaian musuh-musuh Islam dan sekutunya. Perancangan bertahun-tahun membuahkan hasil yang cukup bermakna. Khalifah Islamiyyah yang menunjangi seluruh dunia akhirnya telah jatuh menyembah bumi.

Kesan-kesannya

 

Benar. Inilah tarikh hitam dan gerhana bagi umat Islam. Kesan kejatuhan dan perang pemikiran dari kaum kuffar masih menjalar dan menjadi nanah dalam masyarakat Islam pada hari ini. Ramai generasi baru yang hanya Islam pada nama tidak menghargai makna dan nilai sebuah syahadah yang dipegangnya. Malah merasa malu dan tiada izzah pada agama Islam yang menjadi pegangannya. Maka saat itulah nafsu menjadi raja, akal menjadi penasihatnya. Hidup hanya sekadar hidup, tidak punya tujuan mahupun agenda, hanyalah memenuhi perut sendiri dan nafsu pada dunia.

Kenapa?

Perasaan malu dan tiada izzah akan Islam dalam kalangan masyarakat Islam pada hari ini kerana kurangnya pengetahuan akan sejarah kegemilangan yang pernah dilalui tamadun Islam. Faktor penyelewengan sejarah, ketandusan ilmu umat Islam, serta sifat malas membaca nyata merugikan kelompok Islam itu sendiri. Pernahkan kita mengambil tahu mengenai Khalifah Turki Uthmaniyah, selain daripada tarikh kejatuhannya?

Kita sering mendengar pelbagai tohmahan serta cercaan bersabit kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah yang merupakan Khilafah kita yang terakhir. Kita jarang menyelusuri sejarah gemilangnya yang lebih banyak membawa manfaat kepada dunia Islam sejak ia ditubuhkan oleh seorang penguasa Turki yang handal bernama Osman I pada tahun 1299.

Kehebatan Osman I dalam membentuk Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah diabadikan dalam peribahasa Turki yang berbunyi “semoga dia menjadi sebagus Osman”. Kekuasaan Turki Uthmaniyyah semakin tidak tercabar apabila ia memenangi pertempuran di Nicopolis, Bulgaria pada tahun 1396 menewaskan gabungan tentera Salib yang terdiri dari negara Hungary, Perancis, Kesatria Hospitaller dan Republik Venice. Kekentalan semangat jihad Turki Uthmaniyyah diteruskan lagi dengan sejarah hebat empayar itu menawan kota Konstantinopel yang dipelopori Sultan Muhammad Al-Fateh.

Kita juga perlu mengetahui jasa Khilafah Turki Uthmaniyyah terhadap kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara. Yang pertama adalah Kesultanan Aceh Darussalam. Setiap kerajaan Islam di Nusantara yang pernah bernaung di bawah Khilafah Turki Uthmaniyyah akan digelar “Darussalam” yang bermaksud “negara selamat/Islam”. Ketika peperangan dengan Belanda, Kerajaan Aceh dibekalkan dengan meriam dan juga peralatan-peralatan perang yang lain dari Turki Uthmaniyyah. Pertolongan yang hampir sama juga diberikan kepada Kesultanan Melayu Patani Darussalam oleh Turki Uthmaniyyah ketika menentang Kerajaan Siam Ayutthaya yang didukung Belanda. Sultan Abdul Kadir, iaitu sultan terakhir Patani telah berjihad bersama-sama sekelompok kecil mujahidin Turki dalam mempertahankan ketuanan serta hak Melayu-Islam di Patani sehingga ke titisan darah terakhir.

Kota Baitulmaqdis (Jerusalem) yang dilindungi oleh pentadbiran Turki Uthmaniyyah telah menimbulkan perasaan iri hati beberapa golongan Yahudi terutamanya yang berada di Eropah. Sultan Abdul Hamid II yang merupakan Khalifah Turki Uthmaniyyah terakhir yang mempunyai kuasa penuh, telah dengan tegas dan berani menolak cubaan merasuah oleh pengasas Zionisme Antarabangsa. Di saat-saat Empayar Turki Uthmaniyyah mengalami zaman kemunduran, Sultan Abdul Hamid II masih gagah mempertahankan wilayahnya dari dicabuli kekuasaan asing.

“Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?”           (Al-An’am, 6:6)

 

Peranan kita!

 

Belajarlah dari kejatuhan, bukan bersembunyi di sebaliknya. Lihatlah hikmah di sebalik kejadian, dan bangkitlah kembali dengan mengambil semangat saki baki puing-puing kegemilangan dari kerajaan Islam yang telah berlalu.

Bergeraklah para daie! Sebarkan firman Tuhanmu ke segenap penjuru alam. Sesungguhnya pembinaan tamadun yang gemilang tidak dihiasi dengan hamparan kemewahan dan kesenangan. Islam bangkit dengan airmata dan darah pendukungnya, yang membenarkan janji Tuhannya dan Rasulnya.

Semoga di hari kemenangan yang dijanjikan itu, terpahat sedikit usaha kecil kita untuk mengembalikan Islam kembali ke puncaknya. Semoga suatu hari nanti, kita dapat melihat kegemilangan Islam berulang kembali dan kita semua disatukan di bawah satu label KHILAFAH ISLAM.

 

 

Oleh:

Wan Nur Suhailah Wan Mohd Kamal,

Biro Tarbiyah Zon Selatan,

Pelajar Tahun Akhir Perubatan ,

KS Hedge Medical Academy, Mangalore.